Beberapa minggu lalu sebuah akhbar harian melaporkan satu dapatan tidak menggembirakan berkenaan statistik perceraian dalam kalangan umat Islam di negara ini. Dengan tajuk 'Negara Malaysia - negara janda dan duda' adalah satu kenyataan sinis dan satu tamparan untuk menyedarkan kita supaya mengambil berat perkara ini. Dilaporkan hampir 156 pasangan Islam bercerai setiap hari dan lebih 274,000 pasangan bercerai dalam tempoh enam tahun. Jika statistik itu benar, maka boleh dikatakan dalam sehari sahaja ada 156 orang perempuan menjadi janda, 156 lelaki menjadi duda dan berapa ramai anak hilang nikmat dibesarkan dalam sebuah rumah tangga bersama ayah dan ibu. Akhbar itu turut mendedahkan punca remeh-temeh dan ada yang tidak masuk akal menyebabkan berlakunya perceraian seperti suami menceraikan isteri kerana rupa bentuk badan isteri tidak cantik dan kurang menyenangkan suami dan punggung isteri menggerutu. Sebab lain, isteri suka makan dalam kereta dan ia menimbulkan kemarahan suami, isteri suka membasuh baju pada waktu malam yang mungkin menyebabkan suami ingin tidur bersamanya menjadi marah dan tidak dapat bersabar. Berlaku perceraian kerana isteri lambat menyediakan makanan hingga menimbulkan kemarahan suami. Isteri suka membeli-belah dan mengikuti rombongan golongan ibu menyebabkan timbul ketegangan serta tidak disukai suami, berebut siaran televisyen dan pelbagai alasan lain yang dianggap remeh. Cerai seperti perkara mainan Apakah yang terjadi dalam masyarakat sehingga perceraian menjadi seperti perkara mainan sahaja. Apabila berlaku perceraian, sama ada kita ingin akui atau tidak, anak yang paling kuat menerima kesannya. Anak mangsa cerai terpaksa tinggal dengan ibu atau bapa. Keadaan menjadi lebih menyedihkan jika ayah tidak mengambil tanggungjawab berjumpa, memberi kasih sayang dan menyara mereka dengan sebaiknya. Banyak kajian menunjukkan anak yang kehilangan kasih sayang ini terjerumus ke lembah negatif, bersikap pemarah dan jiwa bercelaru. Jika tiada sokongan psikologi, bayangkan apa yang bakal terjadi kepada negara pada masa akan datang. Kajian menegaskan ramai dalam kalangan mereka akan mengambil pendekatan hampir sama dengan ibu bapa mereka iaitu tidak berusaha menjaga rumah tangga dan amat senang mencari jalan untuk bercerai. Perkembangan ini harus dipandang serius. Apabila perceraian menjadi pilihan pertama walaupun kerana sebab kecil, ia menunjukkan kedudukan perkahwinan yang lemah. Perkembangan ini seharusnya menyentak kita untuk berusaha memperbaiki keadaan masyarakat yang semakin membimbangkan. Kerajaan seharusnya meletakkan perkahwinan rakyat dan keutuhan kekeluargaan sebagai agenda negara. Peruntukan kewangan harus diberikan dengan menjadikan keluarga penyayang dan utuh sebagai agenda pembangunan insan. Membina Pusat Hubungan Keluarga (Family Relation Centre) sebagai tempat pasangan yang tidak mempunyai skil perhubungan dalam rumah tangga mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan psikologi. Kempen menjaga rumah tangga demi kesejahteraan generasi anak haruslah dilancarkan. Program TV harus ditapis Program televisyen seperti drama yang melebihkan keruntuhan rumah tangga, suami ganas dan pendera serta isteri jahat harus ditapis. Kajian mengesahkan apabila semakin banyak program seperti itu ditonton maka ia menjadi perkara biasa dalam pemikiran penonton. Ilmuwan Islam sewajarnya menjadikan isu keutuhan rumah tangga dalam program dakwah menerusi khutbah Jumaat, ceramah maghrib dan tazkirah di masjid untuk menyedarkan masyarakat. Perhubungan adil dan saksama serta penyayang antara suami isteri serta ibu bapa dengan anak wajar ditekankan. Suami seharusnya belajar bersabar dalam menghadapi kesilapan isteri mesti dipertingkatkan. Isteri seharusnya ditegur supaya bersabar dengan masalah yang berlaku dalam rumah tangga juga digiatkan dalam kuliah wanita. Tanpa menafikan telah ada usaha dilakukan, perkembangan perce-raian yang membimbangkan wajar diambil perhatian khususnya oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam supaya ditangani sebaiknya. Kempen keluarga berkasih sayang dan cemerlang hendaklah digerakkan selain dianjurkan seminar dan ceramah di sekolah atau pusat kemasyarakatan dengan lebih kerap. Apabila ia menjadi agenda besar, kita berharap masyarakat umum akan melihat perkahwinan adalah ikatan murni yang dalamnya sudah pasti ada masalah, tetapi kesabaran serta kesungguhan mempertahankan keutuhan rumah tangga hendaklah menjadi keutamaan semua.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/119233
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/119233
0 Komentar untuk " Perceraian berpunca perkara remeh-temeh membimbangkan "