Rakyat sambut baik cadangan pembinaan LRT, Lebuhraya PIL - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Rakyat sambut baik cadangan pembinaan LRT, Lebuhraya PIL

Georgetown: Sesi dialog Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) yang diadakan oleh kerajaan negeri baru-baru ini berjaya menarik perhatian kira-kira 100 penduduk setempat dan wakil-wakil NGO untuk membabitkan diri serta berbincang dengan lebih terperinci mengenai projek pembangunan itu. Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berkata pelaksanaan projek itu dijangka menjadi permulaan pemangkin kemajuan ekonomi Pulau Pinang menjelang tahun 2065.

Sebagai projek infrastruktur terbesar yang belum pernah dijalankan sebelum ini, Lim menegaskan bahawa rancangan ini akan memberi kepentingan kepada kedua-dua bahagian negeri dengan tidak hanya tertumpu kepada kawasan pulau semata-mata. Yang turut hadir dalam sesi ini ialah Pengarah Projek SRS Consortium Szeto Wai Loong, Rakan Pelaksana Projek (PDP) bagi PIP, dan seorang wakil daripada Majlis Perbandaran Pulau Pinang.

Sebagai sebuah bandar yang padat dengan kesesakan lalu lintas, orang awam dilihat menyokong penuh idea pelaksanaan Transit Aliran Ringan (LRT) dan pembinaan Lebuhraya Pan Island Link (PIL) sebagai tulang belakang pengangkutan awam yang mampu menghubungkan jambatan kedua ke Gurney Drive dalam masa 15 minit.

Seorang pesara, Abdul Rahim berkata, dia menyokong penuh projek pembinaan LRT di pulau berkenaan memandangkan keadaan lalu lintas di negeri berkenaan yang semakin buruk. "Pada pendapat saya, pembinaan LRT dapat membantu mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas yang kritikal pada waktu ini, terutama pada hujung minggu dan cuti umum.

Manfaat menyeluruh 

"Saya pernah mendengar mengenai projek ini sebelum ini dan saya sangat berharap agar ia betul-betul dilaksanakan. Sejak 20 hingga 30 tahun yang lalu, saya lihat tidak banyak perubahan dan pembangunan yang berlaku di Pulau Pinang. Jadi, pelaksanaan pelan ini secara tidak langsung diharap mampu memberi manfaat yang menyeluruh kepada penduduk Pulau Pinang, selain tidak perlu bimbang dengan keadaan trafik semasa," katanya. Abdul Rahim turut menambah perjumpaan secara kerap antara pihak kerajaan dan orang ramai mampu menjadi platform komunikasi yang efektif kepada kedua-dua pihak dalam menukar pendapat dan mendapatkan pandangan orang ramai.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa MMK, Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas, dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow, yang terbabit dalam sesi soal jawab itu berkata, pelan yang dibentangkan bagaimanapun masih lagi berada di peringkat awal. "PDP kami akan mendapatkan jajaran yang terbaik dan memikirkan aspek terpenting meliputi penggunaan kos yang minimum, persekitaran yang kondusif serta memberi impak sosial yang minimum selaras dengan cadangan yang diutarakan penduduk," ujarnya.

Pelbagai pendapat disuarakan untuk keperluan pembangunan, persekitaran, perhubungan dan kebudayaan yang berkisar pada permintaan penduduk yang berkembang pesat. Sebagai sebahagian daripada PIP, idea menebus tanah dicadangkan dan akan menjadi pemangkin kepada modal pembiayaan untuk projek LRT yang dibayangkan akan menjadi sebagai satu pusat kebudayaan dan pentadbiran yang turut dilengkapi dengan kawasan perumahan mampu milik di samping taman-taman hijau di sekitarnya.

Prihatin aspek alam sekitar 

Kerajaan memberi jaminan kepada penduduk tempatan bahawa Kajian Terperinci Kesan kepada Alam Sekitar (DEIA) akan diambil untuk memastikan aspek alam sekitar sedia ada tetap dijaga dengan baik. Susulan daripada pelan pelaksanaan itu, Ahli Majlis Pulau Pinang, Dr Lim Mah Hui mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri yang mengambil langkah proaktif dan mengambil kira kesan jangka masa panjang bagi mengelakkan kesan buruk.

"Jika pelan penambakan diambil kira, saya berharap agar kontraktor yang dilantik akan bertanggungjawab dengan segala tindakan yang diambil dengan mengambil kira alam sekitar sebagai elemen utama yang perlu dipelihara. "Merujuk kepada Lebuhraya PIL, kerajaan negeri perlu memahami bahawa pembinaan jalan akan meningkatkan lagi penggunaan kereta di atas jalan raya. Mereka perlu memikirkan jalan penyelesaian bagaimana untuk menggalakkan pengguna jalan raya memilih LRT sebagai satu-satunya medium pengangkutan harian mereka," katanya.

Seorang penduduk Seberang Prai, Shafida Shafie, berkata beliau yakin pembinaan LRT mampu mengubah landskap pengangkutan di Pulau Pinang. "Setiap hari, saya berulang-alik ke dari seberang ke pulau untuk bekerja dan terpaksa mengharungi jalan raya yang sesak. Disebabkan itu, saya amat berharap agar pelan PIP mampu menyelesaikan masalah lalu lintas yang dihidapi penduduk setempat untuk jangka panjang," jelasnya.

Pulihara tapak warisan 

Dalam sesi itu juga, kerajaan negeri turut menjelaskan sistem trem bagi tapak warisan Dunia UNESCO. Abdul Rahim berkata, ia akan menjadi kawasan tumpuan pelancong yang baharu memandangkan pelaksanaan sistem pengangkutan hop-on dan hop-off pada jarak dekat ini menyamai dengan sistem pengangkutan yang diaplikasikan di San Francisco dan Hong Kong. Bagaimanapun di sebalik kenyataan itu, seorang pemandu pelancong di sini, Joann Khaw mengemukakan persoalan sama ada pengangkutan awam itu hanya difokuskan bagi tarikan pelancong.

Ia perlu mengambil kira golongan kurang upaya dan penduduk setempat selain pelancong. "Ia adalah suatu hasrat yang murni jika objektif pembinaan LRT ditumpukan kepada orang awam dan golongan kurang upaya terlebih dahulu kerana mereka yang memerlukan sistem pengangkutan yang terbaik. "Jika rakyat mampu menikmati kemudahan akses pengangkutan yang baik, sudah tentu pelancong juga akan dapat menikmati akses yang sama," jawab Kon Yeow. Bagi seorang penduduk di Balik Pulau, Mohd Zahari, dia bersetuju dengan sistem rangkaian yang tidak memerlukan penempatan semula penduduk.

"Dalam era globalisasi ini, rangkaian pengangkutan awam perlu memastikan orang ramai dapat menikmati kehidupan yang lebih baik dan dalam masa yang sama membantu meningkatkan peluang pekerjaan serta pendapatan bulanan," katanya. Sebagai PDP, Wai Loong berkata SRS Consortium bertanggungjawab terhadap pengendalian pakej kerja kepada kontraktor tempatan. "Projek ini bukan sahaja memberi kesan berganda, malahan juga memberi manfaat kepada penduduk tempatan dalam jangka masa panjang.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut mengulangi sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, telus dan terbuka, mereka akan mengadakan pertemuan secara kerap bagi mengambil kira pendapat orang awam. Penduduk Pulau Pinang kini dilihat tidak sabar menunggu pelaksanaan pembinaan LRT itu. "Saya benar-benar berharap projek ini dapat direalisasikan dan pihak kerajaan persekutuan dan negeri dapat meletakkan kepentingan rakyat dan bukannya jurang politik setempat," katanya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/103389
0 Komentar untuk " Rakyat sambut baik cadangan pembinaan LRT, Lebuhraya PIL "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ