Mampukah anak kita miliki rumah? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Mampukah anak kita miliki rumah?

DALAM filem, pengarah mampu mencipta apa sahaja ramalan, andaian dan khayalan semata-mata untuk menghiburkan penonton.

Dalam Nujum Pak Belalang, umpamanya, penonton dipersembahkan dengan satu demi satu telekan Pak Belalang, seorang nujum auta yang miskin, yang akhirnya menjadi menantu raja. Tetapi, dalam dunia realiti, ini mustahil.

Dalam suasana ekonomi tidak menentu, harga barang dan bayaran perkhidmatan makin tinggi, kos hidup semakin meningkat seperti sekarang, pengkaji paling hebat pun payah hendak ramalkan masa depan rakyat dalam tempoh tiga atau empat tahun akan datang, apatah lagi nasib anak cucu kita.

Kita ambil contoh tempat kediaman.

Anak muda yang bergaji empat atau lima ribu ringgit hari ini sudah mengeluh kerana terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah perbelanjaan. Kalau sudah berkahwin dan beranak, semakin beratlah bebanan yang ditanggung.

Sudah ramai mengikat perut dan membawa bekalan makanan dari rumah ke tempat kerja. Yang bergaji rendah tidak payah cerita lagilah.

Bayangkan, harga rumah teres sederhana dua tingkat, jauh di pinggir bandar besar pun sudah mencecah RM450,000 sebuah, kalau tidak lebih.

Mereka yang membelinya perlu bayar tidak kurang RM2,000 sebulan selama 25 tahun atau lebih.

Maka rumah yang sepatutnya jadi mampu milik sudah jadi ‘mampu lihat’ sahajalah bagi kebanyakan orang muda yang bergaji RM4,000 dan berkahwin.

Itu sekarang. Bayangkan lima atau 10 tahun lagi. Mampukah anak cucu kita beli rumah? Renungkanlah!

Ini bukan gurauan. Ini hakikat dan kerana itu, kerajaan dan semua yang berkaitan perlu bersungguh-sungguh mencari jalan keluar.

Dalam keadaan begitu, kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini bahawa sudah sampai masa untuk kerajaan campur tangan dalam menentukan harga rumah yang kini melambung tinggi, memberi harapan kepada ramai.

Kerajaan tidak boleh biarkan sepenuhnya kepada kuasa pasaran kerana harga rumah semasa tidak mampu dibeli oleh golongan berpendapatan rendah.

Rumah yang boleh dibeli dengan harga RM100,000 kira-kira 25 tahun lalu di setengah tempat di bandar kini sudah mencecah RM600,000 atau lebih.

Kalau begitulah trendnya, bayangkan harga sebuah rumah 10 tahun lagi.

Mampukah anak cucu kita membeli rumah masa itu?

Sebab itu di samping mengawal kenaikan harga rumah, kerajaan juga perlu kuatkuasakan undang-undang supaya rumah yang dikhaskan untuk rakyat berpendapatan sederhana dan rendah tidak terlepas ke tangan mereka yang tidak layak.

Tidak guna, umpamanya, bina rumah RM40,000 tapi yang layak menggigit jari.

Ahmad Zahid sendiri mengakui masalah perumahan amat meruncing, ketika beliau rasmi Konvensyen Perumahan Penjawat Awam pada 2 Mac lalu.

Untuk pegawai dan kakitangan kerajaan yang membeli rumah melalui Lembaga Perumahan Penjawat Awam pula, beliau juga setuju ia dikecualikan duti setem dan akan membawa perkara ini ke atas.

Kerajaan juga sedar tentang perlunya usaha memberi penjawat awam rumah mampu milik, sebelum mereka bersara sekurang-kurangnya.

Perancangan memang baik, tetapi pelaksanaan tidak semestinya berjalan lancar.

Banyak yang sudah tertangguh atau terbengkalai kerana masalah kos.

Yang kesiannya adalah pembeli, wang bank perlu terus dijelaskan, sewa rumah wajib dibayar, sedangkan hasrat memiliki rumah sendiri tinggal mimpi.

Sebab itu sangat wajar sesiapa yang biarkan projek terbengkalai dengan tujuan menipu pembeli patut dikenakan tindakan tegas, termasuk disenaraihitamkan.

Jabatan Perumahan Negara perlu teliti 18 projek perumahan untuk penjawat awam yang terbengkalai, 12 di Kelantan, sama ada perlu diambil tindakan atau tidak.

Hari ini beberapa kerajaan negeri sudah mengambil inisiatif mewujudkan rumah murah untuk yang memerlukan.

Ia adalah langkah yang patut dipuji, tetapi seperti dalam apa sahaja bidang, ada sahaja yang menangguk di air keruh.

Difahamkan ada tempat-tempat di mana rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang disewakan pada kadar RM124 hingga RM150 sebulan disewakan pula pada kadar RM400.

Sahlah mereka yang menyewakan rumah PPR itu sudah ada rumah lain.

Dengarnya kerajaan sudah bertindak untuk menghukum mereka yang mengambil kesempatan ini.

Kita juga berharap tidaklah ada pihak yang mengagihkan rumah murah dan mampu milik atas dasar pilih bulu.

0 Komentar untuk " Mampukah anak kita miliki rumah? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ