DPwholesale hasrat tembusi China - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

DPwholesale hasrat tembusi China

DPWHOLESALE Sdn Bhd merancang menjadi platform kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera untuk membawa produk-produk tempatan menembusi pasaran Chengdu, China.

Pengarahnya, Norhadira Zainodin berkata, pihaknya bukan sahaja mahu menjadi pengimport barangan dari China tetapi juga turut mengeksport produk tempatan ke negara berkenaan.

Menurutnya, pihaknya menyedari masalah yang dihadapi PKS untuk menerokai pasaran luar negara khususnya logistik.

"Oleh itu, bagi memberi ruang kepada PKS, kami menjangkakan untuk memulakan eksport barangan tempatan ke sana pada pertengahan tahun hadapan.

"Buat masa ini, kami sedang mengumpul usahawan yang layak dan menepati kriteria sebelum membawa produk mereka ke pasaran China," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Norhadira berkata, pihaknya menjangkakan untuk membawa masuk di antara 28 hingga 50 produk sejuk beku bagi peringkat permulaan aktiviti eksport dijalankan.

Katanya, China sememangnya mempunyai permintaan yang tinggi terhadap produk Malaysia terutamanya yang mempunyai pengiktirafan halal.

Bagaimanapun, Norhadira berkata, untuk menembusi pasaran itu, usahawan perlu menepati kriteria-kriteria tertentu antaranya halal, penjenamaan dan menepati syarat-syarat Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

DPwholesale adalah syarikat di bawah Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Putrajaya ditubuhkan pada Februari lalu dengan modal keseluruhan RM600,000.

Norhadira berkata, pihaknya berhasrat untuk menjadikan pusat sehenti bagi usahawan-usahawan untuk aktiviti eksport dan import.

"Kami merancang untuk membuka pusat sehenti ini di setiap zon iaitu di utara, selatan dan pantai timur selewat-lewatnya menjelang akhir tahun hadapan.

"Peringkat awal, kami jangka untuk buka di Pulau Pinang dan Johor terlebih dahulu," katanya.

Walaupun setakat ini hanya mengimport barangan daripada China, DPwholesale merancang untuk memperluaskan pasaran ke Vietnam dan Thailand pada masa akan datang.

Mengulas berhubung perolehan syarikat, Norhadira berkata, dalam tempoh lima bulan beroperasi, DPwholesale mampu menjana sehingga RM80,000 sebulan.

Katanya, pihaknya mempunyai 100 usahawan aktif bagi mengimport barangan dari China secara pukal dengan harga yang lebih murah.

DPwholesale adalah anak syarikat ADZ Group Of Companies, syarikat logistik milik Bumiputera yang beroperasi di Pandaram, Klang dengan nilai aset RM1.3 juta.

Related Post

0 Komentar untuk " DPwholesale hasrat tembusi China "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ