Bekas jurutera ambil risiko berniaga - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Bekas jurutera ambil risiko berniaga

BERBEKALKAN keyakinan terhadap potensi dan permintaan barangan peruncitan elektrik membuatkan pemilik nama Mohd Zabidi Mohd Razalli mengambil risiko untuk menjalankan perniagaan dalam bidang berkenaan.

Daripada pemerhatiannya, kedai-kedai barangan elektrik selalunya melakukan promosi ketika musim perayaan terutama Hari Raya Aidilfitri.

“Dari situlah saya yakin ada potensi kerana kebanyakan yang membeli juga sudah tentulah orang Melayu, selagi belum cuba, kita tidak tahu hasilnya.

“Bagaimanapun, ramai kawan-kawan yang tidak yakin kerana perniagaan tersebut dimonopoli kaum bukan Bumiputera dan sukar untuk bersaing,” katanya ketika ditemui di Pejabat Operasi Hub Brite di Halal Park Tambun, Ipoh, Perak.

Baginya, apa sahaja bidang, sekiranya ada minat dan usaha di samping sokongan keluarga, ia akan membuahkan hasil.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Hub Brite mengakui tidak mempunyai mentor, malah sepanjang lima tahun menjalankan perniagaan ini hanya bergantung kepada pengalaman serta ‘try and error’ untuk memastikan semuanya berjalan lancar.

Katanya, walaupun pada awal pembabitan dalam bidang perniagaan, dia pernah mempunyai perniagaan menjual alat ganti elektrik, namun ternyata cabarannya sangat berbeza daripada pelbagai aspek.

“Mula-mula masa kedai ini dibuka, ada pelanggan tidak mempercayai kedai Hub Brite ini milik Bumiputera walaupun saya memperkenalkan diri sebagai pemiliknya.

“Saya tidak sangka dengan reaksi pelanggan tersebut dan hanya berdoa agar perniagaan saya maju dan membuka mata semua pihak untuk menyokong Hub Brite,” katanya.

Menggunakan tagline, ‘Jom berjihad dengan pembelian berakad, pembelian menjadi lebih berkat’, beliau yakin pelanggan tetap dan baharu yang singgah ke Hub Brite akan terus memberikan sokongan kepada perniagaannya.

Ketika ditanya kenangan manis sepanjang mengemudi Hub Brite, beliau bersyukur dan bangga menjadi usahawan Bumiputera pertama di Perak yang menjalankan perniagaan peruncitan barangan elektrik seterusnya menyediakan peluang pekerjaan kepada Bumiputera lain.

“Saya bermula secara kecil-kecilan, Alhamdulillah semakin berkembang dan telah mempunyai empat cawangan di Taman Mewah, Hulu Kinta, Taman Bercham Raya, Seri Iskandar dan terbaru di Kuala Kangsar,” katanya.

Pekerja cabaran terbesar

Jelas beliau, cabaran bukan sahaja datangnya daripada modal dan persaingan tetapi kakitangan juga memainkan peranan penting, malah ia adalah cabaran paling sukar untuk diluahkan.

Dalam usaha memberikan perkhidmatan yang baik dan memujuk pelanggan, ia memerlukan kakitangan yang komited dengan pekerjaan dilakukan, malah perlu ada 'jiwa' untuk memastikan pelanggan yakin dan seterusnya membeli produk tersebut.

"Apa yang menjadi masalah apabila kakitangan tidak berjiwa perniagaan, mereka hanya membuat kerja hakiki walaupun diberikan insentif sekiranya dapat menghasilkan banyak jualan,” katanya.

Bagaimanapun, semua masalah tersebut berlaku ketika awal penglibatannya dalam perniagaan dan situasi itu berubah apabila beliau mencipta beberapa modul sebagai nilai tambah kepada kakitangannya.

“Saya akan membuat latihan sebulan atau dua bulan sekali bergantung kepada jumlah kakitangan baharu selain ‘refresh’ kakitangan lama.

“Saya sentiasa menekankan agar hati pelanggan perlu dijaga serta memberikan perkhidmatan terbaik selepas jualan,” katanya.

Hasrat buka cawangan kelima

Sementara itu, beliau berkata, dengan keadaan ekonomi kini serta pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sedikit sebanyak memberi kesan kepada Hub Brite.

Katanya, pada 2013, mereka berjaya menghasilkan keuntungan sebanyak RM5 juta bagaimanapun berkurang 30 peratus sejak GST dilaksanakan pada tahun berikutnya.

Bagi perancangan jangka panjang, bekas jurutera ini bercadang untuk membuka cawangan kelima tetapi belum dipastikan tarikhnya memandangkan ekonomi hari ini agak lemah.

Related Post

  • Dari peniaga kecil ke pemborong batik, pelikat TEMPOH 27 tahun dalam dunia perniagaan bukanlah satu masa yang harus dipandang enteng oleh semua pihak kerana pelbaga…
  • Resipi Uncle Sam jadi tarikan TERINGIN mencari kelainan suasana sambil menikmati hidangan barat dan cina yang enak? Jom singgah ke Restoran Uncle S…
  • Dari makanan ke kesihatan GARISAN Multazam Sdn Bhd bukanlah syarikat yang baharu bertapak di negara ini. Menggunakan jenama 'Iman No 1', pelbag…
  • Tursina insipirasi Anbia WANITA Kelantan sememangnya terkenal dengan jiwa berniaga. Jatuh bangun dalam bisnes adalah asam garam mereka. Namun,…
  • Trend shopping raya online MALAS menghadapi kesesakan lalu-lintas dan orang ramai menyebabkan membeli-belah secara atas talian (online) terutama…
0 Komentar untuk " Bekas jurutera ambil risiko berniaga "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ