Fellina buka cawangan di Shah Alam - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Fellina buka cawangan di Shah Alam

SEBAGAI menghargai pelanggannya di Lembah Klang, Syarikat Raffelinna Sdn Bhd yang dikenali dengan jenama Fellina melaburkan kira-kira RM80,000 untuk membuka cawangan baharunya, Fellina Boutique yang keempat di Shah Alam, Selangor.

Pengarah Urusannya, Muhammad Rafie Ramli berkata, pembukaan butik keempat itu bertujuan memudahkan pelanggan Fellina Boutique di sekitar Lembah Klang mendapatkan rekaan jubah dan selendang di butik sahaja tanpa membeli secara atas talian (online).

Menurutnya, kajian dijalankan menunjukkan kira-kira 60 peratus pelanggannya adalah sekitar Lembah Klang yang selama ini hanya membeli produk mereka melalui atas talian (online) sahaja dan mengunjungi butik mereka yang terletak di Bangi Sentral, Selangor.

"Pembukaan butik ini memudahkan mereka untuk berkunjung ke butik dan merasai sendiri jenis fabrik dan material yang digunakan. Kami juga mahu bersaing secara sihat dengan peniaga lain yang berada di sini.

"Kami sebagai peniaga yang berasal dari Kedah mahu bersama-sama dengan peniaga di sini yang kebanyakannya merupakan usahawan pakaian dan keperluan Muslimah, malah kawasan Seksyen 7, Shah Alam sentiasa menjadi tumpuan orang ramai untuk membeli-belah," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Majlis Pembukaan Fellina Boutique, baru baru ini.

Muhammad Rafie berkata, tiga Fellina Boutique terletak di Alor Setar; Kedah, Bertam; Pulau Pinang dan Bangi Sentral, Selangor.

"Walaupun kami membuka cawangan di Bangi Sentral pada tahun lalu, kami memilih untuk membuka cawangan di Shah Alam kerana kuasa membeli tinggi di Lembah Klang dan memudahkan pelanggan kami terutamanya di Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Klang mendapatkan jubah dan selendang yang mereka inginkan.

"Kami mahu membantu pelanggan kami kerana kebanyakan mereka baru memulakan penghijrahan lebih baik. Kami menyediakan lebih 100 rekaan jubah dan 50 rekaan tudung patuh syariah," katanya.

Ditanya mengenai perancangan syarikat, Rafie berkata, Fellina akan membuka dua cawangan baharu iaitu di Kelantan dan Johor pada tahun hadapan kerana melihat kepada potensi permintaan tinggi di kedua-dua negeri tersebut.

"Kami hanya membuka satu sahaja butik pada tahun ini kerana mahu mengukuhkan jenama untuk terus kekal berada di pasaran.

"Fellina juga menembusi pasaran antarabangsa antaranya di Emiriah Arab Bersatu, Singapura, China, Belanda. Kami merancang untuk membuka cawangan di luar negara iaitu di Korea dalam masa lima tahun akan datang," katanya.

Menurutnya, sempena pembukaan butik baharu itu, syarikat menawarkan potongan harga sehingga 40 peratus.

Sementara itu, ditanya mengenai produk mereka, jus Caliph Suplimen Sunnah, Rafie berkata, setakat ini, produk tersebut berjaya dijual sebanyak 1.1 juta kotak dan menyasarkan ia akan terjual 2 juta menjelang akhir tahun ini.

"Alhamdulillah, sambutan yang diterima di luar jangkaan kerana dalam tempoh setahun di pasaran. Bagi produk baharu kami jus Caliph, ia berjaya dijual sebanyak 35,000 walaupun baharu sebulan dilancarkan.

"Kami menyasarkan ia akan mencapai angka yang lebih baik kerana setakat ini, jumlah pelanggan sedia ada adalah sejuta. Jumlah tersebut dicapai kerana dipacu oleh teknik pemasaran dan kewujudan 200 pengedar kami di seluruh negara. Kami menyasarkan pelanggan baharu akan bertambah kepada dua juta pada tahun ini," katanya.

Ditanya mengenai perancangan syarikat tersebut dalam masa lima tahun, Rafie berkata, pihaknya mahu mengeluarkan produk khusus kepada keperluan bayi dan kanak-kanak.

"Setakat ini, kami masih dalam proses kajian dan penyelidikan mengenai beberapa produk antaranya susu formula, lampin pakai buang, pakaian dan sebagainya," katanya.

Sempena pembukaan butik baharu tersebut, Fellina memperkenalkan selendang baharu iaitu Tudung Kak Fell dan menyediakan hadiah kepada 1,000 pelanggan bertuah.

0 Komentar untuk " Fellina buka cawangan di Shah Alam "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ