Dr Maza ahlul bait Cina - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Dr Maza ahlul bait Cina

MUFTI Perlis, Dr Maza, adalah ahlul bait Cina kerana mempunyai darah keturunan Cina sebanyak 50 peratus! Bahkan sepatutnya Dr Maza dianggap Cina, bukan Melayu!” Saya sengaja secara retorik kritis memprovokasi pelajar saya untuk berfikir di luar kotak!

Terkejut pelajar saya mendengar kenyataan saya. “Apa pulak Xifu! Ayahnya seorang Melayu. Maknanya 50 peratus adalah darah Melayu. Bagaimana pula Xifu utamakan darah Cina pula? Rasis!”

Memang saya sengaja guna teknik retorik kritis untuk mengumpan pelajar saya untuk berhujah. Masalah paling serius dalam kalangan pelajar universiti kita ialah fobia berhujah.

Berhujah dianggap memecahbelahkan dan mengelirukan umat. Kalau berhujah dengan guru agama dianggap wahabi. Kalau taksub buta, baru dianggap ahli sunnah.

“Ibunya adalah seorang Cina,” saya teruskan retorik kritis.

“Mengikut logik Sayyid, keturunan seseorang adalah dinilai berdasarkan jalur ibunya, bukan ayah. Semua Sayyid adalah bergelar sayyid kerana mereka utamakan keturunan jalur ibu iaitu melalui Fatimah, anak perempuan Nabi Muhammad saw.

Dengan logik yang sama, Dr Maza patut dikira sebagai ahlul bait Cina! Apa lagi hujah anda?,” saya memang suka galakkan pelajar saya bagi hujah yang berlainan. Dalam budaya agama kita, berbeza pendapat dengan guru maknanya tidak menghormatinya.

“Dr Maza adalah seorang Melayu kerana personalitinya adalah Melayu,” pelajar saya teruskan hujah.

Saya tersenyum dan memberi respons ini. Dr Maza adalah Cina kerana mempunyai sifat dan mindset bokia, tidak fobia. Bokia maknanya “tidak fobia, tidak takut”. Cina Muslim dan bukan Muslim tiada fobia babi/anjing. Kalau Melayu, fobia babi/anjing sangat tinggi sehingga termakan kena cuci darah, dan terpegang pun boleh mengelirukan aqidah!

Kita lihat juga bagaimana Dr Maza bokia, tidak fobia pada Holy Water dan palang salib. Begitu ramai agamawan Melayu menakut-nakutkan umat bahawa minum Holy Water dan sekadar melihat salib boleh mengelirukan aqidah.

Kita lihat Dr Maza begitu bokia, tidak fobia untuk setuju berdiskusi ilmiah (bukan debat) dengan seorang ustaz Melayu. Beliau bokia, tidak teragak-agak. Bahkan terus menempah tiket kapal terbang. Yang benar tetap benar. Apa yang fobia?

Tetapi ramai tokoh agama Melayu memberi begitu banyak alasan supaya tidak diadakan diskusi ilmiah (bukan debat) ini. Sekali lagi alasan fobia diberi iaitu takut memecahbelahkan dan mengelirukan umat.

Tetapi yang peliknya pelbagai tuduhan dilemparkan kepada Dr Maza bahawa dia seorang wahabi, seorang pengganas. Bahkan sesiapa yang berpegang pada tiga tauhid (tauhid uluhiyah, rububiyah, asma wa sifat) terus dilabel sebagai pengganas IS sedangkan pada hakikatnya Mufti Saudi, Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Hj Hadi Awang sendiri juga berpegang kepada tiga tauhid ini tetapi tidak pula aqidah mereka dianggap wahabi, sesat dan pengganas.

Ada pula yang mencadangkan diskusi ilmiah ini diadakan secara tertutup tetapi pada masa yang sama, kita telah menjemput Zakir Naik ke Malaysia untuk berhujah ilmiah dengan agama-agama lain secara terbuka. Penganut agama lain tidak pula fobia hujah atau mereka mengancam keamanan.

Bila terdapat pendapat yang ingin menutup sekolah vernakular, bangsa Cina menolak pendapat ini bukan kerana tidak inginkan kesatuan. Salah satu sebab utama ialah kualiti pendidikan.

Begitu banyak sekolah agama, pondok didirikan tetapi adakah rakyat yang dilahirkan itu tidak mampu berdiskusi ilmiah secara terbuka melainkan akan keliru, baran dan akan memporak-perandakan? Adakah kita tidak mampu melahirkan rakyat Muslim yang bersifat bokia?

Adakah pondok-pondok ini hanya berani menjadi keyboard warrior iaitu melahirkan agamawan yang hanya berani di media sosial mencabar debat  pada bila-bila masa, mana-mana tempat, hanya berani menuduh dengan sebarang tuduhan sesuka hati tetapi bila cabaran diskusi ilmiah dijawab, pelbagai alasan fobia diberi?

Pelajar saya jawab, “Xifu, sifat bokia juga adalah sifat Melayu.” Saya jawab, “sebenarnya, pendapat saya dan kamu sama-sama tidak tepat tadi. Saya hanya beretorik kritis. Hakikatnya bokia adalah sifat para Muslim sebagai Khairu Ummah!”



* Abdul Naser Tun Rahman Ketua Biro Pendidikan Persatuan Cina Muslim  (Macma)

0 Komentar untuk " Dr Maza ahlul bait Cina "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ