
Setiausaha Agung parti Islam itu, Datuk Takiyuddin Hassan ketika mengumumkan kerjasama tersebut di KL berkata, pembentukan ini “membuka ruang ke arah pembinaan kumpulan persefahaman yang lebih tersusun.”
Beliau menegaskan pendekatan ini juga akan bergerak di atas teras penyelesaian dan politik membina, di samping menolak budaya politik oportunis, kasar dan perkauman sempit.
Baru sehari dua ditubuhkan, tidak perlu komen panjang-panjang. Kita tengok sahaja sejauh mana blok baru pembangkang ini boleh mengotakan kata-kata, lebih-lebih lagi dalam bab oportunis. Tunggu...
*Pas memilih Ikatan sebagai rakan kongsi. Ramai tidak perasan kewujudan parti baru itu. Walaupun sudah ditubuhkan 2012 orang tidak tahu parti tersebut sebab tidak pernah ada publisiti mengenainya.
Maka tidak menghairankan apabila siang-siang sesetengah pihak berasa parti Islam terbesar itu mungkin silap langkah berpakat dengan Ikatanas. Pas ada pengaruh, ada ramai ahli, apa signifikannya menempel dengan parti kecil itu.
Bagi kebanyakan orang, tidak akan ada kesan parti besar kawan dengan parti kecil lagi senyap sepi. Sepatah kata Lim Kit Siang DAP, kosong campur kosong, jawapannya tetap kosong...
*KERANA terlalu terdesak, seorang bapa tergamak mencuri buah epal, buah pir dan beberapa botol minuman, kesemuanya berharga RM27, di Pasar raya Tesco Bukit Mertajam.
Nasibnya tidak baik, apabila lelaki berusia 31 tahun itu ditahan oleh pihak keselamatan. Tetapi nasibnya menjadi baik setelah dia bersemuka dengan Radzuan Maasan, pengurus besar pasar raya berkenaan.
Tidak melaporkan kepada polis, pasar raya itu sebaliknya menawarkan pekerjaan kepada si pencuri. Siasatan yang dijalankan mendapati lelaki tersebut mencuri sebab tiga anaknya – berusia 2 hingga 7 tahun – kelaparan, dan dia tidak ada duit untuk membeli.
Kunjungan ke rumah lelaki tersebut juga membuktikan dia tidak ada apa-apa untuk diberi makan anaknya, isterinya terlantar di hospital kerana koma, dan dia telah diberhentikan kerja.
“Kami buat ini atas dasar kemanusiaan,” kata Radzuan. Dia tahu lelaki berkenaan mencuri kerana terpaksa. Mencuri terpaksa berbeza dengan mencuri sengaja. Terima kasih atas keprihatinan Tesco!
*KETIKA ada insan tidak berduit terpaksa mencuri untuk makanan anak, sekumpulan orang kita terlebih duit dan kekayaan melimpah ruah, sehingga masuk dalam kelompok jutawan.
Seperti yang dilaporkan media, jumlah jutawan di Malaysia bertambah lebih dua kali ganda dalam tempoh sepuluh tahun ini – dari 19,900 orang pada 2005 menjadi 41,750 orang tahun 2015.
Agensi antarabangsa Frank Wealth Knight yang mengukur aset bersih individu di seluruh dunia mendapati pertambahan bilangan jutawan di negara ini amat memberangsangkan.
Pada 2005 terdapat 1,200 jutawan bernilai lebih AS$10 juta (RM41.54 juta); pada 2015 ada 2,520 jutawan dalam kategori ini. 12 individu telah direkodkan bernilai lebih AS$1 bilion (RM4.15 bilion).
Tahun lepas, Datuk Mokhzani Mahathir disenaraikan sebagai antara ahli kelab ‘bilionaires’ Malaysia dalam satu kajian yang dijalankan oleh Forbes.
*WALAUPUN jutawan bertambah, keadaan seperti ini ada juga tidak baiknya pada Malaysia. Kajian Frank Wealth Knight mendapati makin ramai yang kaya-raya makin banyak pula wang kita dihantar ke luar.
Kajian tersebut mendapati ramai golongan ‘ultra kaya’ mungkin turut membawa keluar wang mereka ke tempat yang lebih baik.
Kajian ke atas penasihat pengurusan kekayaan di Malaysia mendapati 26.3 peratus berkata pelanggan mereka sedang mempertimbangkan menukar negara tempat mereka tinggal.
Mungkin betul andaian sesetengah pihak bahawa semakin kaya raya seseorang itu, semakin merosot pula kesetiaan dan kecintaan kepada negara!
*AKHIR kalam, masih mengenai duit dan kekayaan. Walaupun tidak tersenarai dalam kajian Frank Wealth Knight, perlu dijelaskan di sini bahawa pernah beberapa hari dalam hidup saya menjadi jutawan.
Meski dalam ekonomi yang meleset dan kejatuhan ringgit, bulan lalu selama empat hari tiga malam saya bergelaran jutawan. Alkisah, saya menaiki penerbangan tambang murah dari KLIA2 jam 7.15 pagi – terpaksa keluar rumah sebelum subuh untuk mengejar pesawat.
Sejam kemudian, saya terus menjadi jutawan sebaik mendarat di Medan...jutawan rupiah!
TOK PERAK
0 Komentar untuk " Alkisah seorang jutawan segera "