Rakyat kita boleh hidup lebih lama - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Rakyat kita boleh hidup lebih lama

APABILA orang sebut mengenai pertemuan semula, saya teringat cerita lucu yang disampaikan oleh seorang hamba ALLAH dalam satu perjumpaan.

Kata hamba ALLAH itu, dalam satu majlis yang dihadirinya ketika usianya 40 tahun, dia ditanya dia ada berapa orang anak.

Apabila dia hadir reunion masa berusia 50 tahun, kawan-kawannya bertanya tentang bilangan cucu yang dia ada pula.

Pada reunion 10 tahun kemudian, katanya, dia ditanya mengenai keadaan kesihatannya.


Apabila dia hadir reunion ketika berumur 70 tahun, dia diajukan dengan soalan menyedihkan: “Berapa ramai kawan-kawan kita yang sudah meninggal dunia?”.

Dia percaya pada reunion ketika dia berusia 80 tahun nanti, jika umurnya panjang, soalan yang akan ditanya adalah “Awak siapa?”.

Memang dia bergurau, tetapi keadaan seperti ini berlaku dalam hidup kita.

Sedangkan masa muda pun kita boleh terlupa dan tidak kenal kawan, apatah lagi apabila sudah masuk usia yang lanjut!

Tepat sekali dengan apa yang ALLAH firman: “...kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa dan ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan usia ke peringkat tua nyanyuk sehingga tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu...” - Surah Al-Hajj; 5.

Maka, saya selalu terfikir sebelum sampai ke peringkat itu, ada baiknya saya ziarah sahabat-sahabat di mana sahaja mereka berada, setakat yang saya mampu.

Setakat ini, tidak kurang daripada 50 sahabat kami sudah kembali ke rahmatullah. Moga ALLAH menempatkan roh mereka bersama golongan mereka yang diredai-Nya!.

Pada 21 dan 22 Mac lalu saya bersama enam rakan menziarahi hampir 10 sahabat yang sesetengah daripada mereka saya sudah tidak bertemu lebih 40 tahun. Ramai sihat, tetapi ada juga yang kurang sihat.

Kembara pertama kami adalah ke utara Oktober lalu, diikuti dengan ke selatan Januari lalu. Yang ketiga ini kami tumpu di beberapa kawasan di Selangor dan Perak.

Ia sangat menggembirakan kami dan yang diziarahi. Jelas ia menghidupkan kembali semangat persahabatan lama dan menimbulkan kenangan masa lalu.

Yang lebih penting adalah niat untuk mengamalkan apa yang ALLAH suka, iaitu bertemu kerana ALLAH dan berpisah pun kerana ALLAH.

Kami berdoa dan berharap diberi kesihatan untuk meneruskan kembara kami.

Sabda Nabi SAW: “Yang paling baik adalah orang yang panjang umur dan baik amalnya. Yang paling buruk adalah orang yang panjang umur dan buruk amalnya”.

Saya selalu ingat nasihat ustaz; umur kita terlalu singkat. jangan disia-siakan.

Di bawah ini cerita lain, tetapi masih berkaitan dengan usia.

Rakyat Malaysia kini dikatakan boleh hidup lebih lama.

Lelaki boleh hidup 12 tahun lebih lama daripada umur persaraan, sementara perempuan, 17 tahun.

Menurut Jabatan Statistik, ini jauh lebih baik daripada kedudukan tahun lalu di mana lelaki dianggar boleh hidup hingga 58.3 tahun sementara perempuan 63.1 tahun. Apa

Peningkatan ini dikaitkan dengan beberapa faktor, termasuk penjagaan kesihatan, prasarana, makanan dan taraf hidup lebih baik.

Menurut statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Malaysia akan mencapai status negara tua pada 2035, di mana rakyat berusia 60 tahun ke atas mewakili 15 peratus daripada jumlah penduduk.

Semua ini kajian manusia. Hanya ALLAH jua menentukan hidup mati makhluk.

Maka janganlah yakin dengan perhitungan manusia kerana semuanya berlaku hanya dengan kehendak ALLAH!.

0 Komentar untuk " Rakyat kita boleh hidup lebih lama "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ