Daun bunga raya rawat masalah rambut - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Daun bunga raya rawat masalah rambut

SUDAH pasti ramai mengetahui khasiat daun bunga raya yang dipercayai dapat membantu merawat masalah rambut, melebat dan menghitamkan rambut.

Dengan cara meramas daun itu bersama air, lendiran jernih tersebut disapu pada rambut dan dibiarkan seketika.

Bukan sahaja membantu mengurangkan masalah rambut, ia juga dapat menyejukkan kepala dan menurunkan suhu badan mereka yang demam. Cara tradisional itu turut digunakan merawat bisul, luka atau kegatalan kulit. Namun begitu, ramai yang menggunakan kaedah tersebut bagi mengatasi masalah rambut dan kepala.

Kini, orang ramai tidak perlu bersusah payah kerana hasil inovasi wanita berusia 53 tahun, Norasmah Abd Ghani, menjadikan daun bunga raya sebagai syampu rambut dapat mengatasi dilema ramai, terutama wanita yang menitikberat penjagaan rambut.

Syampu Daun Bunga Raya mungkin masih janggal kedengaran, namun bagi Pengarah Syarikat Janji Jitu Sdn Bhd, Norasmah, produk keluarannya dengan jenama Inora itu mendapat sambutan baik di kalangan masyarakat, sementelah ia turut mendapat kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

“Banyak permintaan daripada pelanggan menyebabkan saya menghasilkan syampu daripada daun bunga raya.

“Seperti diketahui, khasiat daun ini banyak termasuk digunakan untuk melegakan batuk dan selesema,” katanya.

Menurutnya, di awal kemunculan Syampu Daun Bunga Raya, dia menerima kritikan dari pelanggannya. Rata-rata pengguna mengadu syampu tersebut membuatkan rambut mereka kering serta keras. Norasmah kemudiannya membaik pulih formula produknya itu dengan memasukan perapi rambut dan ternyata percaturannya kali ini berjaya.

“Maklum balas daripada pengguna penting untuk tambah baik syampu dan berusaha memperbaiki masalah itu.

“Daripada komen pengguna, saya berjaya mengatasi masalah itu dengan mengubah formulasi dan mencampurkan perapi,” katanya.

Hasil campuran beberapa bahan, produk tersebut menjadi ‘mesra pengguna’ dan tiada lagi masalah rambut keras atau kering. Malah selepas penggunaan rambut lebih lembut dan wangi, ramai berpuas hati dengan kesan syampu itu.

“Tanpa campuran bahan kimia, syampu menggunakan herba tempatan itu mampu atasi masalah rambut.

“Perkembangan teknologi dan perubahan zaman, kaedah tradisional itu jarang dipraktikkan oleh golongan muda,” katanya.

Norasmah berkata, pembangunan teknologi baharu juga beri manfaat kepada usahawan untuk membangunkan herba kepada produk moden. Katanya, banyak tumbuhan semula jadi yang diguna pakai untuk mengatasi pelbagai masalah kesihatan dan ia menjadi kebiasaan masyarakat di kawasan pedalaman.

"Saya juga menggunakan beberapa tumbuhan lain termasuk pokok teh, serai wangi, gelenggang dan sirih untuk dijadikan formula asas dalam produk kesihatan. Rata-rata ia mendapat sambutan baik dari kalangan masyarakat kita," katanya.

Galak pertumbuhan rambut

Norasmah berkata, setelah tiga tahun membangunkan produk syampu berasaskan daun bunga raya, dia menerima pelbagai testimoni yang memberangsangkan termasuk untuk pesakit yang menjalani rawatan kimoterapi.

"Syampu ini menggalakkan pertumbuhan rambut baharu. Tiga minggu menggunakan syampu ini, rambut pesakit itu makin tumbuh.

“Di samping itu, ia turut merawat masalah keguguran rambut dan kelemumur secara tradisional," katanya.

Norasmah berkata, cara penggunaan juga sangat mudah. Seperti syampu lain, produknya itu juga harus digunakan ketika mandi, namun ia perlu dibiarkan seketika sebelum membilasnya dengan air bersih.

"Produk keluaran syarikat ini mengutamakan herba-herba tempatan dan dijamin tanpa bahan merbahaya. Mungkin tidak ramai generasi sekarang mengenali herba dan petua orang dahulu yang sangat mujarab ini," katanya yang berharap produk Inora menjadi platform untuk generasi baharu mengenali tumbuhan alam yang mempunyai khasiat tertentu dalam perubatan tradisional.

0 Komentar untuk " Daun bunga raya rawat masalah rambut "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ