Pemandu teksi makin menderita - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pemandu teksi makin menderita

KUALA LUMPUR: Isu dan masalah menyelubungi perkhidmatan teksi negara ini, bagaikan tiada penghujungnya, meskipun Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) ditubuhkan sejak enam tahun lalu. Malah, nilai kompaun yang tinggi dengan penguatkuasaan ketat tanpa budi bicara oleh penguat kuasa SPAD didakwa menekan pemandu teksi negara ini yang semakin menderita. SPAD disifatkan hanya tahu mencari kesalahan pemandu teksi tanpa berusaha menangani pelbagai isu dan masalah yang timbul, termasuk membanteras kereta sapu profesional serta aplikasi sosial yang menyediakan laporan perbezaan tambang di antara perkhidmatan sah dan haram itu. Timbalan Pengerusi, Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M), Kamarudin Mohd Hussain, mendakwa SPAD gagal menjalankan tugas dengan hanya meletakkan kesalahan kepada pemandu teksi semata-mata.

SPAD tidak faham industri 

Beliau mendakwa, SPAD terdiri daripada mereka yang bukannya berasal dari industri pengangkutan awam, menyebabkan keputusan diambil kelihatan tidak tentu arah dan penguatkuasaan undang-undang pula dibuat tanpa perikemanusiaan. "Persatuan tidak membela pemandu yang melakukan kesalahan, kesalahan tetap salah tetapi perlu ada budi bicara. Apa yang berlaku ketika ini, asal ada kesalahan terus disaman, teksi disita dan ada kes kad pemandu digantung sehingga tiga bulan. "Bagaimana mahu cari rezeki menyara keluarga sepanjang tempoh itu. Ada kes seorang pemandu wanita digantung kad pemanduan hanya kerana suami menggunakan teksi kendaliannya bagi menghantar jiran mereka.

"Itu soal kejiranan, jiran mereka minta tolong dihantar ke stesen bas dan kebetulan pemandu wanita itu sedang sakit, jadi dia minta suaminya tolong hantar tanpa bayaran. Hanya kerana membantu, kad pemandu wanita itu digantung. Mahu guna kenderaan mana lagi jika teksi itu sahaja yang mereka ada," katanya. Ketika ini, ada kira-kira 39,000 pemandu teksi di sekitar Lembah Klang dengan kira-kira 75 peratus daripada mereka memandu secara menyewa permit milik syarikat, manakala selebihnya menggunakan permit persendirian. Antara undang-undang yang dikuatkuasakan SPAD terhadap semua pemandu teksi adalah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. Kamarudin menyifatkan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Trafik adalah contoh terbaik dalam melaksanakan undang-undang berbanding SPAD, kerana badan penguat kuasa itu memberi peringatan dan amaran buat kali pertama sebelum mengambil tindakan saman jika kesalahan sama diulangi.

"Sebarang kesalahan, termasuk tidak pakai kasut ketika memandu jika disaman SPAD berdepan kompaun minimum RM500 dan rayuan pula tidak dibenarkan. Aduan diterima PERS1M menunjukkan ada pemandu didenda sehingga RM8,000. "Bagi teksi yang disita SPAD dan disimpan di Sepang, pemandu bukan setakat berdepan kompaun kerana kesalahan yang disaman tetapi perlu membayar caj harian sehingga RM150 sehari sepanjang disita, selain kos tunda sehingga RM300," katanya. Kamarudin yang berpengalaman memandu teksi selama 15 tahun, turut mempersoalkan hasil yang diperoleh SPAD sejak suruhanjaya itu ditubuhkan pada 2010 dalam menyelesaikan masalah dihadapi pemandu teksi.

TIMBALAN Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERSIM), Kamarudin Mohd Hussain. - Foto Hafiz Sohaimi

Atasi masalah monopoli 

"Mereka hanya tahu menghukum dan langsung tidak membantu. SPAD sepatutnya menyelesaikan penindasan moden seperti monopoli yang sudah lama menyelubungi perkhidmatan teksi. "Teksi seharusnya bebas masuk dan keluar ke mana sahaja untuk mengambil penumpang, tetapi ketika ini untuk masuk kawasan hotel, pemandu teksi perlu bayar, di lapangan terbang dan stesen kereta api kena bayar untuk kupon. Jadi berapa yang tinggal kepada kami?" katanya. Beliau turut mempersoalkan kegagalan SPAD menangani isu kereta sapu profesional iaitu Grabcar dan Uber yang secara jelas beroperasi sebagai pengangkutan awam tanpa permit dan lesen memandu kenderaan awam (PSV). "Kita tidak boleh salahkan pengguna yang semestinya mahukan harga yang lebih murah. Namun, aplikasi MyTeksi ketika ini juga nyata melampau apabila membuat perbandingan caj teksi dan Grabcar yang dihantar kepada orang ramai. "MyTeksi adalah pengkhianat, mereka mencipta aplikasi yang mulanya untuk membantu pemandu teksi tetapi kemudian maklumat mengenai perkhidmatan kami dibandingkan dengan pemandu kereta sapu. Apa yang SPAD buat dalam isu ini?" katanya.  Dianggarkan ketika ini, ada lebih 60,000 pemandu kereta sapu profesional yang beroperasi di bandar besar khususnya Pulau Pinang, Johor Bahru dan Lembah Klang. Kamarudin berharap SPAD menguatkuasakan undang-undang secara lebih perikemanusiaan dan tidak menzalimi pemandu teksi. "Apa yang dilakukan SPAD ketika ini memberi gambaran buruk kepada kerajaan khususnya dalam kalangan pemandu teksi. "Pemandu teksi tidak kisah didenda sehingga RM500 bagi kesalahan berulang, biarlah bermula dengan amaran dan peringatan seperti yang dilakukan JPJ dan Polis Trafik," katanya.

Haramkan Uber, Grabcar 

Beliau turut menggesa SPAD mencari kaedah mengharamkan Uber dan Grabcar di negara ini demi masa depan industri teksi. "Kelebihan pada aplikasi yang digunakan Uber dan Grabcar boleh digunakan SPAD untuk membangunkan perkhidmatan teksi. Ia akan memberi kemudahan kepada orang ramai dan pemandu teksi sendiri, selain memudahkan pemantauan terhadap sebarang kesalahan," katanya. Sementara itu, Ketua Jabatan Penguatkuasa SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad, ketika dihubungi untuk mengulas dakwaan dibangkitkan PERS1M itu, memilih untuk tidak memberi sebarang ulasan mengenainya. Beliau berkata, dakwaan dibangkitkan itu hanya boleh dijawab pengurusan tertinggi SPAD bagi mengelak berlakunya perbezaan pandangan, yang boleh menimbulkan salah faham antara pelbagai pihak.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/136696
0 Komentar untuk " Pemandu teksi makin menderita "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ