Mula dengan pasar tani - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Mula dengan pasar tani

BERMULA secara kecil-kecilan dengan menjual produk hasil pertanian seperti sayur kampung dan tapai di pasar tani, siapa sangka MHP Enterprise kini semakin dikenali sebagai pemborong, pengedar dan pengeluar produk makanan ringan daripada sumber pertanian.

Perniagaan yang pada awalnya dijalankan hanya untuk menyara keluarga kini menjadi semakin berkembang sehingga generasi kedua.

Segalanya bermula selepas Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menasihati pengasasnya, Punari Salleh dan isterinya, Mastura Senon, tidak selamanya berniaga di bawah payung.

Dari situ, mereka mula mengorak langkah membuka perniagaan perusahaan makanan pada 6 Julai 1992 dan mengelaskan produk yang ingin dijual kepada makanan ringan dari sumber pertanian dengan menggunakan jenama Masri, hasil gabungan nama Mastura dan Punari.

Anak sulung pasangan suami isteri itu, Musleha Punari@Zainuddin yang juga Pengurus MHP Enterprise berkata, produk pertama dihasilkan syarikat itu adalah kuah pecal.

"Pada awalnya, agak sukar untuk produk kami diterima kerana masih baharu. Bukan mudah untuk membina jenama sendiri dan mengukuhkan keyakinan orang ramai untuk mencuba produk baharu.

"Namun, Alhamdulillah produk kami akhirnya diterima ramai walaupun mengambil masa yang lama," katanya yang menguruskan perniagaan keluarga sejak 2006.

Kini, MHP Enterprise mempunyai lebih 20 produk jenama Masri antaranya bahulu cermai, bahulu ikan, bahulu gulung, kuih tiram, kuih ros dan aneka kerepek serta rempeyek.

Bangunkan Wisma Masri

Pada peringkat awal perniagaannya, MHP Enterprise hanya mampu menyewa satu lot kedai di Sungai Leman, Sekinchan, Selangor untuk beroperasi.

Musleha berkata, di premis itulah mereka memproses makanan dan turut menjualnya kepada pelanggan.

"Perniagaan kami naik dari satu tangga ke satu tangga lain dan ambil masa untuk membangunkan serta memperkenalkan produk jenama Masri.

"Kami tidak ambil pekerja asing dan semua pekerja di MHP Enterprise ini terdiri daripada penduduk tempatan dan ada juga golongan ibu tunggal dan suri rumah. Ia secara tidak langsung dapat memberi peluang pekerjaan kepada mereka," katanya.

Melihat perniagaan syarikat yang semakin maju dan diterima ramai, MHP Enterprise melabur kira-kira RM500,000 untuk membina premis perniagaan sendiri bersebelahan dengan bangunan  disewanya, yang siap pada 2010.

Bangunan itu diberi nama Wisma Masri yang menempatkan pusat pemprosesan dan jualan, Agro Bazaar.

Selain menjual produk jenama sendiri, Musleha berkata, MHP Enterprise turut membantu memasarkan produk daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) lain yang terdiri daripada orang tempatan, kawasan sekitar dan luar Selangor.

"Walaupun sudah mempunyai pusat jualan sendiri, tetapi kami tetap teruskan berniaga di Pasar Tani Keramat Permai dan Jalan Kuching, Kuala Lumpur dua kali seminggu kerana kami mula berniaga dari sana. Cuma di pasar tani, kami hanya jual makanan kering seperti kerepek, kuah pecal dan rojak.

"Bila berniaga di pasar tani, ia secara tidak langsung membantu pelanggan di Lembah Klang untuk mendapatkan produk Masri kerana biasanya mereka akan buat tempahan di Sekinchan dan ambil barang di Kuala Lumpur," katanya.

Tumpuan pelancong

Disebabkan MHP Enterprise menjadi antara perusahaan yang berjaya di Sekinchan, premis perniagaan itu sering menjadi lokasi kunjungan pelancong sama ada tempatan atau luar negara.

Sebelum ini, kebanyakan pelancong yang menginap di inap desa (homestay) dan hotel di sekitar Sekinchan dan Kuala Selangor akan dibawa melawat ke MHP Enterprise untuk melihat sendiri cara penyediaan baulu dan kerepek.

Namun sejak konsep housestay diperkenalkan, Wisma Masri semakin menjadi tumpuan ramai.

Selain melihat cara baulu dihasilkan, pelawat juga boleh menonton tayangan video dan membeli-belah di premis itu.

"Biasanya, pelawat kami adalah persatuan, pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi dan pelbagai agensi.

"Kami turut menerima pelawat dari luar negara antaranya Iran, Belanda, Indonesia, Perancis, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Nepal, Filipina, Singapura, Myanmar dan Thailand.

Tembusi pasaran luar negara

Walaupun MHP Enterprise diusahakan di kawasan luar bandar, namun produk kuah kacangnya sudah dipasarkan ke luar negara antaranya di Singapura dan Brunei, menerusi jenama Agromas di bawah Fama.

Selain itu, syarikat itu juga membuat kuah pecal dan kacang jenama syarikat lain menerusi kontrak pengilangan.

Musleha berkata, kuah kacang dan pecal serta bahulu antara produk yang menerima permintaan tinggi dari pelanggan terutama ketika bulan puasa dan hari raya.

"Biasanya, pada waktu itu, kami terpaksa meningkatkan pengeluaran antara dua hingga tiga kali ganda berbanding hari biasa.

"Untuk bahulu pula, selain musim perayaan, permintaannya akan semakin banyak pada musim cuti persekolahan kerana ramai yang mengambil tempahan untuk dijadikan sebagai cenderahati perkahwinan. Selain itu, kami juga mengambil tempahan baulu untuk dijadikan hamper bergantung pada permintaan pelanggan yang biasanya terdiri daripada syarikat korporat dan agensi," katanya.

Buat masa ini, Musleha berkata, mereka lebih selesa menjual produk jenama Masri di pusat jualan sendiri di Sekinchan dan di cawangan Kuala Selangor.

"Kami tidak bercadang untuk membawa jenama Masri ke pasar raya. Sebelum ini, produk kami pernah memasuki Giant Shah Alam secara consignment, tetapi pendapatan akan diperoleh sekiranya produk terjual.

"Kini, kami tidak hantar produk ke pasar raya atas sebab tertentu," katanya.

Bagaimanapun, beliau bercadang untuk memasuki halal mart di seluruh Malaysia suatu hari nanti dan setakat ini, produk jenama Masri boleh didapati di sebuah halal mart di Shah Alam.

Pada masa akan datang, Musleha berhasrat meningkatkan kualiti dan mempelbagaikan produk jenama Masri.

"Kami hendak kukuhkan jenama Masri di pasaran tempatan dan memperluaskan pasarannya ke seluruh Malaysia memandangkan produk kami banyak dijual di sekitar Lembah Klang.

"Kami mahu orang kenal dan sudah terbayang produk kami bila sebut jenama Masri," katanya.

Pada masa sama, MHP Enterprise juga merancang untuk menambah lagi produk PKS lain di pusat jualannya.

0 Komentar untuk " Mula dengan pasar tani "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ