Pastikan isytihar aset berkesan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pastikan isytihar aset berkesan

SETAKAT ini, hanya Ketua Menteri, Exco dan sebahagian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Pinang, dan sebahagian Exco Selangor, serta Ahli Parlimen (MP) Pandan Rafizi Ramli, merupakan ahli politik yang dengan sukarela membuat pengisytiharan asetnya dan maklumatnya dapat dilihat orang ramai di laman web kerajaan/peribadi yang berkaitan.

Ini antara dapatan kajian oleh Shaza Onn, bertajuk Bagaimana memperbaiki Sistem Pengisytiharan Aset Malaysia bagi memerangi rasuah yang diterbitkan Institut Demokrasi dan Ekonomi (Ideas) pada 2015.

Ia dikongsi oleh Ketua Pegawai Operasi Ideas Tricia Yeoh di Forum Pengisytiharan Aset yang dianjurkan dan dipengerusikan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Hannah Yeoh, di Shah Alam pada 3 Mac lalu. Ahli panel lain ialah Exco Pulau Pinang Jagdeep Singh, Pengasas C4 Cynthia Gabrel, Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Abdul Samat Kasah dan saya.

Dalam pembentangan saya, dengan merujuk, antaranya, OECD (2011) Asset Declarations for Public Officials: A tool to prevent corruption, dan pengalaman Georgia yang memenangi Anugerah Perkhidmatan Awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi kategori

Mengelak dan Memerangi Rasuah dalam Perkhidmatan Awam pada 2013, saya telah mengemukakan 10 cadangan dasar bagi memperbaiki sistem pengisytiharan aset Malaysia.
10 cadangan itu ialah:

Objektif: Ia mesti bermula dengan objektif yang jelas, iaitu: meningkatkan ketelusan dan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan awam; membantu ketua-ketua institusi-institusi awam mengelakkan konflik peribadi di kalangan kakitangannya; dan mengawasi pemilikan aset ahli politik dan pegawai kerajaan bagi mengelakkan mereka daripada melakukan salah laku dan melindunginya daripada tuduhan palsu.

Perundangan: Hari ini, ahli politik tidak diwajibkan membuat pengisytiharan aset. Menteri dan timbalan menteri melaporkannya kepada SPRM setiap dua tahun. Bagi pegawai kerajaan, telah terdapat peraturan yang mewajibkan pengisytiharan dibuat kepada ketua-ketua jabatan. Apa yang diperlukan ialah diwujudkan undang-undang yang mewajibkan ahli politik tertentu mengisytiharkan aset dan memperkukuhkan sistem bagi perkhidmatan awam.

Badan bertanggungjawab: Perdana menteri, timbalan perdana menteri, menteri, timbalan menteri dan MP perlu mengisytiharkannya kepada Jawatankuasa Parlimen yang bebas. Menteri besar/ketua menteri, Exco dan Adun mengisytiharkannya kepada Jawatankuasa Dun yang bebas. Kakitangan kerajaan mengisytiharkannya kepada SPRM. Anggota kehakiman mengisytiharkannya kepada jawatankuasa khasnya.


Siapa mesti mengisytiharkan aset?: PM, TPM, menteri, timbalan menteri, menteri besar/ketua menteri, Exco, MP, Adun, Datuk Bandar/YDP PBT, ahli majlis PBT, anggota badan kehakiman, pendakwa raya, ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan kerajaan, dan pegawai-pegawai kepada menteri/timbalan menteri.

Apakah aset perlu diisytiharkan?: Pendapatan tahunan, akaun bank, harta benda, harta benda boleh alih (kereta, barang kemas, dsb), perniagaan, kontrak, hadiah dan wang tunai.

Bagaimana pengisytiharan dibuat?: Dalam tempoh dua bulan selepas dilantik, dan pada setiap tahun.

Pengesahan: Pengisytiharan perlu disahkan oleh SPRM yang telah ditambah baik.

Hukuman: Keingkaran daripada membuat pengisytiharan mesti dihukum.

Perkongsian awam: Pengisytiharan mesti boleh diakses oleh khalayak, misalnya, melalui laman web.

Penilaian sistem: Sistem yang digunakan perlu dinilai dari semasa ke semasa bagi memastikan keberkesanannya.

Menurut OECD, hanya masa yang akan menentukan sejauh mana pengisytiharan aset dapat mengurangkan rasuah dan meningkatkan keyakinan terhadap perkhidmatan awam.

Tetapi, ia telah menjadi standard dunia, termasuk dengan gesaan PBB, sejak 2003, untuk negara-negara anggotanya melaksanakannya.

Bagi kita, dengan pelbagai isu dan skandal rasuah mutakhir ini, kita mesti memperbaiki dan menjadikannya benar-benar berkesan.
 
#Datuk Saifuddin Abdullah ialah Ketua Setiausaha Pakatan Harapan dan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Beliau aktif di twitter: @saifuddinabd.

0 Komentar untuk " Pastikan isytihar aset berkesan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ