Adun bahasa kitab, realiti jawab permasalahan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Adun bahasa kitab, realiti jawab permasalahan

DALAM satu rancangan lintas langsung di Radio Perak pada hari Jumaat, baru-baru ini, ada seorang bertanya hukum makan ikan rebus yang diproses oleh bukan Islam tanpa membuang najis ikan berkenaan. Menjawab dalam ruang batas masa yang singkat sangat memerlukan kemahiran yang penuh kebijaksanaan. Teringat ketika berkursus di Rumah Fatwa Mesir, ada seorang syeikh berpesan supaya jangan sekadar berfatwa (bagi tahap saya - bukan berfatwa tetapi sekadar menaqalkan dan memberi panduan hukum) tetapi gabungkan ia dengan dorongan yang bertanya itu untuk beramal di samping mengetahui hukumnya.

Tergambar dalam minda perbahasan ulama dalam isu ini. Imam mazhab yang empat tidak berselisih mengenai najis ada pada ikan yang kecil itu dimaafkan. Tetapi jika ikan itu bersaiz besar, ada perbincangan dalam kalangan ulama mazhab yang empat dan belum lagi dibuka perbincangan standard saiz yang dikira besar ataupun kecil. Sejenak saya menjenguk keluar minda daripada dikelilingi dengan bahasa kitab kepada bahasa kehidupan realiti. Rupa-rupanya saya menemukan jawapan untuk penanya bahawa sudah ada pada hari ini ikan rebus yang diproses oleh tangan yang bersyahadah kepada Allah SWT dan siap dibuang tahi sebelum diproses. Itulah penyelesaian dan jawapan terbaik kepada yang menyoal untuk masa ini.

Belilah barangan yang diusahakan oleh saudaramu seakidah dan sedarilah saudara seakidahmu sangat memerlukan sokongan padu saudaranya yang lain. Faedah membantu saudara seakidah akan kembali juga kepada kita secara individu dan begitu juga faedah dapat dikecapi sebagai satu ummah. Umat Islam hari ini mesti mengutamakan sifat tolong-menolong sesama saudara seakidah dan itulah yang diajar dalam al-Quran.

Bantu saudara seakidah 

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan." (Surah al-Maidah, ayat 2) Rupa-rupanya sangat benar peringatan syeikh berkenaan perlunya bahasa kitab diadun dengan bahasa realiti dalam menjawab persoalan semasa hari ini. Begitu juga pernah dalam satu forum saya ditanya mengenai hukum menjual tanah kepada orang kafir di Malaysia.

Jika membaca laras bahasa kitab, kita mendapati Nabi SAW biasa berinteraksi dengan orang Yahudi. Bahkan ketika Baginda SAW wafat, baju perangnya masih tergadai kepada seorang Yahudi seperti yang direkodkan dalam hadis sahih al-Bukhari. Sekilas faham maka hukum berinteraksi dengan orang kafir itu harus saja hukumnya selama mana tiada berniaga yang haram, mahupun menjual senjata kepada golongan kafir yang memerangi orang Islam ataupun selama mana kita menjauhi riba serta senarai bentuk perniagaan yang diharamkan Islam. Tetapi apabila laras bahasa kitab itu saya tinggalkan sebentar, lantas menumpukan perhatian kepada laras bahasa realiti yang berlaku kepada tanah umat Islam.

Sesungguhnya salah satu daripada tujuh wasiat Raja-Raja Melayu yang terungkap sebagai berikut: "Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, tanah-tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama kaum lain" Wasiat itu kita abaikan. Tanah rizab orang Melayu sekarang kurang daripada 12 peratus, bahkan ada negeri yang langsung tiada lagi tanah rizab Melayu. Sedangkan bumi Allah SWT ini adalah lebih berhak untuk diimarahkan dan dibangunkan oleh tangan-tangan yang beriman.

Firman Allah SWT: "Dialah yang menjadikan kamu daripada bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah daripada perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepada-Nya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hamba-Nya." (Surah Hud, ayat 61) Walaupun bahasa kitab secara umum mengharuskan jual beli tanah kepada orang bukan Islam, namun bahasa semasa dan realiti mungkin memberi jawapan yang berbeza daripada bahasa kitab.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/119813
0 Komentar untuk " Adun bahasa kitab, realiti jawab permasalahan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ