Riak, gemar mengungkit hapuskan pahala kebajikan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Riak, gemar mengungkit hapuskan pahala kebajikan

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Adakah seseorang di antara kamu suka mempunyai sebuah kebun daripada pokok tamar (kurma) dan anggur yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, ia juga mempunyai dalam kebun itu segala jenis buah-buahan, sedang ia sudah tua dan mempunyai banyak anak cucu yang masih kecil, lalu kebun itu diserang oleh angin taufan yang membawa api sehingga terbakarlah ia? Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu keterangan supaya kamu berfikir (dan mengambil iktibar)." (Surah al-Baqarah, ayat 266)

Allah SWT memberikan perumpamaan orang yang membelanjakan hartanya diiringi ungkitan dan menyakitkan perasaan orang lain. Dia mengharapkan faedahnya berlipat ganda pada hari kiamat tetapi pada hari itu dia tidak memperoleh seperti yang diharapkan. Sebaliknya, amalan sedekah yang diberinya dahulu dilihat hanya bagaikan debu berterbangan lantaran pahala dermanya telah dimusnahkan oleh perbuatan mengungkit pemberian dan kata yang menyakitkan hati.

Tak berdaya baiki kesilapan 

Sedangkan pada hari itu dia tidak mempunyai apa-apa kekuatan lagi, tidak ada penolong dan tidak berdaya untuk memperbaiki kesilapannya yang lalu. Itulah yang berlaku kepada mereka yang mengharapkan ganjaran daripada sedekahnya tetapi tiada yang tinggal disebabkan sikap suka mengungkit pemberian. Pada hari kiamat nanti, sewaktu mengharapkan pahala daripada pengorbanan yang telah dilakukan, dia bertembung dengan angin berapi yang berasal daripada suara teriakan ungkit-mengungkit dan menyakiti perasaan yang menghancurkan segala kebaikan dilakukan sebelum itu. Sememangnya berubah menjadi buih yang tidak berguna lagi. Lalu jadilah dia orang yang sangat menyesal, sedangkan pada hari itu penyesalan tidak berguna lagi. Pada hari akhirat tiada sesuatu yang berguna selain amal salih dikerjakan ikhlas dan suci hati kerana Allah SWT.

Bagaimana jika amalan yang dibawa ke akhirat itu ditolak kerana telah dirosakkan oleh riak dan menunjuk-nunjuk kepada orang, sedangkan pada hari kita sangat memerlukan faedah daripada amalan salih yang dilakukan. Pertanyaan al-Quran ini sungguh mendalam maknanya seolah-olah ia bertanya, siapakah yang mahukan kesudahan sebegini rupa? Siapakah yang memikirkan masa depan anak, tetapi tidak mencari jalan bagi menjaga kebajikan mereka andainya berlaku sesuatu tidak diduga? Manusia sering menjadi mangsa kepada amalannya yang tidak disempurnakan dengan wajar. Mereka perlu bijak berfikir dan adil apabila membuat sesuatu keputusan. Nabi SAW menyebutkan segolongan manusia pada hari akhirat datang membawa dosa yang dilakukan dengan mudah tanpa memikirkan akibatnya.

Amalan menjadi debu 

Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya aku mendapat maklum, ada beberapa kaum daripada umatku datang membawa amal kebajikan pada hari kiamat bagaikan Bukit Tihamah, lalu Allah jadikannya debu yang berterbangan. Berkata Thawban: Wahai Rasulullah, terangkan kepada kami siapakah mereka, semoga kami tidak termasuk dalam golongan mereka. Sabda Nabi SAW: Sesungguhnya mereka itu saudara kamu dan daripada keturunan kamu juga, mereka bersembahyang malam seperti kamu juga, tetapi mereka adalah orang yang apabila berhadapan dengan larangan Allah, mereka cerobohinya." (Riwayat Ibnu Majah)

Sheikh Muhammad Tantawi berkata, ayat itu mengingatkan kita supaya berwaspada ketika melakukan kebaikan supaya pada masa yang sama turut melakukan perkara dilarang Allah SWT. Kesannya nanti orang itu tidak mendapat faedah pada hari kiamat sedangkan dia sangat memerlukannya. Ia adalah perbandingan betapa sengsaranya hidup seseorang yang telah dikurniakan nikmat ketika muda dengan mempunyai kampung halaman, tanah kebun yang subur dan tempat kediaman selesa. Namun menjelang tua, tiba-tiba tempat kediaman dan kebunnya itu ditimpa bencana besar seperti ribut taufan yang disertai panah petir yang membakar kesemua kebunnya. Tentu kejadian seperti itu amat tidak disukai oleh sesiapa pun.

Demikianlah bandingannya orang yang beramal kebajikan, jika diungkit atau menyakiti hati orang yang menerima sumbangan, maka gugurlah pahala amal kebajikannya itu sehingga menjadi kosong. Allah SWT menjelaskan kepada manusia akan dalil agama-Nya, rahsia-Nya, manfaat serta tujuannya, supaya manusia memikirkannya dan mengambil pengajaran sehingga mereka dapat mengeluarkan sedekah untuk mencari keredaan Allah SWT, bukan disebabkan riak serta menyakitkan hati orang lain.

Penulis ialah Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/122298

Related Post

0 Komentar untuk " Riak, gemar mengungkit hapuskan pahala kebajikan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ