“SALAHKANKU, jangan salahkan ku. Kasihani aku, kau lupakan aku. Mana satu, ku jadi keliru. Aku makin keliru.”
Begitulah lirik lagu Keliru, nyanyian pasangan duet Ajai dan Nurul, lirik oleh Aidit Alfian, yang menjadi juara dalam Anugerah Juara Lagu tahun 2002.
Baru-baru ini, 16 pendakwah telah disenaraihitamkan dan dilarang berceramah di sebuah negeri. Antara yang tersenarai ialah Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Asri Zainul Abidin, yang terkenal dengan singkatan Dr Maza.
Menurut Exco Kerajaan Negeri yang terbabit, mereka dilarang dari berceramah atau menyertai sebarang majlis keagamaan bagi mengelak berlaku sebarang kekeliruan dalam kalangan umat Islam di negeri tersebut. Timbul persoalan, adakah mufti juga keliru sehingga boleh membawa fahaman yang berbeza dengan ulama lain dan menyesatkan?
Selepas itu, keluar pula isu perdebatan antara Dr Maza dengan Presiden Pertubuhan Ahlus Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Ustaz Zamihan Mat Zin, yang juga seorang pegawai Jakim.
Sesi wacana yang bertajuk Ekstremisme Agama di Malaysia: Satu Perbincangan yang pada mulanya dijadualkan pada 10 Februari, akhirnya ditunda ke 17 Februari jam 9 malam, bertempat di Auditorium Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.
Apa pun keputusan debat tersebut, diharap ia tidak memecahbelahkan lagi umat Islam di Malaysia. Umpama menarik rambut dalam tepung; rambut jangan putus, tepung jangan berserak. Kita harus bijaksana dalam menyelesaikan masalah ini.
Secara peribadi, penulis bersetuju dengan saranan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, agar perdebatan antara mereka diadakan secara tertutup.
Ini bagi mengelak fitnah dan mudarat melibatkan orang awam yang mungkin sukar memahami dan menerima perbezaan fahaman dan pandangan dua individu ini.
Pada zaman teknologi maklumat kini, setiap maklumat berada di hujung jari sahaja. Seseorang yang tinggal di Tumpat, Kelantan, dapat menonton ceramah agama Dr Zakir Naik yang berada di Mumbai, India melalui saluran televisyen satelit.
Melalui rangkaian internet, seseorang dapat menonton kuliah Maghrib Ustaz Azhar Idrus, atau mendengar ceramah serta nyanyian lagu Hindustan oleh Ustaz Haslin Baharin (Ustaz Bollywood) di laman YouTube.
Selain itu, kita juga dapat mengikuti dakwah melalui tulisan dan video di laman Facebook Dr Abu Anas Madani, atau Dr Abdul Basit Haji Abdul Rahman, penyelia Pondok Sungai Durian yang juga pensyarah di Jabatan Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias).
Dengan aplikasi jaringan sosial yang semakin meluas, debat yang bakal berlangsung ini juga akan mendedahkan Islam kepada salah faham dan salah tafsiran sekiranya dibuat secara terbuka.
Ia bukan sahaja menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam yang bukan ahli dalam bidang pengajian Islam, yang lebih merunsingkan dan memudaratkan ialah ia semakin mengelirukan golongan bukan Islam. Apatah lagi bagi mereka yang baru sahaja ingin berjinak-jinak dengan Islam serta golongan muhajir.
Mereka akan tertanya-tanya, Islam versi manakah yang betul? Belum lagi isu pengganas IS atau Daish yang menyebabkan ramai masyarakat bukan Islam memandang serong kepada Islam, walaupun ia dikatakan angkara Israel laknatullah.
Bagaimanakah hendak berdakwah jika masyarakat Islam sendiri berpecah dan keliru?
Umat Islam sememangnya wajib sepakat dalam perkara yang melibatkan akidah. Namun, kita dibenarkan untuk berbeza pendapat. Apabila wujud perbezaan pandangan, kita diajar untuk kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah. Dalam pemahaman dan pentafsiran terhadap al-Quran dan as-Sunnah, sememangnya wujud khilaf dalam kalangan imam-imam dan ulama mujtahid.
Daripada Aisyah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Orang yang paling dibenci ALLAH ialah orang yang suka bermusuh-musuhan.” (Riwayat Bukhari).
Masyarakat Islam haruslah bersetuju untuk berbeza pendapat (agree to disagree). Kita tidak perlu menjadi fanatik (taasub) terhadap mana-mana pandangan dalam perkara yang kita dibenarkan untuk berbeza pendapat.
Rasulullah SAW bersabda, “Manusia yang paling ALLAH benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Ukhuwah sesama umat Islam itu lebih penting dan patut diutamakan demi kesatuan dan kekuatan ummah.
* Penulis Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan

0 Komentar untuk " Larang ceramah: Mufti pun keliru? "