Umno pun hendak diputihkan? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Umno pun hendak diputihkan?

BUKAN orang parti, saya tidak pernah menjangka Umno begitu teruk, walaupun semakin ramai kawan-kawan – termasuk dalam kalangan ahli parti sendiri – beranggapan parti terbesar Melayu itu semakin parah.

Sehari dua ini anggapan negatif itu ternyata ada benarnya, lebih-lebih setelah diakui sendiri oleh seorang pemimpin Pergerakan Pemuda – sayap penting parti – yang mencadangkan program pemutihan dalam organisasi berkenaan.

Ketua Pemuda Perlis, Syed Atif Syed Abu Bakar meminta majlis tertinggi parti mempertimbangkan program pemutihan bagi membersihkan parti itu daripada individu yang tidak sehaluan serta tidak taat setia kepada pucuk pimpinan.

Katanya, seperti yang dilaporkan sebuah portal berita, program seperti itu penting memandangkan Umno telah melalui fasa perpecahan sehingga parti itu diharamkan dan membawa kepada penubuhan Parti Melayu Semangat 46.

Beliau bimbang kerana selepas Tun Dr Mahathir Mohamad keluar parti, bekas perdana menteri itu mengheret sama beberapa pemimpin yang bersekongkol dengan pembangkang untuk menuntut Datuk Seri Najib Razak berundur.

Keliru saya. Sebelum ini ada pemimpin parti menegaskan Tun M tiada pengaruh lagi.

Malah, ada yang menganggap mantan PM itu sebagai orang tua nyanyuk, dan nazak. Sama ada beliau di dalam atau di luar parti, tidak ada apa-apa makna.

Tetapi cadangan dari Perlis itu membuktikan Tun M masih menyengat sehingga perlu dilaksanakan program pemutihan untuk mengelakkan ramai lagi ahli parti bersekongkol dengan negarawan tersebut.

Cadangan program pemutihan juga seolah-olah menunjukkan parti besar itu kini berada pada tahap paling kritikal – begitu kotor dan hitam – sehingga perlu satu program khas untuk membersih dan memutihkan ahli yang diragui kesetiaannya.

Setakat semalam ramai pemimpin Umno merasakan program seperti itu tidak perlu dilaksanakan secara terburu-buru. Almaklumlah, kerja terburu-buru biasanya kantoi.

Secara peribadi saya tidak berkenan dengan pemutihan. Sejarah telah membuktikan berbagai-bagai program pemutihan telah dilaksanakan kerajaan sebelum ini untuk kononnya memperbetulkan benda yang tidak betul. Tetapi tidak ada kesan; orang Tanjung kata ‘pi mai, pi mai dok tang tu!’

Kalau kita masih ingat, program pemutihan pendatang asing telah dilaksanakan seawal 2011.

Tujuannya ialah untuk mendaftarkan secara sah pendatang asing yang masuk secara gelap @ Pati.

Tetapi, setelah beberapa kali tarikh tutup ditunda, jumlah yang datang memutihkan diri tidak sampai 50 peratus. Pada ketika itu jumlah Pati kira-kira sejuta, yang berjaya diputihkan sekitar 450,000; selebihnya masih hitam-legam.

Selepas itu kita sudah beberapa kali mengulangi program pemutihan Pati – ada 6P, ada 3P – semata-mata untuk memberi peluang kepada yang haram supaya dapat dihalalkan. Tetapi, lebih ramai yang rela terus dalam keadaan haram.

Baru-baru ini Kementerian Dalam Negeri (KDN) sekali lagi melaksanakan program pemutihan untuk pendatang Indonesia, Bangladesh, Myanmar, India, Pakistan, Nepal, Vietnam dan Filipina.

Program yang berakhir 31 Mac ini adalah untuk Pati – jumlahnya kini lebih 2 juta! – yang bekerja di pelbagai sektor seluruh negara. Walaupun peluang dibuka untuk mendaftar secara sah, ramai yang tidak peduli langsung.

Mereka lebih suka terus dalam kehitaman, dan dari semasa ke semasa main sembunyi-sembunyi dengan pihak berkuasa. Kelakar! Bagi mereka, putih atau hitam tidak ada apa-apa beza, sebab sudah terlalu kerap 6P dan 3P diadakan tidak menjejaskan kehidupan mereka.

Hatta majikan sendiri pun mengambil sikap ‘ada aku kisah’ dengan program pemutihan yang baru dilaksanakan.

Ketika program pemutihan disambut acuh tak acuh oleh pendatang dan majikan, beribu-ribu lagi pendatang gelap menyusup setiap hari ke negara kita, melalui macam-macam laluan dan lubang.

Terkini ada pula ura-ura program pemutihan terhadap pelajar-pelajar asing di negara ini, terutama dari Afrika sebagai langkah menangani gejala jenayah oleh golongan berkenaan.

Buatlah apa pun program pemutihan, pelajar berkenaan akan tetap suka hitam. Pihak berkuasa selalu jadi bahan ketawa sebab macam tidak dapat berbuat apa-apa. Agaknya pihak berkuasa kita juga telah dihitamkan!

Macam-macam program pemutihan, Pati yang berjuta-juta itu masih tidak dapat diputihkan. Umno patut fikir semula cadangan pemutihan, jangan cakap sahaja berdegar-degar tetapi kesan kosong.

Kempen kerajaan untuk memutihkan orang ternyata tidak berkesan. Maka saya cadangkan kerajaan belajar dari Dr Vida. Setakat ini sistem pemutihan usahawan wanita ini lebih digemari kerana terbukti berkesan!

Related Post

  • Kalaulah dulu-dulu ada PU SEPERTI yang diakui dakwah adalah kewajipan setiap Muslim. Selagi ada orang berdakwah, sinar Islam akan terus meneran…
  • Sana-sini terdengar keluhan... RAMAI mengeluh, sana-sini kecewa. Dulu dia orang kata pelaksanaan GST tidak menyusahkan rakyat, sebab banyak barang d…
  • Apa salahnya cakap ‘omputih’? MEMANG satu ketika dahulu saya berasa sedih. Tetapi apa yang pilu kini sudah menjadi lucu. Saya bercakap – untuk ke s…
  • Tabik Datuk, wa caya lu! SAYA tabik kepada Datuk Seri Dr Hasmiza Othman, atau lebih popular dengan panggilan Dr Vida. Dua jarinya yang diletak…
  • Hindarkan sampah, #kitalahmalaysia MELANGKAH ke tahun baharu 2016 esok, apa kata kita berazam untuk menguruskan sampah dengan lebih baik. Ternyata selam…
0 Komentar untuk " Umno pun hendak diputihkan? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ