Gong Xi Fa Cai, angpau dan kuaci - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Gong Xi Fa Cai, angpau dan kuaci

DULU-dulu tidak ada slogan 1Malaysia. Tetapi semangat setia kawan antara kaum wujud secara semula jadi. Tidak ada Jabatan Perpaduan Negara, tetapi sama-sama kita ikhlas berpadu dalam banyak hal.

Sejak kecil saya berkawan dengan rakan-rakan Cina, India, Banggali, Serani, tanpa sebarang masalah. Tidak kira warna kulit, juga tanpa mengira bentuk hidung atau mata, waktu sekolah kita sama-sama makan di kantin, sama-sama bersukan, sama-sama menelaah di perpustakaan – waktu itu dipanggil kutubkhanah.

Dan, tentu sekali sama-sama bertumbuk di luar pagar sekolah, hingga koyak-koyak baju. Tetapi, lepas bertumbuk kita jadi kawan semula. Tidak ada sensitif perkauman. Melayu boleh kata Cina atau India, begitulah sebaliknya.

Sama-sama mengurat tidak kira kaum. Melayu boleh mengurat Cina atau India, begitulah sebaliknya. Malah, cinta monyet saya bermula dengan gadis bertocang ekor kuda Swee Lan, anak tauke kedai basikal di pekan Bukit Gambir.

Waktu itu sekiranya Cina kahwin dengan Melayu, dia orang kata Cina masuk Melayu. Saya dan Swee Lan intim hanya sampai tingkatan tiga. Lepas Sijil Rendah Pelajaran (SRP), monyet saya itu disambar orang lain. Jadi tidak ada kes Melayu masuk Cina!

Hatta, opah yang kuat agama itu pun tidak menghalang saya berkunjung ke rumah tauke basikal semasa Tahun Baharu Cina. Pesan opah (kini telah arwah, semoga rohnya dirahmati ALLAH): “Jangan makan masakan dia orang, ada babi.”

Kalau tidak kerana pesanan opah pun kawan-kawan Cina saya memang faham. Kami hanya diberi kuaci Cap Helang, kacang mengelembu, limau mandarin dan air oren dalam botol.

Kalau ikut opah, bersalam pun tidak boleh “sebab tangan dia orang pegang babi, najis disentuh.” Tetapi tidak pula dia berkata apa-apa bila saya tunjukkan sampul merah @ angpau yang di dalamnya ada syiling 50 sen, pada hal sampul merah itu juga diberikan oleh tangan yang memegang babi.

Deepavali, kami ke rumah kawan India, dan dijamu dengan makanan kering dalam plastik, buah-buahan, muruku, wade, tose. Meski tidak diberitahu, dia orang faham tetamu Islam tidak boleh makan benda-benda yang menjadi larangan agama.

Samalah juga pada Hari Raya Aidilfitri, kawan-kawan saya yang bukan Melayu datang ke rumah saya – ini saya amalkan hingga hari ini. Siang-siang kita beritahu kepada tetamu India (Hindu) mana kari kambing, ayam dan lembu.

Itu kisah 60 tahun dulu. Hidup kami di kampung dan pekan kecil amat sederhana. Bercampur berbilang kaum dan agama, tetapi tidak gaduh-gaduh sebab sama-sama saling memahami dan menghormati.

Hari ini kehidupan lebih mewah, lebih canggih. Semua serba moden, tetapi saya rasa kehilangan harmoni kaum macam dulu-dulu. Walaupun dicanang dengan berbagai-bagai kempen, program dan nyanyian, saya rasa kini perpaduan antara kaum macam dibuat-buat, tidak secara semula jadi.

Banyak sangat tokoh dan individu yang mendabik dada mengisytiharkan diri sebagai pejuang kaum. Sikit-sikit bawa sepanduk dan poster, menjerit hentam kaum lain. Sikit-sikit buat laporan polis atas tuduhan rasis. Kalau silap cakap akan dianggap menghina kaum, dan kena saman.

Orang politik songlap fikiran kita dan selalu menonjolkan perkauman sebagai permainan. Rasis selalu dijadikan bahan meraih sokongan politik. Satu masa mereka berteriak supaya kita bersatu macam adik-beradik. Di satu masa lain mereka bangkitkan pula semangat perkauman.

Percaturan politik inilah sebenarnya yang merenggangkan hubungan sesama kaum. Untuk meraih populariti, apa sahaja isu akan dikaitkan dengan perkauman. Gara-gara politik sudah ada rasa curiga antara kaum.

Malah sudah ada pihak yang menghalang orang Islam @ Melayu menghadiri rumah terbuka perayaan kaum-kaum lain. Sehingga kita rasa takut untuk mengucapkan Gong Xi Fa Cai, Merry Christmas, Happy Deepavali dan sebagainya. Zaman saya kanak-kanak dulu masalah seperti ini tidak wujud.

Jangan hiraukan sangat hubaya-hubaya politikus. Biarlah orang politik bergaduh sesama mereka. Merekalah yang melaga-lagakan kita selama ini!

Mari sama-sama kita – tidak kira kaum dan agama – kembalikan semangat berkawan seperti 60 tahun dulu. Tahun Baharu Monyet ini sama-sama kita hidupkan harmoni sebenar yang datang dari hati kita. #kitalahmalaysia!

0 Komentar untuk " Gong Xi Fa Cai, angpau dan kuaci "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ