Bola sepak dan merah jambu - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Bola sepak dan merah jambu

WARNA merah jambu begitu sinonim dengan perempuan. Ia kerap menjadi warna pilihan untuk bilik tidur anak perempuan tanpa mengira umur.

Warna ini dianggap menyerlahkan ciri feminin dan tidak “macho” untuk golongan lelaki. Apabila seseorang baru melahirkan anak, biasanya perkara pertama yang ditanya adalah jantina bayi. Ia antara lain bertujuan menentukan pilihan warna hadiah untuk bayi tersebut; kebiasaannya merah jambu untuk perempuan dan biru untuk lelaki.

Dahulu, jika ada lelaki yang memilih warna merah jambu, mereka mungkin akan ditertawakan. Bagaimanapun, hari ini, seiring dengan peredaran zaman dan perkembangan fesyen, warna ini telah mula digunakan untuk pakaian lelaki di semua peringkat umur.

Semakin ramai lelaki yang menggemari warna ini, sama ada kerana mengikut trend atau untuk memberi kelainan kepada penampilan. Persoalannya, sejak bilakah warna ini dikaitkan dengan jantina seseorang?

Dr Veronica Koller telah membuat kajian mengenai warna merah jambu sebagai penanda kepada jantina dalam model sosial pada 2008 (Jurnal Visual Communication, volume 7, nombor 4).

Beliau yang merupakan pensyarah di Lancaster University, United Kingdom, mendakwa, sebelum Perang Dunia Pertama, warna merah jambu biasa digunakan untuk kanak-kanak lelaki dan warna biru untuk kanak-kanak perempuan.

New York Times bertarikh 23 Julai 1893 melaporkan berita mengenai seorang perempuan yang sedang menyediakan hadiah untuk bayi yang baru dilahirkan, di mana beliau akan memberikan hadiah berwarna merah jambu untuk bayi lelaki dan biru untuk bayi perempuan.

Los Angeles Sunday Times bertarikh 9 April 1905 pula melaporkan mengenai golongan ibu dan jururawat di Itali yang sering membawa bayi di atas bantal yang diikat reben; reben merah jambu untuk lelaki dan biru untuk perempuan.

Majalah Good Housekeeping yang diterbitkan sejak 1885 di Amerika Syarikat, pada keluaran Oktober 1920, telah mempamerkan iklan pakaian bayi dalam kotak hadiah khas, di mana warna biru adalah untuk bayi perempuan dan merah jambu untuk bayi lelaki.

Menurut kajian Dr Veronica, keadaan berubah menjadi sebaliknya selepas Perang Dunia Pertama (1914-1918). Apabila pakaian pasukan beruniform, pekerja buruh lelaki dan sektor pekerjaan yang dimonopoli golongan lelaki mula mengenakan warna biru, maka ton warna tersebut dilabel untuk lelaki. Industri pemasaran juga kemudiannya mula mengaitkan warna merah jambu untuk wanita.

Selepas Perang Dunia Kedua pada tahun 1945, warna biru yang digunakan untuk pakaian tentera terus dikaitkan dengan lelaki.

Lebih-lebih lagi dengan strategi pemasaran oleh pengusaha dan pengilang pakaian yang seolah-olah menetapkan warna biru untuk kanak-kanak lelaki dan merah jambu untuk kanak-kanak perempuan.

Maka di sini kita lihat bahawa penggunaan warna menurut jantina sebenarnya telah berubah dengan peredaraan masa.

Syabas kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa, dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, selaku pengerusi Perbadanan Stadium Kelantan (PSK), yang bersetuju membenarkan stadium Sultan Muhammad IV dicat dengan warna merah jambu.

Ini antara syarat-syarat penajaan yang diletakkan oleh Datuk Seri Dr Hasmiza Osman yang lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida. Beliau juga ingin jersi negeri berwarna merah jambu.

Ini dilihat sesetengah pihak sebagai suntikan semangat untuk pasukan Kelantan yang selama ini begitu sinonim dengan warna merah, malah terkenal dengan jolokan The Red Warriors (TRW) yang bermaksud “pahlawan merah”, sama seperti bendera negeri Kelantan yang berwarna merah dengan logo berwarna putih. Dengan perkembangan ini bermakna warna merah digabungkan dengan putih untuk menjadi merah jambu pula.

Warna merah jambu untuk jersi bola sepak sebenarnya bukanlah perkara asing. Pasukan Boca Juniors, yang terkenal di Argentina, dan pernah melahirkan jaguh dunia, Diego Maradona, juga mengenakan jersi away berwarna merah jambu pada 2013.

Malah, pasukan hebat seperti Real Madrid, Palermo dan juga Juventus turut menggunakan jersi berwarna merah jambu. Semoga pasukan Kelantan akan kembali cemerlang pada musim ini dengan jersi merah jambu!

0 Komentar untuk " Bola sepak dan merah jambu "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ