Bagaimana membakar wacana ateis? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Bagaimana membakar wacana ateis?

“XIFU, kita tidak perlu pada agama kerana agama ada dogma yang tidak dapat diubah. Ateisme itu tiada dogma. Saya mahu bebas,” Hamid berhujah.

Hamid ialah salah seorang daripada pemuda yang kecewa dengan budaya agama di Malaysia yang bersifat konformis. Mereka ini biasa dilabel sebagai “liberal”.

Respons saya ialah mencabar wacana Hamid yang andaikan bahawa ateisme itu bukan agama. Premis kepada andaian ini ialah agama itu punya dogma yang tidak berubah. Maknanya agama itu terikat dengan beberapa rukun asas. Ateisme bukan agama kerana ia tidak terikat dengan mana-mana rukun.

Jadi, sekarang saya akan “membakar” andaian Hamid ini dengan mengemukakan soalan kritis: “Adakah ateisme sebenarnya bersifat agama?” Hamid membina wacana atas andaian agama v/s ateisme. “Membakar” wacana Hamid bertujuan meleburkan andaian ini.

Kalau saya dapat berhujah bahawa ateisme itu agama atau sekurang-kurangnya bersifat agama, maka hujah Hamid bahawa kita tidak perlu pada agama itu berjaya dileburkan. Bahan-bahan pembakaran saya ialah premis-premis Hamid sendiri!

Hamid berkata, agama mempunyai sifat mengikat pengikutnya kepada dogma yang tidak berubah. Ateisme ini pun bermazhab-mazhab. Ada ateis yang tegas dengan dogma bahawa tuhan sekali-kali tidak wujud. Ada ateis yang lebih lembut kerana percaya dengan dogma bahawa sama ada tuhan wujud atau tidak, bukan perkara yang wajib diambil tahu.

Di sini kita lihat kedua-dua mazhab dalam ateisme itu mempunyai sifat agama juga iaitu terikat dengan dogma masing-masing. Wacana Hamid yang cuba bebaskan ateisme dari sebarang kaitan dengan agama sebenarnya mengukuhkan sifat keagamaan dalam ateisme! Ateisme terkurung dalam mitos bahawa ia tidak terikat dengan apa-apa dan bebas buat apa sahaja.

Walaupun ateisme menafikan bahawa ia adalah agama, tetapi secara logik ia tidak terlepas dari bersifat agama! Murtad dari ateisme ialah bilamana seorang itu kembali mengiakan bahawa tuhan itu hidup dan memainkan peranan utama dalam kehidupan.

Ateisme sebenarnya tidak bebas dari sebarang dogma walaupun “kebebasan” adalah slogan dan juga mitos utama mereka. Benarkah burung itu bebas? Burung tidak bebas untuk terbang ke bulan! Burung tidak bebas untuk tidak menjadi burung! Slogan “kebebasan” adalah candu untuk melalaikan kuli-kuli kapitalis bahawa satu hari ini nanti, kuli-kuli ini akan dikurniakan syurga dunia, di mana mereka bebas memenuhi kehendak mereka. “Hari Pembalasan” akan datang untuk menghukum kapitalis yang zalim bila hak asasi manusia ditegakkan di mahkamah dunia.

Hakikatnya, bagaimana mungkin kapitalis-kapitalis mengurniakan kebebasan hakiki dan keadilan kepada kuli-kuli sedangkan mereka pada masa yang sama memerlukan kuli-kuli ini untuk korbankan tenaga, masa, jiwa “fi sabilil-untung”! Kuli-kuli yang tidak berupaya lagi untuk ber"jihad” di pasar ekonomi akan ditempatkan di rumah ibadat bernama Rumah Orang Tua, menunggu untuk dikitar semula sebagai baja tanah.

Anak-anak mereka pula akan dipelihara di “reban-reban ilmu” supaya mereka di tarbiah sebagai kuli-kuli yang mahir. Semua atas nama memperjuangkan kebebasan fi sabilil untung. Untung untuk siapa?
Maka, filem-filem khurafat dibikin dengan modal berjuta-juta untuk menguatkan “keimanan” para ateis tentang kemanisan iman kepada “kebebasan”. Hero dalam filem berlagak seolah-olah seperti “imam mahdi” melaungkan kebebasan sebagai puncak kejayaan. Silibus tarbiah ateis mudah sahaja.

 Kalau satu slogan seperti “bebas” diulang banyak kali, ia akan menjadi kalam tuhan. Rakyat akan menguduskannya! Perkataan liberty menjadi kalam tuhan di mana ia diazankan semasa revolusi Perancis untuk melaksanakan “hudud” bunuh ke atas beribu-ribu rakyat yang menentang kapitalis ateis yang baharu.

Ateis mengalami delusi agama sebenarnya. Mereka melarikan diri dari al-Haq tetapi menganggap bahawa penafian kebenaran ini adalah kebebasan, mereka dieksploitasi oleh kapitalis tetapi mereka menganggap eksploitasi ini sebagai “kerjaya”, mereka dilupakan tentang maut tetapi menganggap ingat maut sebagai candu yang melalaikan mereka dari hidup. Mereka mencari kebahagiaan tanpa kenal siapa diri mereka sebenarnya.

* Abdul Naser Tun Rahman Ketua Biro Pendidikan Persatuan Cina Muslim (Macma)

0 Komentar untuk " Bagaimana membakar wacana ateis? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ