Dasar Pekerjaan 2.0 - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Dasar Pekerjaan 2.0

WALAUPUN pada 19 Februari lalu, Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan pembekuan serta-merta kemasukan pekerja asing, termasuk dari Bangladesh, tetapi tidak ramai mempercayainya. Kalau bersembang dengan pegawai-pegawai jabatan tertentu, meninjau lapangan terbang antarabangsa, dan mendengar perbualan mereka yang terlibat dalam proses merekrut pekerja asing, maka, kita akan tahu cerita sebenar.

Kita bukannya anti pekerja asing. Pada realitinya, kita memerlukannya. Tetapi, apa yang mesti dilakukan ialah mempunyai dasar jelas tentangnya. Lebih penting lagi ialah mesti diwujudkan dasar pekerjaan yang baharu, bersepadu dan komprehensif – Dasar Pekerjaan 2.0.

Dasar Pekerjaan 2.0 perlu meliputi, antara lain, perkara-perkara berikut:

Faktor-faktor jangka masa panjang dan pendek yang mempengaruhi pertumbuhan ekonomi: Kita tidak boleh terperangkap dengan terlalu memfokuskan pada perkembangan ekonomi jangka pendek. Sebaliknya, perlu memahami dinamika perkembangan jangka panjang, kerana inilah yang sebenarnya mempengaruhi pekerjaan.

Jenis-jenis baharu pekerjaan: Menurut Robert Reich, “tangga pekerjaan” di mana pengurusan dan profesional di tempat paling atas, manakala petani dan tukang di tempat paling bawah, sudah tidak sesuai. Ia diganti pekerjaan-pekerjaan baharu yang berasaskan kreativiti dan inovasi di tempat paling tinggi. Hari ini, jurutera yang hanya membuat kerja rutin mungkin lebih rendah gajinya berbanding pembuat kasut yang kreatif. Kalau kita hendak maju dalam ekonomi berasaskan inovasi, mesti sediakan ekosistem kondusif, iaitu keterbukaan, kebebasan dan governans baik, bukannya undang-undang drakonian dan penindasan.

Geografi pekerjaan: Menurut Enrico Moretti, perubahan enjin pertumbuhan daripada pertanian kepada pengilangan kepada inovasi menyebabkan lokasi pekerjaan yang terbaik juga berubah ke lokasi-lokasi baharu. Lokasi bukan hanya soal tempat kerja, tetapi termasuk keindahan, kebersihan, keselamatan, kebudayaan dan kedamaian.  

Peranan seimbang majikan-majikan: Di samping peranan utama perniagaan dalam menyediakan pekerjaan, juga sektor awam, perlu beri perhatian kepada sektor masyarakat sivil yang berpotensi menjadi majikan besar.

Penstrukturan-semula sektor-sektor ekonomi tertentu: Perlu struktur-semula sektor seperti pertanian dan pembinaan  terlalu banyak menggunakan pekerja asing.

Automasi: Ke mana perginya dasar layan-diri di stesen petrol hingga menyebabkan ia dipenuhi pekerja Bangla? Perlu pembaharu dasar automasi sambil memfasilitasi peluang pekerjaan baharu untuk mereka yang terlibat.

Gaji minimum: Gaji minimum yang lebih baik akan menyebabkan pekerja tempatan sanggup melakukan kerja-kerja yang kini dilakukan pekerja asing.

Kebajikan: Perlu diwujudkan skim kebajikan lebih baik untuk pekerja dan keluarganya.

Jurang pendapatan: Perlu dipantau jurang antara mereka yang bergaji paling tinggi dengan yang paling rendah untuk mengelakkan kesenjangan di dalam organisasi dan dalam kalangan rakyat.

Kesaksamaan: Perlu diwujudkan undang-undang yang menjamin kesaksamaan peluang dan mengelakkan diskriminasi (berasaskan ras, keturunan, tempat lahir, agama, gender, kelainan upaya) dalam pekerjaan.

Hak pekerja: Menggalakkan pekerja menyertai kesatuan sekerja bagi melindungi kepentingan mereka.

Melindungi pekerja tempatan: Perlu ada perundangan/peraturan yang menetapkan hanya diambil pekerja tempatan yang memiliki persijilan dari institusi pendidikan dan latihan tempatan. Pekerja asing hanya diambil bagi kerja-kerja tertentu sahaja.

Dasar pekerja asing: Perlu diwujudkan dasar pekerja asing yang sistematik, bukannya yang menguntungkan orang politik.

Kebolehkerjaan belia tempatan: Mesti dirapatkan jurang antara bilik darjah dengan tempat kerja.

Brain drain: Sambil perlu mengundang balik pekerja kita yang bekerja di luar negara, perlu juga dielakkan daripada ada rakyat yang terpaksa belajar di luar negara kerana kelayakannya dari sekolah-sekolah tempatan tidak diiktiraf oleh universiti awam.

#Datuk Saifuddin Abdullah ialah Ketua Setiausaha Pakatan Harapan dan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Beliau aktif di twitter: @saifuddinabd.

0 Komentar untuk " Dasar Pekerjaan 2.0 "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ