Raja Ampat rimba batu karang - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Raja Ampat rimba batu karang

Indonesia akan memperkenalkan geopark nasional terbaharu di wilayah paling timur Arkipelago kepulauannya. Saya diundang untuk membuat penilaian kesesuaian Raja Ampat sebagai sebuah geopark. Perjalanan udara dari Jakarta ke Makasar dan Sorong mengambil masa lebih empat jam. Dari Sorong pula kami mengambil masa lebih dua jam menaiki kapal penumpang ke Waisai, sebuah pekan kecil di pusat pentadbiran daerah ini.

Daerah Kabupaten Raja Ampat memiliki beberapa keistimewaan luar biasa. Ia adalah sebuah daerah kepulauan yang meluas berada di antara Lautan Pasifik di utara dan Lautan India di selatannya. Mengandungi empat pulau besar iaitu Waigeo, Batanta, Salawati dan Misool serta lebih 1,800 kepulauan bersaiz sederhana dan kecil. Ia tertabur di wilayah kelautan seluas lebih 4,000,000 kilometer (km) persegi. Daripada perspektif Kerajaan Indonesia, keseluruhan Raja Ampat adalah zon pemuliharaan yang tidak boleh dibangunkan.

Mengikut sejarah, Raja Ampat terletak di bawah pemerintahan Kesultanan Tidore, dan masyarakat aslinya terdiri daripada lebih 30 suku kaum seperti suku Maya, Wauyai, Matbat, Syam, Kawe dan Batanta. Begitupun, Raja Ampat seperti tidak berpenghuni kecuali flora dan fauna, khususnya hidupan laut. Hanya sekitar 60,000 penduduk menetap di kepulauan ini, kebanyakannya berada di pekan baharu Waisai. Penduduk asli bertaburan di lebih 50 perkampungan asli yang kecil antara 10 hingga 50 keluarga, tertabur di tepi pantai atau pulau berpasir yang kecil.

Kebanyakan penduduk di sini mencari sumber kehidupan sebagai nelayan dan kini mulai berubah menjadi pemain industri pelancongan. Kami sempat melawat Pulau Airborei, sebuah kampung di pulau berpasir seluas hanya lapan hektar yang dihuni 180 penduduk asli mewakili 37 keluarga. Syurga peminat selam skuba Raja Ampat adalah 'rimba batu karang' dengan kepelbagaian hidupan laut yang sangat tinggi. Daerah ini memiliki sekitar 550 jenis karang, 700 haiwan moluska (kerang), 500 haiwan gastropod (siput), 150 haiwan sefalopod (sotong) dan lebih 1000 jenis ikan karang tropika, layak dikenali sebagai syurga bagi peminat rekreasi selam skuba.

Malah, ada yang menyatakan 'jangan mati dahulu sebelum ke Raja Ampat,' begitulah bayangan bagi mereka yang menjelajah ke seluruh pelusuk dunia untuk menikmati keindahan dunia dasar laut. Saya ke daerah ini bersama Ketua Pembangunan Geopark Indonesia Pak Hanang; bekas Ketua Pengarah Pelancongan Indonesia, Pak Firmanshah dan wakil Bupati Raja Ampat, Pak Yusdi. Tujuan kami untuk melihat kesesuaian tempat ini sebagai sebuah geopark nasional.

Selepas dua hari menjelajahi beberapa tapak istimewa, saya nyatakan kepada mereka, jika saya dibawa ke Raja Ampat, empat tahun yang lalu, pastinya kini sudah menjadi geopark nasional.

Keindahan landskap 

Raja Ampat adalah sebuah landskap kepulauan pasifik direntasi oleh garisan Khatulistiwa yang sangat mengagumkan.

Keindahannya terletak pada gabungan landskap pulau tropika Kars dan pembentukan terumbu karang yang meluas. Tiga kawasan Kars yang kami lawati iaitu Penemu, Wayag dan persisiran Teluk Kabui adalah dunia Kars, kepulauan yang terindah pernah kami lawati. Pembentukan pulau Kars yang beraneka saiz dan bentuk menggambarkan seperti ribuan Mahkota Raja Ampat.

Landskap Kars di kepulauan Raja Ampat amat luar biasa keindahan dan nilai estatiknya. Ia mewakili kepelbagaian rupa bumi yang unik dan evolusi landskap hasil proses perlarutan dalam pelbagai peringkat. Tiga bentuk Kars tropika yang menghasilkan keindahan landskap ialah kars bentuk kun, bentuk tempurung dan bertebing curam. Sebahagian daripada pulau Kars ini mengalami hakisan pasang surut sehingga membentuk rupa bumi seakan cendawan. Keindahannya lebih terserlah apabila ia diserikan oleh keunikan ekosistem batu kapur yang meliputi kepulauan Kars ini.

Budaya penduduk setempat 

Kami tertarik dengan budaya dan pegangan penduduk tempatan mengenai alam dan kelestarian kehidupan. Kepercayaan dan amalan menangkap ikan umpamanya, sangat mengagumkan. Mereka tidak menangkap ikan di sekitar perkampungan, tetapi sebaliknya pergi ke tengah lautan bagi memastikan sumber makanan sentiasa terpelihara. Raja Ampat lautannya dipenuhi kepelbagaian hidupan dan kelimpahan ikan yang sangat tinggi. Tidak hairanlah, ramai tetamu luar negara sanggup berbelanja tinggi, berkunjung ke daerah ini hanya untuk menghayati alam sekitar dalam keadaan aslinya.

Langkawi sebagai Geopark Global UNESCO juga adalah landskap kepulauan berpandangan indah. Kepulauan Raja Ampat mempunyai keluasan lima kali lebih besar, tetapi penduduknya hanya separuh berbanding Langkawi. Walaupun mempunyai cabaran tinggi membangun wilayah ini sebagai geopark, jika berjaya ia bakal menjadi geopark kepulauan berkualiti dan dikagumi.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/101201
0 Komentar untuk " Raja Ampat rimba batu karang "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ