Antara peguam negara dan gabenor - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Antara peguam negara dan gabenor

MELIHAT sesetengah presiden dan perdana menteri diseret dan dibicarakan di mahkamah menunjukkan, bahawa peguam negara masing-masing bebas bertindak dalam kemungkinan begitu. Apa yang berlaku di negara-negara tetangga Filipina, Thailand, Indonesia dan negara-negara jauh, termasuk Israel dan Amerika Syarikat (AS), menjadi bukti tersendiri.

Di Malaysia, Peguam Negara (PN) dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong setelah baginda dinasihati oleh Perdana Menteri. Selepas dilantik, PN bertanggungjawab menasihati baginda atau menteri relevan tentang perihal perundangan negara yang ditugaskan kepadanya. Selain daripada tugas-tugas begitu, PN juga bertanggungjawab melaksanakan fungsi yang diperuntukkan dalam perlembagaan dan mana-mana undang-undang bertulis. Segalanya itu terdapat dalam Fasal 145 Perlembagaan Malaysia.

Walau bagaimanapun, terdapat satu konflik dalam fasal ini. Di satu pihak, PN memegang jawatannya atas cita rasa baginda, tetapi di pihak lain, PN berkuasa mutlak mengambil tindakan atau memberhentikan sesuatu tindakan. Dalam Fasal 145 ini, nama Yang di-Pertuan Agong disebut lima kali, sekali perdana menteri, dua kali Kabinet dan sekali menteri.

Satu pengertian Fasal 145 ini adalah setelah peguam negara dilantik menurut proses di atas, beliau bertanggungjawab terus kepada Yang di-Pertuan Agong. Namun ini tidak berlaku. Dalam kes Tan Sri Gani Patail, mantan PN, beliau diberhentikan menurut urutan YDP Agong menerima nasihat PM. Andainya PN bertanggungjawab terus kepada baginda, mungkin realiti lain yang timbul.

Perdana menteri ialah seorang manusia. Biasanya seseorang manusia itu tidak akan membuat sesuatu yang membahayakan atau menjahanamkan diri sendiri. Malah dalam silasatul-ambia (kisah Nabi-Nabi) pun tidak terbayang begitu. Namun ada suatu kejadian yang dekat dengan kejadian begitu. Dalam tahun 1968, Perdana Menteri Australia, John Gorton, melawat Malaysia. Perdana Menteri kita ialah Tunku Abdul Rahman. Kesan yang ditinggalkan Gorton dalam setia kawan Malaysia-Australia adalah amat baik,

Namun tidak lama selepas beliau pulang ke negaranya, beliau menghadapi undi tidak percaya dalam Parlimennya di Canberra. Hasil pengundian ialah seri: jumlah undi menyokong sama dengan undi menentang. Sebagai sorang demokrat tulen yang tidak mahu melihat negaranya terjerumus ke dalam kancah kelam-kabut dan tidak menentu, beliau dalam senyum memberikan undinya yang menentang dirinya sendiri. Habislah kedudukannya sebagai perdana menteri.

Dengan kata-kata I am not indispensable; anybody can replace me, (Saya tidak menongkat langit; sesiapa boleh mengganti saya), lalu penggantinya dilantik. Belia memberitahu dunia selepas episod besar itu bahawa beliau boleh memberikan undi beliau untuk terus menjadi PM, tetapi akibatnya pasti buruk. Kemungkinan besar partinya akan kalah pilihan raya yang akan menjelang. Tindakan beliau mengorbankan diri sendiri berjaya menyelamatkan kerajaannya dan senang menghadapi pilihan raya. Dengan sendirinya beliau tidak menjadi isu lagi.

Apabila Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz membuat kenyataan berkenaan bakal pemberhentiannya sebagai Gabenor Bank Negara baru-baru ini, beliau secara tertentu berkata bahawa isu 1MDB akan beliau bereskan dulu sebelum gabenor baharu mengambil alih. Ini, katanya, adalah satu sikap yang berlaku adil memandangkan 1MDB tercetus ketika beliau mengetuai Bank Negara.

Tidak boleh dinafikan lagi 1MDB adalah satu perkara besar di sisi Bank Negara. Akta Bank Negara mempertanggungjawabkannya menjaga keamanahan wang negara: tiada pendobian (laundering) wang; tiada pergerakan wang keluar-masuk yang tidak terkawal rapi; dan seterusnya. Jelas sekali daripada kata-kata beliau, BNM tidak berpuas hati dengan perilaku 1MDB menurut piawaian tingginya.

Selepas menyebutkan semuanya itu, Zeti terpaksa menghadapi realiti kuasa Peguam Negara yang mempunyai kata-kata terakhir, sama ada akan bertindak ataupun tidak. Soalnya, apakah seorang Gabenor Bank Negara yang pernah dianggap sebagai seorang daripada lima yang terbaik di dunia, dan pernah menjadi calon untuk menjadi Nombor Satu Tabung Wang Antarabangsa (IMF), dianggap membuat penilaian yang salah terhadap perlakuan 1MDB?

Jika salah jawapannya, ia akan menimbulkan lebih banyak soalan daripada jawapan di dalam dan di luar negara.

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat

0 Komentar untuk " Antara peguam negara dan gabenor "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ