Al-Quran dan tanggungjawab dakwah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Al-Quran dan tanggungjawab dakwah

DAKWAH adalah gerak kerja utama dalam mengembangkan Islam. Sejak zaman Rasulullah SAW dakwah menjadi agenda penting bagi penyebaran Islam di Makkah dan Madinah dan akhirnya diwarisi untuk dikembangkan ke Jazirah Arabia dan akhirnya ke seluruh dunia.

Al-Quran dalam Surah Ali Imran ayat 104 menyatakan dengan jelas, “Hendaklah ada di antara kamu golongan yang mengajak kepada kebaikan, melakukan yang makruf dan mencegah kemungkaran. Itulah orangorang bakal menerima kebahagiaan". Ayat ini dengan jelas menjadikan usaha menyeru dan mengajak sesuatu yang amat dituntut oleh Islam.

Dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW sepanjang hayatnya adalah atas tuntutan ini. Manusia pada asasnya dalam keadaan tidak tahu dan hidup berasaskan amalan orang-orang yang terdahulu atau warisan nenek-moyang mereka.

Mereka harus diberitahu mengenai aqidah tauhid dan jalan yang hak dan jalan yang batil. Justeru dakwah yang berpaksikan aqidah tauhid menjadi amat utama di sepanjang zaman.

Dalam Surah Ali Imran juga ayat 110, ALLAH menyatakan, “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyeru kepada yang baik, mencegah dari yang mungkar serta beriman kepada ALLAH”.

Memang sebenarnya umat Islam adalah terbaik sekiranya rohaniahnya telus dan tulus dan amaliahnya membayangkan rasa ubudiyyah (ketaatan) yang tinggi kepada ALLAH.

Penyeruan ke arah beriman kepada ALLAH menjadi perkara pokok supaya keyakinan terhadap ALLAH tidak berbelah bagi. Asas tauhidik ini penting kerana ia menjadi pengukuran mengenai beriman atau tidaknya seseorang.

Orang-orang Jahiliyyah pada zaman Rasulullah SAW sudah ada kepercayaan kepada agama dan Tuhan. Sayangnya sebahagian daripada mereka kekal syirik kerana tidak menerima hakikat bahawa ALLAH itu SATU, ALLAH adalah Pencipta dan ALLAH melimpahkan rahmah dan nikmah yang banyak kepada umat manusia.

Sebab itu Islam dan dakwah ibarat isi dengan kuku. Adanya Islam adanya dakwah. Ia berlaku sepanjang zaman kehidupan manusia kerana manusia kena melakukan asbab kepada mad’u atau sasaran. Memberi hidayah adalah tanggungjawab ALLAH.

Al-Quran juga dalam Surah An Nahl ayat 125 menyatakan mengenai dustur dakwah iaitu bagaimana dakwah itu patut disampaikan. Dalam ayat itu ALLAH membutirkan kaedah dakwah (code of dakwah) yang betul untuk mengajak manusia menerima Islam. “Ajaklah kepada syariat ALLAH dengan bijaksana dan nasihat yang baik dan menarik serta berhujahlah dengan cara yang lebih baik”.

Konsep hikmah atau bijaksana dalam melaksanakan dakwah skopnya amat luas. Mad’u atau sasaran para daie mempunyai latar belakang dan kefahaman yang tidak sama.

Kebijaksanaan di sini ialah memiliki suara yang lembut, merendah diri dan berilmu. Pendakwah yang gopoh, mahukan hasil yang cepat, menggunakan label-label tertentu kepada sasaran boleh menyebabkan permusuhan terjadi. Mad’u akan lari daripada kita dan asbab sebegini menyebabkan yang jahil kekal dengan kejahilannya dan yang syirik teguh dengan kesyirikannya.

Begitu juga apabila berhujah dan berbeza pendapat harus disantuni dengan sabar dan hujah yang terbaik. Hujah yang meyakinkan boleh menyebabkan sasaran dakwah menerimanya dengan baik dan menjadi sebab kepada hidayah turun dengan izin ALLAH.

Tanggungjawab dakwah bukanlah mudah. Dakwah bukan kegiatan asal sampai dan asal seru. Ia mesti bermula dengan keikhlasan hati dalam kalangan daie, disampaikan dengan lembut dan berhemah, memahami tahap berfikir dan orientasi berfikir dan sikap orang yang kita dakwahkan.

Pendakwah tidak harus kecewa sekiranya respons mad’u belum lagi positif. Jangan salahkan mereka kalau belum berjaya lagi. Perbaiki diri dan terus lakukan penyeruan dan pengajakan moga-moga dengan izin ALLAH hidayah diberi.

Ada beberapa cara dakwah disampaikan. Pertama, dakwah bil lisan iaitu dakwah dengan komunikasi lisan, ceramah, dialog, perbincangan dan seumpamanya.

Kedua, dakwah bil hal iaitu dakwah dengan amal dan contoh teladan yang menimbulkan keyakinan.

Ketiga, dakwah kontemporari menggunakan alat iaitu tekno-daie.

Ketiga-tiga cara ini lazim digunakan oleh para pendakwah mengikut kesesuaian. Yang penting bagi daie ialah melakukan dakwah harus ada persiapan rapi dan teliti supaya maklumat dan ilmu sampai serta keberkesanannya terlihat. Pendakwah harus memiliki peribadi contoh iaitu perkataan dan ajakannya terlihat pada amalan dan peribadinya.

* Prof Datuk Dr Sidek Baba, Kuliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

0 Komentar untuk " Al-Quran dan tanggungjawab dakwah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ