Sofris Hijab kukuh jenama tudung - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Sofris Hijab kukuh jenama tudung

SOFRIS Hijab Sdn Bhd (SHSB), pengeluar dan pengedar tudung menerusi jenama Scarfbucks dan iBawal menyasarkan untuk memiliki 500 stokis dan ejen bagi setiap jenama tudung keluarannya menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Kewangannya, Nur Azleen Soliha Abdul Waris berkata, setakat ini syarikat itu mempunyai 232 stokis dan ejen bagi tudung Scarfbucks dan 181 bagi tudung iBawal.

"Pada masa sama, kami juga berhasrat untuk meningkatkan pengikut Facebook dan Instagram kepada 50,000 pengikut bagi kedua-dua laman sosial sedia ada.

"Bagi mengukuhkan jenama yang baharu berada di pasaran sejak enam bulan lalu, kami akan terus merancakkan aktiviti promosi dan pengiklanan jenama, stokis dan ejen," katanya kepada pemberita ketika ditemui, baru-baru ini.

Menurutnya, syarikat itu juga akan terus menambah lebih banyak jenama untuk terus berdaya saing dengan jenama-jenama lain di dalam pasaran tempatan.

Katanya, terdapat dua produk baharu yang masih di dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan dijangka akan diperkenalkan pada bulan Februari ini.

"Kami akan terus menghasilkan lebih banyak produk yang baharu bersesuaian dengan permintaan pengguna hari ini," katanya.

Nur Azleen berkata, SHSB juga akan melancarkan laman sesawang pada masa akan datang khusus untuk stokis dan ejen membuat pembelian dan tempahan stok.

Dengan adanya laman sesawang itu, SHSB dijangka akan mengembangkan lagi pasaran ke luar negara khususnya negara-negara Asia.

"Kami sudah mempunyai ejen di Brunei dan Singapura. Pada masa akan datang, kami sasar untuk memasuki pasaran Indonesia, United Kingdom dan Australia," katanya.

Menurutnya, SHSB tidak menjual tudung secara terus kepada pelanggan, sebaliknya pelanggan perlu membeli tudung keluaran menerusi stokis dan ejen yang dilantik di seluruh negara.

Mengulas berhubung sasaran jualannya, Nur Azleen berkata, syarikat itu menyasarkan jualan RM500,000 sebulan bagi kedua-dua jenama tudung keluarannya.

Scarfbucks adalah hijab pertama di dalam cawan dilancarkan pada Ogos tahun lalu menerusi koleksi Tiffany telah dijual sebanyak 11,000 helai, koleksi kedua Lucia dijual sebanyak 10,000 dan koleksi Alda Frappe terjual sebanyak 12,000 helai dalam masa sebulan.

Manakala, bagi iBawal yang telah berada di pasaran sejak November 2015 terjual sebanyak 15,000 helai dalam tempoh dua bulan.

0 Komentar untuk " Sofris Hijab kukuh jenama tudung "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ