Tolak-ansur, pengorbanan elak konflik berpanjangan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Tolak-ansur, pengorbanan elak konflik berpanjangan

Konflik adalah perkara lumrah akibat perbezaan nilai, kehendak, pendirian dan perasaan dalam usaha memenuhi keperluan serta matlamat. Apatah lagi jika soal pentadbiran dan pengurusan dalam sesebuah organisasi. Perselisihan faham tidak dapat dielakkan kerana setiap orang mempunyai pandangan berbeza dalam menilai sesuatu perkara. Jika membabitkan perkara berkaitan agama, istilah perselisihan pendapat ini disebut sebagai al-Khilaf.

Tanggapan negatif jejas hubungan 

Seseorang akan cenderung mentafsir tingkah laku orang lain dan ia menyebabkan wujud banyak tanggapan negatif sehingga menjejaskan perhubungan. Oleh itu, kita harus mengutamakan organisasi yang mendominasi keputusan pendapat atau pendirian diri sendiri. Percanggahan pendapat dan pegangan yang ketara akan menyukarkan proses membuat keputusan, selain menambahkan konflik sedia ada. Perbezaan berlaku apabila setiap individu mempunyai perspektif berbeza mengenai peranan masing-masing.

Penyelesaian konflik perlu bermula dengan tindakan, perasaan dan kesanggupan untuk berubah. Antara tujuan syariat Islam adalah berusaha mempersatukan persepsi umat dan mencegah terjadinya perselisihan yang tercela. Namun, berselisih pendapat adalah fitrah dan realiti yang tidak mudah dihalang. Oleh itu, perselisihan seharusnya diterima dalam konteks perlu ada usaha menyelesaikan perkara itu mengikut adat dan peraturan dibenarkan. Dalam mengendalikan sesuatu konflik, semua pihak yang terbabit perlu mencari satu titik persamaan iaitu tujuan dan matlamat yang dapat dikongsi bersama. Tolak-ansur dan pengorbanan perlu dalam mencapai kata sepakat, bermesyuarat adalah jalan terbaik.

Konsep bermesyuarat cara Islam 

Konsep bermesyuarat meliputi proses perbincangan dan perundingan adalah budaya pengurusan cara Islam. Syura atau musyawarah ada dinyatakan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (bagi) orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan solat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan mesyuarat antara mereka; dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang kami berikan kepada mereka." (Surah asy-Syura, ayat 38)

Mengambil masa terlalu lama untuk menyelesaikannya perbezaan atau perselisihan dibimbangi akan merebak seperti api membakar hutan. Kelemahan membuat keputusan akan menambahkan lagi masalah sedia ada. Menyelesaikan perselisihan pandangan tidak mudah, pihak yang menang sudah tentu akan rasa puas manakala yang kalah tetap menyimpan perasaan untuk mencari kemenangan jika ada ruang. Penyelesaian terbaik ialah umpama menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak rosak. Sebarang perselisihan yang berlaku jangan dibiarkan berpanjangan tanpa penyelesaian kerana ia akan membawa kepada perpecahan dan pertelingkahan tidak terkawal.

* Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Damai Sejahtera Malaysia

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/123594

Related Post

0 Komentar untuk " Tolak-ansur, pengorbanan elak konflik berpanjangan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ