Kuala Lumpur peneraju agenda pembandaran ASEAN - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kuala Lumpur peneraju agenda pembandaran ASEAN

Sempena Hari Wilayah Persekutuan: Salah satu isu yang dibangkitkan oleh pembentang ucaptama pada Persidangan Antarabangsa ke-13 Pembandaran Asia yang diadakan di Yogyakarta, Indonesia, baru-baru ini ialah negara di Asia Tenggara secara kolektifnya tidak mempunyai agenda pembandaran serantau berbanding dengan isu lain yang dihadapi negara ASEAN seperti agenda alam sekitar, isu kepelbagaian biologi, perhutanan dan seumpamanya. Berdasarkan tema 'Pembandaran Pesat untuk Pembangunan Lestari' pada persidangan berkenaan, isu ini dilihat akan menjadi satu keutamaan bagi negara di Asia Tenggara menjelang tahun 2030, untuk memenuhi impian dan matlamat pembangunan lestari yang dipersetujui bersama pada peringkat global. Ketidakwujudan agenda pembandaran ASEAN boleh dilihat dari beberapa aspek.

Pertamanya ialah tidak ada kumpulan kerja yang memikirkan mengenai peranan atau masa depan bandar ASEAN secara bersama. Keduanya, tidak ada agenda pembandaran yang jelas dan polisi menjurus kepada isu-isu pembandaran, berlaku di bandar-bandar utama ASEAN. Ketiganya, tidak ada forum pertukaran atau perbincangan rasmi yang diwujudkan di antara negara serantau.

Pembandaran pesat negara ASEAN 

Berdasarkan perkembangan ini, sudah tiba masanya untuk diwujudkan satu landasan peluang dan perbincangan terbuka dalam kalangan negara ASEAN mengenai hal ini. Keadaan ini sama ada disedari atau tidak, proses pembandaran yang berlaku adalah satu perkara yang tidak boleh dipandang ringan kerana data empirikal yang ada menunjukkan bahawa ASEAN terseret dalam proses pembandaran pesat yang tidak dapat disangkal lagi berbanding ketika penubuhan pertubuhan ini hampir 50 tahun lalu. Kini, di negara ASEAN mempunyai dua bandar yang penduduknya melebihi 10 juta, tujuh bandar yang mempunyai jumlah penduduk melebihi lima juta dan bandar-bandar besar yang lain. Di samping itu, percantuman bandar-bandar kecil dan sederhana membawa kepada pembentukan sebuah konurbasi besar yang merebak secara berterusan. Konurbasi memberi maksud sebuah wilayah yang terdiri daripada beberapa kota atau kawasan yang secara fizikal dilihat sebagai satu perwilayahan berpunca daripada pertumbuhan penduduk dan pengembangannya.


Pentadbiran Kuala Lumpur diletakkan di bawah DBKL. - Gambar hiasan

Thailand misalnya mempunyai wilayah perbandaran dengan jumlah penduduknya melebihi 10 juta. Begitu juga halnya dengan kawasan Greater Jakarta dengan penduduknya melebihi 30 juta orang dengan kepadatan yang tinggi. Hal ini termasuklah di Malaysia yang menyaksikan perkembangan Wilayah Perbandaran Mega Diperluas Kuala Lumpur atau Kuala Lumpur Extended Mega Urban Regions dengan jumlah penduduk melebihi lapan juta. Perkembangan pesat pembandaran ini tidak boleh dihalang lagi, namun pengurusannya perlu difikirkan dengan lebih mendalam dalam konteks serantau. Pertemuan dalam kalangan pengurus bandar dan wilayah perbandaran negara ASEAN wajar dilakukan untuk sama-sama berkongsi pengalaman - kekuatan dan kelemahan yang boleh dijadikan pengajaran bersama.

Hasrat jadikan Kuala Lumpur bandar raya global 

Bersempena dengan sambutan Hari Wilayah Persekutuan tahun ini dengan tema 'Wilayah Ceria, Rakyat Sejahtera', Kuala Lumpur khususnya yang telah wujud sejak sekian lama boleh memainkan peranan utama dengan bertindak secara proaktif dalam menerajui dan memimpin bandar-bandar di ASEAN untuk menjadi sebuah wilayah ASEAN yang maju tahap pembandarannya. Berasaskan hasrat menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya global, peranan penting ini boleh dimainkan oleh pemerintah di Putrajaya dan Kuala Lumpur untuk memimpin komuniti pembandaran di ASEAN untuk menjadikan bandar-bandar di ASEAN lebih berdaya tahan dan berdaya huni sifatnya dalam tempoh satu dekad ke hadapan. Kuala Lumpur boleh memainkan peranan penting dalam memimpin negara-negara ASEAN sebelum negara menjadi tuan rumah Forum Bandar Sedunia (WUF) yang akan diadakan pada tahun 2018 nanti.


Agenda pembandaran menyediakan perumahan dan kemudahan lengkap untuk kesejahteraan masyarakat. - Gambar hiasan


Agenda pembandaran perlu bersifat holistik 

Agenda pembandaran yang berlaku harus dilihat dalam perspektif yang bersifat holistik dengan aras dan darjah kelestarian seimbang bersama-sama dengan sektor ekonomi, sosial dan alam sekitar yang lain. Bandar juga harus menyediakan segala kemudahan infrastruktur, ketersampaian serta menyediakan peluang dan perkhidmatan yang adil kepada semua warganya. Di samping itu, bandar mempunyai sistem governans baik yang dapat membangunkan perancangan dan pelaksanaan berkesan untuk kesejahteraan masyarakat bandar itu sendiri. Agenda pembandaran itu juga harus membabitkan hak bandar itu sendiri yang tergolong dalamnya keterangkuman dan keterikatan sosial bandar, kepelbagaian, perlindungan warisan budaya yang mengekalkan identiti bandar; pembentukan kerjasama antara bandar dan pembangunan koridor rentas sempadan yang sistematik. Semua ini antara agenda penting dalam pembandaran di ASEAN.

Pembangunan bandar yang berterusan dan mengekalkan kelestariannya akan memberi makna amat besar kepada Malaysia dan negara ASEAN lain dalam laluan menuju negara maju menjelang tahun 2020 dan pada masa sama, bandar dilihat sebagai pencetus, pemangkin dan peneraju kepada ketamadunan bangsa dalam abad ke-21 ini. Dari sinilah segala perancangan, pelan strategi dan tindakan yang dilaksanakan akan dilihat dan dinilai keupayaannya dari pelbagai sudut untuk kesejahteraan masyarakat bandar keseluruhannya. Agenda pembandaran ASEAN ini boleh dijadikan wadah pembangunan ilmu pembandaran dan kelestariannya secara bersama untuk membawa bandar-bandar di negara ASEAN ke satu tahap yang lebih tinggi dari segi prasarana fizikal dan prasarana pemikiran penghuninya, di samping sebagai peluang membangun dan melaksanakan gagasan untuk pembangunan bandar masa depan.

Agenda ini juga akan memastikan semua 10 negara ASEAN akan terintegrasi secara ekonomi lestari sifatnya serta juga akan terintegrasi dalam ekonomi global yang menyumbang kepada matlamat mencapai kemakmuran yang dikongsi bersama.

Penulis ialah Prof Madya/Felo Kanan & Ketua Hal-ehwal Jaringan dan Industri (HEJIM), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)



Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/120317
0 Komentar untuk " Kuala Lumpur peneraju agenda pembandaran ASEAN "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ