Rugi RM3,000 kerana beg tangan berjenama - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Rugi RM3,000 kerana beg tangan berjenama

SEMENTARA itu, kakitangan awam, Siti Najwanis Zainun berkata, dia pernah menjadi mangsa penipuan perniagaan beg tangan atas talian beberapa tahun lalu.

“Saya seronok membeli secara atas talian kerana hanya membeli di hujung jari sahaja. Saya tidak perlu bersesak di jalan raya, jimat masa dan kos. Malangnya, pelaburan saya hampir RM3,000 membeli beg tangan berjenama, hangus begitu sahaja.

“Kekurangan maklumat peribadi mengenai peniaga atas talian (online) adalah penyebab utama kes melibatkan penipuan perniagaan sukar dibawa ke pihak berkuasa terutamanya Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia,” katanya.

Menurutnya, apabila mengetahui ditipu, dia melakukan siasatan siapa peniaga terlibat dan mendapati sememangnya peniaga berkenaan terlibat dalam banyak kes penipuan, malah menggunakan artis terkenal kononnya membeli daripadanya.

Siti Najwanis berkata, dia menjadikan kes penipuannya sebagai pengajaran dan mengingatkan kepada pengguna yang berurusan dengan peniaga online perlu mendapatkan nama, nombor kad pengenalan serta alamat peniaga berkenaan.

“Pengguna perlu bijak menyiasat latar belakang mengenai peniaga online sebelum membuat sebarang transaksi pembayaran,” katanya.

Tambahnya, pengguna yang berurusan dengan syarikat luar negara harus memastikan syarikat itu mempunyai cawangan di Malaysia kerana jika tidak berpuas hati dengan produk yang ditawarkan, ia boleh difailkan di tribunal.

“Pengguna perlu mengetahui hak mereka sebagai pengguna dengan membuat tuntutan jika berlaku penipuan dalam urus niaga. Mereka perlu mengetahui di mana mereka boleh membuat aduan sekiranya menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Indah khabar dari rupa

Pekerja swasta, Asilah Muhammad berkata, keseronokan membeli barang secara online membuatkan ramai memilih cara berkenaan yang dianggap mudah, cepat, menjimatkan bagi mendapatkan produk mahupun perkhidmatan.

“Lebih-lebih lagi pada Ramadan dan menjelang Aidilfitri, pembelian secara online menjadi sebahagian daripada gaya hidup dan dikaburi dengan pelbagai promosi peniaga online.

“Saya tinggal di Kedah dan membeli secara online pakaian untuk hari raya, yang mana perniagaan tersebut beroperasi di Lembah Klang.

"Saya membeli lima pasang untuk dihadiahkan kepada ibu, kakak dan adik kerana mahu sedondon,” katanya.

Menurutnya, seperti yang dijanjikan, dia membayar dahulu seperti yang diminta lebih RM1,000 dan dijanjikan dalam masa lima hari atau sebelum hari raya saya akan menerima pakaian yang dibeli.

Bagaimanapun setelah menerima pakaian tersebut, nyata ia indah khabar dari rupa.

“Saya mendapat baju yang dijanjikan, malangnya tidak mengikut warna dan saiz yang ditempah.

"Banyak jahitan yang tidak kemas dan saya kecewa.

“Sejak daripada itu, saya mengambil keputusan tidak mahu membeli secara online lagi kerana saya mahu merasai jenis kain, warna dan memastikan jahitan yang dibuat kemas,” katanya.

Selidik syarikat perniagaan

Bagi pensyarah, Norsuraini Mohd Hassan, dia mula aktif dalam pembelian online sejak tiga tahun lalu kerana mahu jimatkan masa, senang dan mudah.

"Sehingga ke hari ini, saya belum menjadi mangsa penipuan. Sebelum membeli, saya akan menyiasat siapa pemilik perniagaan tersebut, testimoni pelanggan dan sebagainya.

"Saya juga tidak ada masalah terutamanya dari segi jahitan, warna dan kualiti produk yang dibeli. Saya kerap membeli pakaian kanak-kanak, tudung dan aksesori serta buku kanak-kanak," katanya.

Selain membeli secara online, Norsuraini juga merupakan peniaga online.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Zawara Sdn Bhd, Kamarul Karim berkata, masalah dalam perniagaan online yang sering dihadapinya ialah pertukaran warna produk, saiz dan jahitan yang tidak kemas.

"Setiap hari, kami menguruskan lebih 60 dan kadang-kadang mencecah 1,200 yang perlu diposkan. Kami akan menghantar barang yang dibeli dalam masa 24 jam.

"Kami mengutamakan perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan. Kami mengalu-alukan aduan daripada pelanggan mengenai perniagaan online kami dan kami akan memberikan ganjaran kepada mereka," katanya.

NCCC terima 7,641 aduan

Pembelian barangan dalam talian mencatatkan aduan tertinggi iaitu sebanyak 7,641 aduan berikutan sikap pengguna yang tidak memahami terma dan syarat pembelian, selain beranggapan penguatkuasaan bagi mana-mana perniagaan.

Eksekutif Polisi dan Undang-Undang Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Shabana Naseer Ahmad berkata, pengguna memilih untuk berurus niaga secara atas talian kerana mahu membeli barang yang lebih murah atau berkualiti. Dengan pembelian atas talian, pengguna dapat menjimatkan masa, kos dan tenaga.

“Pengguna hanya perlu melayari laman sesawang perniagaan tertentu untuk melihat barangan yang hendak dibeli, hanya satu klik sahaja membeli barang dan perkhidmatan yang diingini,” katanya.

Bagaimanapun katanya, orang ramai sering menjadi mangsa kepada peniaga dalam talian kerana mereka tidak menyemak terlebih dahulu sama ada perniagaan tersebut berdaftar atau tidak dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Shabana berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 51.8 peratus pengguna menjadi mangsa pembelian dalam talian apabila menerima barangan yang tidak sama seperti yang dipaparkan di laman web dan terpaksa menunggu lebih lama bagi mendapatkan barangan.

“Pengguna akan cuba menghubungi peniaga terbabit untuk mendapatkan pulangan wang mereka semula. Kebanyakan peniaga terbabit tidak berdaftar dengan SSM dan bertindak menghilangkan diri.

“Ia akan memakan masa yang lama untuk pihak berkuasa mengesan dan mengambil tindakan susulan. NCCC menasihatkan pengguna supaya lebih berhati-hati, berfikir dahulu sebelum membuat pengesahan pembelian dalam talian dan membaca terlebih dahulu syarat-syarat juga terma yang terdapat dalam proses pembelian,” katanya.

Dalam pada itu, Shabana berkata, NCCC akan menghantar memorandum kepada kerajaan bagi mencadangkan penambahbaikan yang mampu memperkukuh dan melindungi kepentingan pengguna berkaitan pembelian atas talian di Malaysia.

Menurutnya, antara cadangan NCCC adalah meminda undang-undang yang lama, mewujudkan kesedaran, mendidik orang ramai mengenai hak mereka dan pembaharuan terhadap undang-undang yang sedia ada untuk melindungi pengguna atas talian.

“Ia bagi memastikan undang-undang dapat mengendalikan masalah e-dagang yang kompleks seperti pengguna yang membeli barangan atas talian daripada penjual yang beroperasi di luar negara,” katanya.

0 Komentar untuk " Rugi RM3,000 kerana beg tangan berjenama "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ