MPI wahana pupuk fikrah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

MPI wahana pupuk fikrah

ALHAMDULILLAH, 11 Februari lalu berlangsung mesyuarat kali pertama Majlis Perundingan Islam (MPI) bagi 2016 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ramai menaruh harapan tinggi terhadap MPI sebagai wahana yang dapat menyatukan umat Islam terutamanya kalangan kelompok dan individu pelbagai latar belakang tanpa mengira fahaman politik, ideologi, manhaj pemikiran mahupun orientasi gerakan.

Keterujaan masyarakat jelas tergambar tatkala penulis memuat naik berita ini di Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki, hampir sejuta juta pengunjung dengan ribuan lagi berkongsi status tersebut. Mungkin inilah petunjuk masyarakat yang mulai menyampah dengan fenomena konflik permusuhan semacam tiada kesudahan kalangan manusia politik hinggalah kepada mereka yang berstatus agamawan dan ulama.

Sememangnya dunia fitnah yang digambarkan Rasulullah SAW lebih 1400 tahun lampau kini terjelma. Umat Islam bagaikan sukar bersatu dan bersepakat walaupun tuntutan agama mengenainya jelas termaktub dalam al-Quran dan Sunnah Nabi SAW. Kalangan orang awam, pemimpin atasan dan agamawan dihinggapi sindrom ‘mati rasa’ untuk bersatu.

Seringkali keegoan diri lebih mendominasi sehinggakan setiap perkara hendak dipertelingkahkan berbanding mencari jalan penyelesaian secara toleransi dan berlapang dada. Oleh itulah Islam menganjurkan syura dengan  adab dan akhlak menjunjung prinsip adabul ikhtilaf atau bersetuju untuk tidak bersetuju.

Menyedari hakikat inilah dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri yang mewakili Perdana Menteri pada 24 November 2015, menyuarakan hasrat agar Majlis Perundingan Islam (MPI) dihidupkan semula mulai 2016.

Penubuhan MPI juga merupakan kesinambungan daripada penyusunan semula Badan Perundingan Islam (BPI) yang pernah wujud sejak tahun 1982.

BPI bertindak sebagai jawatankuasa pemikir yang berperanan sebagai penasihat kepada kerajaan dalam melaksanakan pembaharuan dan penambahbaikan terhadap agenda pembangunan negara khususnya dalam perkara pengurusan hal ehwal Islam.

Mungkin ramai yang tidak menyedari hakikat peranan BPI atau MPI berjaya mencetuskan pelbagai idea inovatif dalam hal ehwal agama Islam hingga direalisasikan sebagai dasar dan polisi penting kerajaan.

Antaranya Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam; Penubuhan Institusi Kewangan Islam seperti Bank Islam, Takaful; Penyusunan semula Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM); Pelaksanaan skim pembiayaan perumahan dan kenderaan berlandaskan Islam; Pelaksanaan pengajian Fiqh Muamalat di Universiti tempatan; Penerapan nilai-nilai Islam dalam bidang perundangan; Pemakaian alat perakam waktu di agensi kerajaan dan swasta; Peruntukan tempat beribadat di pejabat; Pewujudan fungsi kajian makanan dan barangan gunaan orang Islam di Jakim; Pelaksaan program pembangunan insan; dan Penerbitan buku rujukan utama dalam pentadbiran negara.

MPI turut bertindak sebagai jawatankuasa yang menggabungkan tenaga pakar dari pelbagai disiplin ilmu sebagai think tank dalam memberikan idea dan cadangan ke arah melaksanakan agenda pembangunan negara menurut landasan syarak, khususnya yang melibatkan agama dan kepentingan umat Islam. Selain itu, MPI juga dilihat mampu menjadi landasan antara kerajaan dengan golongan cendikiawan Islam dan ulama dalam merealisasikan agenda ummah.

Keahlian MPI yang terdiri daripada pelbagai latar belakang meliputi ahli agama, ahli akademik, tokoh korporat dan pemimpin NGO ini diharapkan dapat menggembleng tenaga dan buah fikiran bagi mencari, meneliti dan menilai sebarang penyelesaian berkaitan isu-isu yang merangkumi tujuh bidang utama yang ditetapkan iaitu Dakwah, Ekonomi, Pendidikan, Sosial, Perundangan, Pemikiran Islam dan Politik.

Semoga penubuhan Majlis Perundingan Islam menjadi faktor penyatu dalam mencari titik persamaan untuk menyantuni perbezaan bagi memartabatkan Islam di negara ini. Usahlah mempolemikkan atau mempolitikkan kewujudan MPI.

Ia tidak mengambil tempat atau kuasa mana-mana badan sedia ada termasuklah MKI yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan mahupun Majlis-Majlis Agama Islam Negeri-negeri yang mempunyai kuasa mutlak apabila melibatkan hal ehwal agama.

MPI adalah wahana penyatuan fikrah dan kerjasama merentasi ideologi dalam melaksanakan kebaikan demi menyahut seruan ALLAH dalam firman-Nya: “...Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada ALLAH, kerana sesungguhnya ALLAH Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” (Surah Al-Maaidah 5:2)

0 Komentar untuk " MPI wahana pupuk fikrah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ