Perlindungan sumber kewartawanan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Perlindungan sumber kewartawanan

TELAH dilaporkan akhir-akhir ini bahawa Kerajaan Malaysia memandang serius berkenaan dengan ‘kebocoran’ maklumat rasmi dan sedang menimbang untuk mengenakan hukuman yang lebih berat ke atas mereka yang mendedahkan rahsia rasmi.

Ia juga telah dilaporkan bahawa Peguam Negara ada menyatakan dalam sebuah wawancara bahawa mana-mana wartawan yang enggan mendedahkan sumber mereka boleh dianggap sebagai bersubahat dengan mereka yang melakukan kesalahan.

Malahan, ia juga dilaporkan bahawa wartawan yang enggan mendedahkan sumber mereka juga mungkin didakwa.

Pendirian kerajaan dalam isu ini amat memeranjatkan dan membimbangkan. Ia seperti menggambarkan bahawa kerajaan lebih berminat mendakwa pemberi maklumat atau whistleblowers berbanding membasmi kegiatan salah laku dan rasuah.

Perlindungan sumber kewartawanan adalah suatu prinsip etika yang amat penting bagi para wartawan. Contohnya, jika mengikut Kod Etika Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), seseorang wartawan itu harus mematuhi rahsia profesional mengenai sumber maklumat yang diberikan secara rahsia.

Walaupun Kod Etika NUJ ini bukanlah undang-undang yang mengikat semua wartawan di dalam negara ini, namun ia menunjukkan betapa pentingnya perlindungan sumber kewartawanan dalam kerjaya kewartawanan.

Ini kerana seorang wartawan mungkin menerima maklumat yang sensitif daripada sumbernya. Sumbernya itu mungkin seseorang yang terlibat dengan organisasi tersebut dan boleh memberikan maklumat yang tepat dan benar kepada wartawan itu.

Sekiranya identiti sumber tersebut didedah, ia mungkin akan membawa kesan buruk kepada sumber tersebut. Sumber itu mungkin tidak mahu mendedahkan maklumat yang dia ada sekiranya beliau tidak dilindungi oleh wartawan itu dan tiada jaminan oleh wartawan itu bahawa identitinya akan didedahkan.

Itulah sebabnya sumber kewartawanan itu begitu penting. Seseorang wartawan boleh dianggap sebagai tidak profesional sekiranya beliau tidak boleh melindungi sumber dan tidak ada sesiapa akan memberi maklumat kepadanya dalam keadaan sedemikian.

Banyak kes, sama ada di dalam negara atau di luar negara, yang mengiktiraf perlindungan sumber kewartawanan. Terdapat sekurang-kurangnya dua kes di Malaysia, di mana mahkamah telah mengiktiraf peri pentingnya perlindungan tersebut.

Sekiranya wartawan dipaksa untuk mendedahkan sumber mereka, ia akan bertentangan dengan hak mereka untuk mencari sumber pendapatan atau right to livelihood yang dirangkumi di dalam hak untuk hidup yang dilindungi Perlembagaan Persekutuan. Ia akan melemahkan profesionalisme, etika dan kepercayaan orang ramai terhadap bidang kewartawanan.

Media adalah penting bagi mana-mana masyarakat moden. Media adalah sumber maklumat bagi rakyat, dan memastikan bahawa rakyat sentiasa boleh membuat keputusan dengan maklumat yang betul. Tanpa wartawan, tiadalah media dan rakyat juga akan kehilangan sumber maklumat yang penting.

Oleh sebab itu, pendirian kerajaan, yang dicerminkan dalam pernyataan-pernyataan yang dibuat oleh Peguam Negara, seperti tidak menghormati prinsip penting dalam bidang kewartawanan iaitu perlindungan sumber. Ia bagaikan memberi isyarat kepada para wartawan bahawa kerajaan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya mereka tidak bekerjasama dalam misi mereka untuk mencari ‘pendedah maklumat’.

Oleh sebab itu, badan-badan yang mewakili wartawan dan media di dalam dan luar negara harus peka dengan perkembangan yang sedang berlaku dan memastikan bahawa kerajaan sentiasa menghormati etika kerja para wartawan.

Jika tidak, ia mungkin terlambat. Kita sudah pun menyertai senarai negara-negara yang menyumbat wartawan di dalam lokap. Adakah kita kini mahu menyertai senarai negara-negara yang menghukum wartawan yang hanya menjalankan tugas mereka?

* Penulis seorang peguam di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur

Related Post

  • Merangka undang-undang baharu BARU-BARU ini, sebuah blog yang dikenali sebagai Bangkit telah mendedahkan kononnya penulis terlibat sama dalam meran…
  • Siakap senohong gelama ikan duri MINGGU lalu saya cerita mengenai seorang kanak-kanak yang menggigil ketika menegur seorang pensyarah yang minum g…
  • Bazar Ramadan, Syawal, Zulkaedah KEHADIRAN bulan Ramadan amat dinanti oleh seluruh umat Islam di dunia kerana berpeluang untuk meningkatkan ibadat…
  • Pemerintahan acuan Al-Amin SEGALA kemelut yang kita hadapi dalam negara; dari persoalan kualiti pendidikan, kemiskinan, pembelaan golongan t…
  • Tentang Israel melalui ekonomi KRISIS kemanusiaan yang melanda bumi Palestin ketika ini benar-benar merentap perasaan penulis. Apatah lagi setia…
0 Komentar untuk " Perlindungan sumber kewartawanan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ