Pecol realisasi konsep hotel hijau - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pecol realisasi konsep hotel hijau

MUNGKIN ramai yang kurang mengenali jenama Pecol, namun ia semakin menyerlah dengan produk jimat tenaga sesuai untuk kehidupan eko positif manusia. Walaupun jenama tempatan itu sudah lama bertapak sejak 1968 lagi, tetapi ia peneraju dalam sistem pemanas air cekap tenaga di Malaysia.

Pecol menjadi jenama pilihan pemain industri hotel negara kerana mengetengahkan konsep hotel hijau dalam setiap produk paling laris itu. Bahkan ia mampu menjimatkan bil pemanas air sehingga 75 peratus dan 100 peratus bagi kos elektrik.

Malah, pengguna turut mendapat beberapa kelebihan seperti penggunaan air panas sepanjang tahun dan aliran udara sejuk secara percuma dengan pemasangan produk itu.

Naib Presiden Pacific Engineering Sdn Bhd (Pacific Engineering), Ramani Nair berkata, setiap produknya mampu menjimatkan kos elektrik kerana tidak menggunakan sumber itu secara langsung.

"Sebagai contoh, Hybrid Hot Water Storage Tank tidak menggunakan sumber tenaga elektrik. Syarikat kami merupakan pembekal dan pengeluar tunggal di Asia Tenggara yang mempunyai sistem tangki pemanas air hibrid," katanya.

Jimat elektrik, mesra alam

Menurutnya, sistem tangki itu berupaya menghasilkan haba daripada penghawa dingin dan menyimpan tenaga itu dalam tangki yang dijana secara percuma oleh pengguna.

“Jadi, pengguna tidak mempunyai sebarang kos tambahan untuk penyelesaian tangki pemanas air atau tambahan kos elektrik. Pecol merupakan produk memberikan pulangan pelaburan yang menguntungkan tanpa sebarang tambahan kos elektrik,” katanya.

Bagi kategori hotel pula, Ramani berkata, syarikat itu menawarkan produk sistem pemanas air, pam pemanas dan sistem air panas solar hibrid.

Saiz produk itu boleh ditempah bermula kapasiti kecil sehingga besar bergantung kegunaan industri.

Produk tersebut adalah Hybrid Hot Water Storage Tank, Hybrid Solar Hot Water System, Commercial Heat Pump dan Mini Heat Pump, kesemuanya diedar pengedar tunggal, Enormous Achievement Sdn Bhd.

Hybrid Solar Hot Water System merupakan sistem pemanas air yang menggabungkan teknologi paling maju dari Amerika Syarikat dan menggunakan sistem termoden, cekap serta tahan lama bagi memenuhi keperluan pemanas air seisi rumah.

Manakala, bagi Hybrid Hot Water Storage Tank pula, Ramani berkata, ia boleh meningkatkan simpanan air panas dan sebagai sumber alternatif untuk memanaskan air.

"Ia menggunakan haba yang dihasilkan sama ada daripada penghawa dingin tunggal atau beberapa penghawa dingin berasingan.

"Bagi Commercial Heat Pump, ia mudah dipasang dan bersambung terus dengan sistem penghawa dingin udara terpisah menjadi sistem pemanas haba buangan tebus semula yang pertama di dunia.

"Produk ini menyediakan sumber alternatif untuk memanaskan air menggunakan pemanas dihasilkan sama ada dari penghawa dingin tunggal atau beberapa penghawa dingin berasingan," katanya.

Sementara bagi Mini Heat Pump pula berasaskan teknologi revolusi, memberi kesan penjimatan sehingga 80 peratus bil pemanas air untuk bekalan air panas berskala sederhana dan 24 jam sehari.

Fokus pasaran domestik

Sebelum ini, Ramani berkata, jenama Pecol kurang dikenali ramai kerana ia tidak dijual langsung kepada pelanggan secara terbuka. Sebaliknya, syarikat itu lebih dikenali dalam kalangan syarikat pemaju, arkitek dan pemain industri terlibat  dengan projek pembinaan serta pembangunan.

"Jenama ini lebih dikenali di kalangan mereka yang terlibat dengan bidang kejuruteraan kerana mereka menggunakan produk Pecol untuk diaplikasikan dalam projek pembangunan bersama pelanggan.

“Selepas 48 tahun terlibat dalam perniagaan ini, barulah kami mengubah model perniagaan kami. Bermula akhir tahun lalu, kami fokus ke pasaran domestik selepas menerima dana kerajaan untuk memasarkan produk hibrid keranamelihat potensi produk ini yang mesra alam, selaras dengan hasrat kerajaan untuk memacu teknologi hijau dalam negara.

“Perniagaan komersial ke domestik memerlukan kos yang sangat tinggi. Kami tidak boleh jual produk dengan harga RM200,000 atau RM500,000 jika hendak ke pasaran domestik,” katanya.

Tingkat pelancongan negara

Menerusi dana tersebut, ia bakal meningkatkan pelancongan domestik kerana masyarakat pada hari ini lebih mementingkan persekitaran mesra alam.

Menurutnya Ramani, hotel hijau yang menawarkan kehidupan eko positif antara platform yang boleh memacu pelancongan dalam negara dalam menarik pelancong ke Malaysia.

"Pemain industri hotel perlu mengambil kesempatan untuk melabur sedikit bagi mewujudkan hotel hijau kerana ia mempunyai permintaan yang tinggi pada masa akan datang dan menjanjikan pelaburan yang baik untuk jangka masa panjang," katanya.

Ini kerana, beliau berkata, dianggarkan 75 peratus daripada kesan alam sekitar yang dihadapi pihak industri hotel pada masa kini berkaitan penggunaan tenaga berlebihan disebabkan oleh pembaziran dan ketidakcekapan.

Katanya, hotel secara amnya menggunakan lebih banyak tenaga setiap kali biliknya dihuni tetamu, selain menampung penggunaan elektrik bagi kemudahan seperti restoran dan kolam renang serta mempunyai ruang lebih luas.

"Pengusaha hotel juga perlu menyediakan kemudahan dan keselesaan kepada tetamunya seperti mengukus air panas dan menyediakan air sejuk serta penyaman udara yang memerlukan bekalan tenaga elektrik mencukupi bagi memenuhi semua kemudahan itu dalam satu masa.

Berdasarkan Energy Star Programme yang disokong kerajaan, hotel di Malaysia membelanjakan purata hampir RM2,200 bagi setiap bilik pada setiap tahun untuk kos tenaga, iaitu mewakili sehingga enam peratus daripada semua kos operasi.

Beliau berkata, pada tahun ini, syarikat itu menyasarkan untuk berkolaborasi dengan lebih ramai pemain dalam pelbagai industri termasuk hotel dalam meluaskan kehidupan eko positif menerusi produknya.

“Ia bagi menggalakkan lebih banyak kewujudan hotel hijau di Malaysia, sekali gus membantu merealisasikan hasrat kerajaan untuk mewujudkan persekitaran hijau di negara ini.

"Tambahan pula, pihak hotel mula menyedari untuk mengurangkan penggunaan tenaga ini bagi menjadikan perniagaan mereka lebih baik, selain menjaga alam sekitar dan mendatangkan keuntungan kepada reputasi mereka,” katanya.

Pecol dapat sambutan menggalakkan

Selain Malaysia, produk Pecol turut mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pemain industri hotel di luar negara seperti Indonesia, Singapura, Filipina, Vietnam dan Maldives.

Ini kerana, Ramani berkata, sifatnya yang mudah dipasang menarik syarikat pemaju atau kejuruteraan untuk menggunakan produk Pecol ke dalam projek pelanggan masing-masing.

"Syarikat pemaju atau kejuruteraan itu tidak memerlukan kehadiran kami di negara tersebut untuk tujuan pemasangan, sebaliknya mereka akan datang ke pejabat kami di Petaling Jaya, Selangor untuk membincangkan mengenai kapasiti sistem pemanas air atau pam pemanas yang diperlukan pelanggan mereka.

"Kami akan mereka bentuk produk yang boleh disesuaikan dengansaiz dan mengikut kehendak pelanggan mereka. Selepas siap, kami hanya akan menghantarnya ke negara terlibat," katanya.

Sehingga kini, lebih 60 peratus hotel di Malaysia menggunakan sistem pemanas air solar, tangki penyimpanan air panas hibrid dan pam pemanas jenama Pecol.

Pada tahun ini, Pecol optimis mencapai sasaran jualan antara RM8 juta sehingga RM10 juta bagi segmen industri hotelnya dipacu oleh promosi agresif secara berterusan.

Related Post

0 Komentar untuk " Pecol realisasi konsep hotel hijau "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ