Jimat perbelanjaan tak jejas mutu perkhidmatan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Jimat perbelanjaan tak jejas mutu perkhidmatan

KETIKA membentangkan Pengubahsuaian Bajet 2016, Khamis lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, menggariskan 11 langkah bagi memastikan ekonomi dan kewangan negara kekal pada jajaran yang betul serta melindungi kebajikan rakyat. Malah, Perdana Menteri turut mengumumkan pelbagai inisiatif lain untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat dan merangsang ekonomi, termasuk jangkaan dapat menjimatkan sehingga RM9 bilion. Ikuti temu bual eksklusif wartawan BH, Datuk Abdul Jalil Hamid, Magendran Rajagopal dan Zanariah Abd Mutalib bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah, yang menjelas dan memperincikan strategi dirangka kerajaan bagi menangani kesan ketidaktentuan ekonomi dunia dan kejatuhan harga minyak.

Soalan: Boleh Tan Sri beri sedikit ulasan mengenai pengubahsuaian Bajet 2016? 

Jawapan: Apabila saya duduk dalam bilik ini dan memikirkan apa yang perlu dilakukan dalam pengubahsuaian bajet, pertama sekali adalah ia disebabkan oleh ketidaktentuan ekonomi dunia. Harga minyak jatuh dan menunjukkan trend menurun. Pada 2014, harga minyak lebih AS$100 (RM414) satu tong tetapi pada 2015, ia jatuh sehingga 50 peratus menyebabkan kita terpaksa membuat pengubahsuaian Bajet 2015 pada 12 Januari tahun lalu. Pada Oktober tahun ini (ketika pembentangan Bajet 2016), kita letakkan harga minyak pada paras AS$48 (RM198) satu tong tapi ia jatuh lagi. Saya beritahu Perdana Menteri beberapa kali yang kita perlu membuat pengubahsuaian (bajet). Kita melihat paras harga yang digunakan agensi penarafan, pengurus dana dan bank iaitu antara AS$30 hingga AS$40 satu tong. Jadi, kita ambil anggaran konservatif antara AS$30 hingga AS$35 supaya jika harga minyak jatuh lagi, kita masih boleh bertahan dan tidak perlu membuat pengubahsuaian, melainkan jika ia jatuh di bawah paras AS$20, kita boleh membuat pengubahsuaian semasa bajet (2017). Beliau bersetuju dan kita teruskan. Selain itu, saya beritahu, pertumbuhan ekonomi pun, kita perlu lihat semula. Kita tidak boleh kekal pada empat hingga lima peratus, mungkin kita boleh kurangkan kepada 4 hingga 4.5 peratus.

Apabila kita kira semula, jika harga minyak AS$30 satu tong, negara akan kehilangan pendapatan sebanyak RM9 bilion dan jika AS$35, kita akan hilang RM7 bilion. Jadi, kehilangan pendapatan kita antara RM7 bilion hingga RM9 bilion. Kita panggil semua kementerian serta agensi dan beritahu, mereka perlu mengoptimumkan perbelanjaan mengurus tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan. Kita boleh berjimat dalam aspek lain. Contohnya, kita tidak perlu penerbangan kelas pertama dan ini hanya untuk Kementerian Kewangan, bukan semua perkhidmatan awam. Saya memberi fleksibiliti kepada setiap kementerian dan agensi untuk membuat cara penjimatan mereka sendiri kerana setiap ketua tahu di mana mahu berjimat. Jadi, kita tidak mahu paksa sebab ada kementerian yang besar. Dalam perbelanjaan mengurus ini, kita boleh melakukan penjimatan antara dua hingga lima peratus. Seperti di Perbendaharaan, dalam mesyuarat, kita tidak hidangkan makanan kerana kita datang untuk mesyuarat, bukan makan. Di luar negara juga, mereka lakukan perkara sama. Jika kita hidangkan makanan, ia boleh mencecah antara RM5 ke RM15 seorang dan kadangkala, ada antara mereka yang tidak makan pun, sekali gus membazir. Kita (Perbendaharaan) juga berjimat dari segi penggunaan elektrik.

Bagi kementerian lain, saya beritahu mereka jangan terlalu kerap ke luar negara (atas urusan rasmi). Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Dr Ali Hamsa) juga mengeluarkan arahan, jika pegawai kanan kerajaan mahu ke luar negara, mereka perlu dapatkan kelulusannya dan ia bukan hanya membabitkan Ketua Setiausaha sahaja, tetapi juga timbalannya. Kita juga tidak menggalakkan rombongan yang besar melainkan ia benar-benar memberi faedah kepada negara. Mereka perlu fokus kepada pelancongan, negara mana yang hendak pergi. Jika negara itu sumber kepada pelancong yang ramai ke negara ini, mereka perlu membuat promosi di negara itu. Kita jangan ke negara yang warganya tidak datang ke Malaysia dan ini memberi nilai kepada wang.

Sebab itu Perdana Menteri mengumumkan pengecualian visa kepada pelancong China sebab kita rasakan, kita hilang pelancong China kepada Thailand dan Indonesia. Pada 2012, jumlah pelancong China yang datang ke Malaysia, Thailand dan Indonesia sama saja tetapi sekarang, Thailand sudah mendahului kita antara 10 ke 20 kali ganda. Selepas dua insiden (MH370 dan MH17), jumlah itu terus turun dan sebab itu kita harap, usaha syarikat penerbangan dapat menaikkan kembali jumlah pelancong, termasuk penerbangan terus antara Langkawi dan Guangzhou dan banyak lagi destinasi lain selepas ini, seperti Shanghai dan Beijing. Pada 1 Mac ini, kita akan mulakan pengecualian visa kepada pelancong China ini, tapi kita tetap memberi syarat tertentu seperti mereka perlu menunjukkan tiket pulang kepada pegawai imigresen bagi mengelakkan mereka tinggal lebih lama daripada masa yang ditetapkan.

S: Bagaimana dengan pengisytiharan cukai pendapatan, difahamkan ramai yang isytihar pendapatan lebih rendah berbanding gaji sebenar? 

J: Ramai yang isytihar cukai pendapatan kurang, jadi kami mahu audit dilakukan dengan tegas dan melakukan pengesahan kerana data Kastam sekarang sudah lengkap. Ada syarikat yang tidak ada fail cukai pendapatan tetapi membayar GST. Ini adalah kedai kecil yang keuntungannya besar seperti kedai mekanik, membaiki penyaman udara dan restoran. Mustahil pendapatan mereka di bawah kadar yang boleh dicukai. Ruang ketirisan ini harus ditutup.

S: Apakah ia berpunca akibat masalah penguatkuasaan atau rasuah? 

J: Kedua-duanya menyumbang kepada masalah ini tetapi lebih kepada isu penguatkuasaan berbanding rasuah. Justeru, saya menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi kastam dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk atasi masalah ini. Selain itu, peluang kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk mendaftar sebagai pekerja yang sah juga akan menambah pendapatan kita dari segi permit kerja dan pembayaran levi. Kini ada lima kategori pekerja asing yang akan dirangkumkan menjadi dua kategori dan ini juga akan menyumbang kepada pendapatan negara.

S: Semua langkah ini akan meningkat kecairan (liquidity)? 

J: Secara keseluruhan kecairan akan berjumlah RM14 bilion dan pada masa sekarang kita tidak mahu menyentuh kadar faedah dan sebagainya. Selain itu, kita turut minta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menasihatkan orang ramai mengenai pengurusan kewangan berhemah. Kita juga mendapat dividen tambahan daripada entiti berkaitan kerajaan, yang tidak termasuk dalam Pengubahsuaian Bajet 2016 selain RM16 bilion daripada PETRONAS.

S: Apa lagi penambahbaikan kerajaan yang dijangka menjana pendapatan negara? 

J: Kita juga ada spektrum (penyiaran digital) yang akan ditender oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memberi hak untuk menggunakan spektrum kepada pembida yang berjaya. Ini dijangka menjana pendapatan besar sehingga beberapa bilion.

S: Bagaimana dengan cadangan memanfaatkan tanah kerajaan di lokasi strategik? 

J: Ini juga menjadi strategi negara menambah pendapatan. Ada banyak tanah milik kerajaan di pusat bandar dan ada pemaju swasta yang berminat membangunkannya. Kita boleh adakan tender supaya lebih terbuka lagi telus. Semua inisiatif ini adalah bagi menambah pendapatan kerajaan. Ini tidak termasuk dalam perolehan di bawah defisit 3.1 peratus, sebaliknya ia adalah tambahan kepada pendapatan sedia ada. Justeru, meskipun harga minyak jatuh melepasi tahap AS$28 (RM116) satu tong, kita masih ada pendapatan tambahan ini sebagai penampan (buffer). EKONOMI DAN KEWANGAN KERAJAAN: Pertumbuhan ekonomi perlu dikekal dalam keadaan sukar

S: Tan Sri menyentuh mengenai pertumbuhan ekonomi. Boleh Tan Sri terangkan lanjut? 

J: Kita perlu mengekalkan pertumbuhan ekonomi walaupun ketika menghadapi kesukaran. Jika kita mahu mencapai pertumbuhan 4 hingga 4.5 peratus seperti yang disasarkan, komponen yang penting adalah pelaburan dan penggunaan swasta.  Kita sasarkan pelaburan swasta RM215 bilion pada tahun ini dan kita perlu menggerakkan semua jentera kerajaan untuk menjayakannya, sama ada ia datang dari Wilayah Koridor, Pengerang, MRT (Mass Rapid Transit) atau Projek Lebuh Raya Pan Borneo. Semua projek ini perlu kita teruskan kerana ia memberi peluang pekerjaan kepada rakyat, selain menjana industri lain seperti besi, simen dan sektor perkhidmatan. Kita juga akan terus memberi penekanan kepada projek berteraskan rakyat. Kita perlu memberi tumpuan kepada eksport. Eksport negara kita kini berhadapan masalah kerana ekonomi China yang perlahan. Jadi, kita perlu memberi tumpuan kepada negara yang diramal mengalami pertumbuhan yang cepat seperti India, Asia Barat dan negara ASEAN, termasuk Vietnam dan Filipina. Kita perlu tembusi pasaran negara ini. Kita beritahu Majlis Eksport Negara dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk membuat promosi.

Kita tingkatkan dana sebanyak RM500 juta untuk Exim Bank dan dana ini akan digunakan untuk pembiayaan kewangan kredit eksport untuk syarikat kecil dan sederhana. Ini antara inisiatif yang kita lihat ketika ini. Mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), ada yang beranggapan yang Amerika Syarikat akan menakluk kita sedangkan ia membuka pasaran yang lebih besar. Populasi kita hanya RM30 juta dan kita memerlukan pasaran yang besar. Melaluinya, kita akan mendapat produk yang lebih berkualiti dan baik. Kita juga komited dengan langkah konsolidasi fiskal yang dilaksanakan. Kita mencapai defisit 3.2 peratus dan pada tahun ini banyak penganalisis yang menjangkakan defisit itu akan naik.  Apabila kita sasarkan defisit 3.1 peratus, mereka kata ia mungkin akan meningkat 3.3 atau 3.4 peratus tapi apabila kita menganalisis ekonomi kita, kita beri keutamaan, mengoptimumkan RM9 bilion, kita masih boleh mengekalkan pertumbuhan. Disebabkan itu, kita kekalkan defisit 3.1 peratus untuk memberi keyakinan kepada ekonomi dan sering kali melihat kepada mata wang, ekonomi, hutang dan deposit fiskal. Kita percaya kita boleh terus bertumbuh kerana kita bukan dalam kemelesetan.

Kita bukan seperti pada 1997 di mana pertumbuhan kita -7.4 peratus, kita bertumbuh lima peratus. Jadi, kenapa kita perlu suntik lebih banyak wang untuk merangsang ekonomi, kenapa kita perlu pinjam lebih lagi? Kita tidak perlu meminjam, kita hanya perlu kekalkan paras hutang dan defisit tetapi perlu membuat pengubahsuaian, selain memberi fokus kepada projek berimpak tinggi dan memotong perbelanjaan yang tidak perlu.

S: Bagaimana dengan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) setakat ini? ]

J: Pelaksanaannya berjalan dengan baik dan kita hanya terima aduan dari segi tuntutan semula oleh syarikat. Jadi kita sudah beri KPI (Petunjuk Prestasi Utama) kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk mereka capai, supaya pembayaran tuntutan itu dapat dibuat dengan cepat. Ada syarikat kecil yang kita lihat membuat tuntutan yang banyak. Justeru, bagi syarikat seperti ini, audit perlu dilakukan oleh kastam. Pada tahun lalu, kutipan kasar GST adalah sebanyak RM37 bilion dan kutipan bersih adalah RM27 bilion. Pada tahun ini, kita sasarkan kita sasarkan kutipan bersih GST sebanyak RM39 bilion.

S: Secara ringkas apa rumusan konsolidasi fiskal yang dicadangkan?  

J: Konsolidasi fiskal ialah menambah pendapatan, mengoptimumkan perbelanjaan mengurus dan menyusun semula perbelanjaan pembangunan mengikut keutamaan selain dasar kewangan yang akomodatif.... ini di bawah Bank Negara. Kami sudah berbincang dengan mereka bagaimana mahu membantu sektor perbankan dan institusi kewangan dan mereka mengesyorkan penurunan Nisbah Keperluan Rizab Berkanun (Statutory Reserve Requirement) daripada 4 peratus kepada 3.5 peratus.

S: Sejauh mana harga minyak global menjejaskan ekonomi negara? 

J: Lebih rendah harga minyak maka kuranglah pendapatan kerajaan tetapi langkah penjimatan lebih RM9 bilion (menerusi Oengubahsuaian Bajet 2016) dan pengurangan perbelanjaan lain meletakkan kita dalam kedudukan yang terkawal kecuali jika harga minyak jatuh ke bawah paras AS$20 (RM83) satu tong. Kalau jatuh sehingga antara AS$35 hingga AS$30, kita masih dapat bertahan berdasarkan Pengubahsuaian Bajet 2016.

S: Kalau negara hanya bergantung 14 peratus hasil daripada minyak kenapa ekonomi negara dikatakan teruk? 

J: 14 peratus itu sudah cukup besar tapi sebelum ini pergantungan negara terhadap sumber minyak pernah mencecah 40 peratus. Ada pihak yang bertanya kenapa kita tidak mempelbagaikan sumber pendapatan kita. IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) dan Bank dunia mengiktiraf kejayaan negara mengurangkan kebergantungan kepada sumber minyak. PETRONAS dulu (2015) sumbangkan RM26 bilion, tahun ini RM16 bilion, berkurangan RM10 bilion. Tahun depan akan berkurangan lagi dan kita terpaksa cari sumber lain.

S: Perdana Menteri kata negara tidak mengalami kegawatan (recession) tetapi banyak syarikat/kilang menamatkan kontrak pekerja atau melakukan pemberhentian pekerja. Apa strategi kerajaan bagi mengatasi masalah kekurangan peluang kerja? 

J: Sektor tertentu sudah tentu tak dapat elak apabila permintaan pasaran berkurangan. Itulah sebabnya kita guna dana Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) berjumlah RM200 juta bagi melatih semula pekerja diberhentikan dan Kementerian Sumber Manusia merumus langkah untuk membolehkan mereka bekerja di sektor lain. Kita juga tambah pengambilan pelajar, 15,000 pelajar baharu bagi program MyMaster dan 5,000 pelajar MyPhD.

S: Adakah Tan Sri puas hati dengan keadaan ekonomi sekarang? 

J: Saya harap kadar pertukaran ringgit turun lebih rendah daripada RM4 bagi setiap dolar Amerika Syarikat dan harga minyak stabil sekitar AS$35 satu tong. Kalau ini berlaku, senanglah saya menyediakan Bajet 2017. Lazimnya bagi Bajet 2017, kita mula kumpul data pada Mac ini dan adakan dialog dalaman diikuti dialog dengan umum pada Jun ini.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/119847
0 Komentar untuk " Jimat perbelanjaan tak jejas mutu perkhidmatan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ