Insentif pakej pembiayaan empat peratus perlu diperluas - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Insentif pakej pembiayaan empat peratus perlu diperluas

RUMAH mampu milik adalah antara masalah utama dihadapi majoriti rakyat Malaysia. Dengan kos sara hidup mencanak naik kebelakangan ini, rakyat terutama mereka yang belum lagi memiliki rumah, mendapati sukar untuk menabung bagi membeli kediaman pertama, tambahan lagi syarat pinjaman bank yang diperketatkan. Kajian Khazanah Research Institute mendedahkan lonjakan pasaran harga kediaman tempatan, khususnya di bandar utama, terlalu tinggi sehingga sukar dimiliki oleh majoriti rakyat. Antara isu yang dibangkitkan badan tidak bermotifkan keuntungan tajaan Khazanah Nasional Bhd itu ialah lebihan penawaran kediaman mewah sehingga meminggirkan permintaan sebenar rakyat. Ini disokong kajian REI Group yang terbabit dalam perancang, perunding dan ejen hartanah, yang mendapati pemaju di Malaysia lebih cenderung membina kediaman mewah yang hanya mampu dimiliki oleh 30 peratus rakyat tempatan. Tidak banyak perubahan dalam pengumuman Pengubahsuaian Bajet 2016 pada Khamis lalu yang berhubung kait isu perumahan, melainkan dua pengubahsuaian utama.

Pertama, berkuat kuasa serta-merta, kerajaan akan menetapkan semua penjualan rumah baharu berharga hingga RM300,000, terhad kepada pembeli rumah pertama saja. Kedua, bagi Projek Perumahan Rakyat berharga RM35,000, kerajaan menerusi Bank Simpanan Nasional dan Bank Rakyat, bermula 1 Mac 2016, akan menawarkan pakej pembiayaan pada kadar empat peratus, dengan peruntukan dana berjumlah RM400 juta. Inisiatif ini akan memanfaatkan lebih 10,000 pemilik rumah. Selain itu, kerajaan juga akan mengadakan Jelajah Ekspo Pemilikan Rumah Bersepadu, meliputi rumah ditawarkan Jabatan Perumahan Negara (JPN), PR1MA, SPNB, PPA1M, agensi negeri serta sektor swasta yang mana lebih 100 ribu unit rumah akan ditawarkan dalam program itu.

Tidak lama selepas Pengubahsuaian Bajet 2016 dibentangkan, dan seperti bajet sebelum ini, bertalu-talu e-mel diterima akhbar ini. 'Mengalu-alukan', 'proaktif', 'positif' dan 'langkah bijak' adalah antara perkataan standard diterima saban tahun daripada pelbagai pihak, terutama agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, persatuan, dan pihak lain yang berkepentingan. Namun, ada sedikit kelainan dalam beberapa komen kali ini, kerana ada antaranya turut terselit pandangan membangun. Bagi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), pihaknya berharap kerajaan akan menimbang mengembangkan insentif pakej pembiayaan pada kadar empat peratus bagi Projek Perumahan Rakyat berharga RM35,000, untuk merangkumi kediaman di bawah kategori kediaman mampu milik bagi membolehkan kumpulan yang lebih besar dapat meraih manfaat daripadanya. Rakyat harus dibantu untuk memiliki aset yang akan meningkat nilainya, berbanding aset yang akan susut nilainya, demikian menurut Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF).

Bagaimanapun, ada nada kebimbangan dalam komen MIDF kerana mendapati hampir semua projek pembangunan baharu oleh syarikat pemaju besar dijual pada harga di atas RM400,000 seunit. Ini disebabkan tumpuan pelancaran mereka di lokasi strategik di bandar utama seperti Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor. Mungkin juga pemaju akan lebih cenderung untuk membina rumah berharga melebihi RM300,000 dalam usaha mendapatkan prospek pembeli yang lebih ramai selepas ini. Senario ini hampir sama isu kenaikan harga lantai atau harga minimum pembelian oleh warga asing daripada RM500,000 kepada RM1 juta yang melihatkan kecenderungan pemaju untuk membina kediaman yang lebih mahal. Atau, mungkinkah juga perlu bagi kerajaan menetapkan jumlah kuota tertentu ke atas pemaju untuk membina unit di bawah harga RM300,000 bagi memastikan unit terbabit mencukupi di pasaran.

Persoalan lain yang timbul ialah pemilik rumah kos rendah yang ingin menaik taraf ke rumah yang lebih besar tetapi hanya mampu membeli pada harga di bawah RM300,000. Adakah mereka juga akan dinafikan untuk membeli rumah pada harga itu hanya kerana sudah memiliki rumah? Haruskah rumah sedia ada dilupuskan terlebih dulu? Atau kerajaan akan meletakkan syarat tambahan bagi senario ini. Melihat daripada perspektif pemaju, kita tidak boleh terlalu mengharapkan mereka untuk membina lebih banyak unit rumah mampu milik bagi menampung permintaan tinggi isi rumah di Malaysia. Pemaju tidak boleh disalahkan. Mereka ahli perniagaan yang melihat kepada marjin keuntungan sebagai ukuran sama ada maju atau merosotnya perniagaan mereka.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/120354
0 Komentar untuk " Insentif pakej pembiayaan empat peratus perlu diperluas "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ