Jadilah seperti Rashid - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Jadilah seperti Rashid

TIBA-tiba nama Rashid menjadi terkenal di laman sosial. Nama Rashid membanjiri Facebook, Twitter dan laman sosial yang lain. Fenomena “Jadilah seperti (nama orang)” ini sebenarnya berasal dari sebuah 'meme' di internet iaitu Be like Bill yang popular sekitar akhir tahun lepas. Ia popular di Sepanyol dengan nama Se como Jose dan di Itali dengan nama Sii Come Bill.

Internet meme ialah sesuatu yang menjadi terkenal melalui internet seperti gambar, video, audio, orang, penulisan, komik dan sebagainya yang ditiru atau diubahsuai dalam bentuk cerita, kenyataan, humor atau sindiran dan disebarkan secara meluas di internet. Richard Dawkins memperkenalkan istilah ini dalam bukunya bertajuk The Selfish Gene pada tahun 1976. Ia adalah berdasarkan perkataan Greek Kuno, iaitu mimema, yang bermaksud imitated thing atau perkara yang ditiru.

Sekarang baru Abdul Rashid Chan faham kenapa nama Rashid sering keluar dan menjadi viral di laman sosial. Rashid adalah satu karakter kartun yang menampilkan sindiran berupa nasihat. Tetapi bagi dia, nama Abdul Rashid dipilih kerana maksudnya, iaitu “hamba ALLAH yang bijaksana”. Dia juga meminati jaguh badminton negara, Rashid Sidek, sejak kecil lagi.

Walaupun baru lima tahun memeluk Islam, Rashid sudah membayar zakat. Malahan, dia tidak pernah meminta zakat kerana mempunyai kerjaya dan pendapatan yang stabil walaupun tidak kaya-raya. Rashid tidak mahu orang memandang hina ke atas golongan muhajir yang sememangnya sering dipandang serong, seolah-olah menjadi malas atau jatuh susah selepas bergelar Muslim.

Rashid sering terdengar cerita mengenai mualaf yang mengutip derma dari satu masjid ke masjid yang lain. Mereka dipandang rendah oleh masyarakat Islam asal kerana dianggap malas dan sering meminta-minta. Masyarakat bukan Islam pula akan menganggap bahawa masuk Islam menjadikan seseorang itu susah dan mundur ke belakang. Dia ingin menukar persepsi masyarakat walaupun menyedari ia tidak mudah kerana sememangnya terdapat golongan yang mengeksploitasi kedudukan sebagai muhajir.

Walaupun pendapatannya sekadar cukup makan, Rashid tidak pernah mengeluh atau meminta simpati daripada mana-mana pihak. Kadang-kadang duit tidak cukup apabila kereta rosak, ataupun terdapat kecemasan yang memerlukan perbelanjaan lebih dari kebiasaan.

Untuk menangani keadaan itu, dia kini mempunyai pekerjaan kedua. Setiap malam, dia akan menghadap komputer untuk membina laman web, serta mengemas kini laman web yang sedia ada, demi menambah pendapatan dan bukannya untuk menyebarkan berita yang tidak disahkan di internet.

Selain itu, Rashid juga rajin mengembangkan pengetahuannya mengenai Islam. Dia sering mengikuti kelas-kelas pengajian agama anjuran majlis agama Islam, ataupun di masjid-masjid berdekatan. Dia juga berazam untuk bersungguh-sungguh belajar membaca al-Quran agar mampu menjadi imam suatu hari nanti. Walaupun umur sudah hampir senja, dia tidak malu untuk bermula dengan belajar Iqrak bagi memperbetulkan sebutan.

Rashid juga sedar, sebagai seorang yang telah memilih Islam sebagai cara hidup, jika ingin memberi teguran terutamanya berkaitan Islam, dia perlulah berhati-hati dan menegur secara berhemah. Mungkin orang yang ditegur itu tidak dapat menerima tegurannya disebabkan dia dianggap masih setahun jagung dalam Islam.

Rashid teringat kisah cucu-cucu Rasulullah SAW, Hasan dan Husin, yang menegur orang yang lebih tua kerana mengambil wuduk dengan cara yang salah. Mereka berpura-pura tidak tahu mengambil wuduk dan meminta lelaki itu menghakimi cara mereka berwuduk.

Lelaki itu bersetuju menjadi hakim. Mereka mengambil peluang itu dengan menunjukkan cara berwuduk seperti yang diajarkan oleh datuk mereka, Baginda Rasulullah SAW. Setelah Hasan dan Husin selesai berwuduk, lelaki itu sedar bahawa dia telah silap. Dia lantas berterima kasih kepada Hasan dan Husin kerana telah menyedarkannya.

Begitulah yang cuba diingati dan dipraktikkan oleh Rashid. Dia sentiasa beringat untuk memberi teguran dengan hikmah dan berharap kawan-kawan muhajir yang lain juga dapat mengamalkan perkara yang sama.

Inilah akhlak Islamiah yang sepatutnya menjadi pegangan seluruh umat Islam, bukan sahaja golongan muhajir. Walaupun dianggap saudara baharu, Abdul Rashid Chan sentiasa berusaha menjadikan Rasulullah SAW sebagai panduan. Jadilah seperti Rashid.

0 Komentar untuk " Jadilah seperti Rashid "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ