Usah pandang ringan ancaman penggodam - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Usah pandang ringan ancaman penggodam

Selepas 15 tahun peristiwa pengeboman Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Amerika Syarikat (AS), dunia tidak sunyi daripada siri serangan pengganas. Yang terbaharu serangan di Paris, ibu negara Perancis. Serangan Paris ini berlaku 10 bulan selepas serangan ke atas akhbar satira, Charlie Hebdo yang mengorbankan 17 nyawa. Sementara dunia tidak berkompromi dengan tindakan yang tidak berperikemanusiaan, tindakan pihak pengganas berlaku disebabkan pelbagai faktor dan sebab. Sebelum kejadian di Paris, dunia dikejutkan dengan serangan kumpulan penggodam dikenali sebagai 'Anonymous' baru-baru ini, yang bersiap sedia membalas dendam untuk melancarkan serangan siber terhadap militan Negara Islam (IS).

Pendirian 'Anonymous' ini pula mencetuskan persoalan baharu untuk diteliti komuniti antarabangsa. 'Anonymous' adalah jaringan antarabangsa aktivis penggodam komputer yang mengaku bertanggungjawab terhadap banyak serangan siber. Pihak terbabit turut mengisytihar dan memberi amaran bahawa banyak serangan siber paling besar akan dilakukan terhadap IS. Sejak serangan ke atas Charlie Hebdo Januari lalu, 'Anonymous' melancarkan kempen atas talian memaksa penutupan profil Twitter disyaki milik penyokong IS. 'Anonymous' juga mendakwa sudah mengenal pasti lebih 39,000 profil IS dan sudah dilaporkan kepada Twitter.

Era globalisasi dunia mencetuskan banyak perubahan dalam menghayati kehidupan selepas arus paskal permodenan. Melihat kepada perkembangan semasa, jika perang dunia ketiga berlaku, ia bukan lagi membabitkan kaedah konvensional. Sebaliknya membabitkan aksi perang ala maya atau perang siber. Ini bermakna perang dunia ketiga akan menyaksikan pertembungan menerusi platform internet atau alam maya.

Serangan digital bawa malapetaka 

Internet memberi banyak kesan - kedua-dua positif dan negatif, sekali gus membuka peluang kepada perang siber. Perang siber adalah peperangan yang berlaku dengan penggunaan siber maya atau internet dalam bentuk pertahanan atau bagi kegunaan menyerang sesuatu sistem maklumat tertentu. Satu contoh ketika peperangan Amerika Syarikat (AS) - Iraq, bila mana pihak AS menggunakan virus Stuxnet yang membolosi dan melumpuhkan sistem nuklear Iran. Ia membolehkan akses kepada maklumat penting untuk mudahkan mereka menyerang.

Kejadian itu mungkin menunjukkan pemimpin Iran mula menilai kemampuan perang dunia maya, dibandingkan dengan senjata nuklear kontroversi yang boleh babitkan banyak kematian dan kemusnahan. Ia tidak memerlukan sesebuah negara menghantar tentera mereka ke negara hendak diserang, sebaliknya menggunakan komputer dan jaringan internet. Ini bermakna perang siber akan membabitkan negara yang melirik kekuatan siber seperti AS, Russia, China, Iran dan Israel sebagai antara faktor penting dalam ketahanan negara dalam konteks politik dan kekuasaan global.

Malah, AS sendiri berkali-kali bersuara dan melahirkan kebimbangannya terhadap kemungkinan serangan digital atau perang siber yang boleh membawa malapetaka. Tindakan perang siber juga menakutkan kebanyakan negara yang boleh mengakibatkan segala sistem komputer tergendala dan rosak, pesawat berlanggar di udara dan loji kuasa nuklear akan cair menyebabkan bahaya kepada manusia. Perang siber juga boleh melenyapkan sesebuah negara dari peta dunia.

Beberapa tahun lalu, pakar komputer Russia menggodam rangkaian komputer Kerajaan Estonia sehingga melumpuhkan negara itu. Di Brazil, seorang 'penjenayah siber' yang bukan warganegara melancarkan serangan ke atas grid bekalan elektrik negara itu pada November 2009 sehingga melumpuhkan sistem elektrik di negara itu.

Persiapan hadapi serangan 

Perkembangan pesat teknologi maklumat dan internet menyebabkan negara tertentu menubuhkan tentera siber atau senjata pintar sebagai persiapan bagi menyerang mana-mana negara yang mengganggu-gugat kedaulatan dan pertahanan sesebuah negara di alam maya.

Antara tujuan program senjata pintar dibangunkan adalah untuk menangkis serangan 'malware' seperti Stuxnet dan Flame, malah ia boleh mencetuskan peperangan lebih buruk dan dahsyat dalam alam siber. Jika penghantaran peluru berpandu untuk memusnahkan loji nuklear boleh mengancam keseluruhan sesebuah kawasan, termasuk dunia tetapi virus komputer boleh melakukan serangan dengan lebih efektif dan berkesan.

Difahamkan, China dan Russia mengambil tindakan meningkatkan keupayaan pertahanan siber selain mempersiapkan keupayaan dan kapasiti melawan serangan sejak beberapa tahun lalu dengan menubuhkan unit teknologi maklumat baharu. Setiap negara patut bersedia.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga merancang menubuhkan sebuah Pusat Latihan Peperangan Elektronik bagi menyediakan latihan terkini kepada warga ATM supaya dapat menghasilkan pakar peperangan elektronik yang berkemahiran tinggi.

Ini adalah satu perkembangan yang baik. Justeru, sayap tentera bukan sahaja perlu cekap menggunakan senjata api, bahkan harus canggih menghadapi ancaman dunia maya. Maka, Malaysia juga perlu mengkaji kemungkinan baharu selari dengan perkembangan dunia.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/99019
0 Komentar untuk " Usah pandang ringan ancaman penggodam "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ