Produk IKS Bumiputera di pasar raya - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Produk IKS Bumiputera di pasar raya

DEWAN Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Kuala Lumpur, menyasarkan untuk menghimpunkan produk-produk daripada 1,000 usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) Bumiputera di dua pasar raya baharu di Perak, dijangka pada Januari tahun hadapan.

Ketua Biro Pembangunan Usahawan IKS dan Peniaga Kecilnya, Datuk Rozali Che Pin berkata, usaha itu membangunkan produk usahawan Bumiputera yang sukar didapati di pasaran pada masa kini.

"Apabila 1,000 usahawan seluruh Malaysia dihimpunkan, kami akan membentuk sebuah koperasi mengendalikan pasar raya ini.

"Kita akan pilih produk pelbagai jenis daripada usahawan terpilih di setiap negeri untuk ditempatkan dalam pasar raya yang akan mempamerkan produk IKS popular dan kurang dikenali," katanya ketika ditemui selepas mengadakan sesi dialog bersama Sinar Harian di Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam, semalam.

Rozali berkata, dua lagi cawangan pasar raya baharu bakal menyusul di Melaka dan GM Klang selepas pembukaan pertama di Perak.

"Kita akan mencari lebih banyak lokasi lain selepas ini," katanya.

Pihaknya juga akan menambah baik produk terpilih yang berkualiti sebelum dijual di pasar raya tersebut.

"Sebagai contoh, ada produk berkualiti, tetapi bungkusannya kurang menarik, kita akan tambah baik. Kalau produk itu tidak ada sijil halal, kita akan minta syarikat berkenaan mendapatkan sijil sebelum ia dipasarkan.

"Kami tidak minta usahawan ini keluarkan produk masing-masing dalam kuantiti yang banyak, sebaliknya bergantung kepada tempahan.

"Sekiranya produk usahawan itu dapat banyak tempahan, tetapi dia tak mampu, kita akan suntik dalam bentuk wang atau material," katanya.

Rozali berkata, usahawan hanya dikenakan yuran sekali iaitu sebanyak RM1,000 dan sewa vendor jika produk mereka laris terjual.

"Bayaran RM1,000 bagi pengubahsuaian, peralatan, iklan, promosi dan kos pengurusan pasar raya. Jika produk usahawan tidak laku, mereka tidak perlu bayar sewa," katanya.

Selain itu, katanya, usahawan juga berpeluang menjalin padanan perniagaan apabila pedagang dari luar negara membuat lawatan.

"Produk mereka akan dipromosikan di karnival kerajaan selain membekalkan kepada cawangan kecil dan antarabangsa," katanya.

0 Komentar untuk " Produk IKS Bumiputera di pasar raya "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ