Siapa yang lebih pandai? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Siapa yang lebih pandai?

BERKAITAN dengan pengiktirafan UEC, lebih baik buat kajian dahulu atau bertanya kepada menteri berkaitan kenapa hingga kini kerajaan tidak meluluskan UEC?

Bakat (talent) sudah tidak penting lagi jika tidak ada kesetiaan (loyal). Kita tidak perlukan rakyat yang belot, walaupun bagus, jika tidak menjunjung agenda negara, sebaliknya menjunjung agenda negara asing.

Sama juga tindakan ultra kiasu mahukan nama Bagan Nakhoda Omar ditukar kepada nama Bagan Cina, hanya kerana tidak ada orang Melayu tinggal di kampung itu. Bukankah sejarah negara ini bermula dengan nama Tanah Melayu (Rezab Melayu), jadi apa masalahnya.

Di Thailand, langsung tidak ada nama Cina (termasuk kampung Cina), walaupun di sana ramai juga Cina. Begitu juga di Indonesia. Pasal apa Cina tidak membantah? Kembalilah kepada sejarah. Kadangkala ada betulnya kata-kata balik tongsan, kerana kita tidak pernah terfikir berada di Malaysia.

Berbalik kepada isu UEC, saban kali saya tulis, ikut sahajalah arahan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM). Kenapa berdegil sangat? Sijil sekolah kita (contoh, SPM dan STPM) semua diiktiraf di peringkat antarabangsa. Kenapa terlalu kecinaan? Kita tinggal di mana sebenarnya?

Jangan hanya mendengar pendapat ultra kiasu. Panggillah wakil  menteri KPM sama. Tanyalah pakar pendidikan. Saya juga menawarkan diri. Jangan sedap mulut bercakap tindakan Kerajaan Pusat bodoh. Yang bercakap itu, pandai sangatkah? Ketika berada dalam Kabinet suatu ketika dahulu, kenapa menikus? Tidak semua ahli politik pakar? Sekadar ada ijazah asas, masih belum pakar. Maka, rujuklah pakar. Bukan buat kelakar.

Saya tidak akan sebegitu lantang jika UEC mematuhi arahan KPM dan menjunjung agenda negara. Masalahnya mereka ingkar, setelah begitu banyak peluang diberikan. KPM hanya mensyaratkan agar UEC memenuhi keperluan Dasar Pendidikan Kebangsaan, seperti yang ditakrifkan dalam Akta Pendidikan 1996. Selain itu, standard komponen Bahasa Malaysia UEC tidak setaraf dengan SPM, liputan kurikulum Sejarah UEC bagi sejarah negara ini juga terhad. Pendek kata, syaratnya amat mudah.

Mereka hanya mahukan kecinaan itu dikekalkan.

Pakar Perlembagaan, Shad Saleem Faruqi berkata, perlembagaan hanya membenarkan hak untuk belajar bahasa ibunda, bukan hak belajar dalam bahasa ibunda. Dengarlah nasihat pakar kalau kita tidak pakar. Jika semua mahu mengakui pakar, siapa yang pakar? Ini bukan sifat negarawan.

Jika UEC sangat baik, sila ambil SPM bersekali, dapat dua sijil. Bersusahlah sedikit. Kenapa kerajaan juga dipersalahkan? Justeru, saya amat memuji dan menyanjung tinggi Bumiputera Sabah dan Sarawak kerana tidak menuntut sekolah berasaskan etnik. Jika tidak, ribuan sekolah berasaskan etnik akan wujud. Inilah kelebihan Bumiputera di sana.

Kenapa kita hanya bercakap soal pengiktirafan antarabangsa, tetapi langsung tidak bercakap soal pembangunan negara bangsa, pembinaan jati diri dan semangat patriotisme? Mana ada pendidikan caca marba di dunia ini, kecuali Malaysia? Hebat sungguh toleransi kita meraikan kepelbagaian. Malangnya tidak dihargai. Terus mencari dan mencipta masalah. Kemudian salahkan kerajaan.

Justeru, saya mohon kepada ahli politik, berhentilah bercakap perkara bodoh dan menuduh kerajaan bodoh. Jika kerajaan bodoh, sudah tentu siapa yang duduk dalam kerajaan juga bodoh. Adakah kita hanya menjadi pandai setelah keluar dari sistem?

Saya masih ingat pesanan ilmuwan Islam. Pertama, jadilah orang tahu, dia tahu, yang dia tahu. Ini yang terbaik. Jika tidak pun, jadilah orang yang kedua, dia tahu, tetapi dia tak tahu, bahawa dia tahu. Masih lagi boleh diubati bersama kategori ketiga; dia tidak tahu, tetapi dia tahu, bahawa dia tidak tahu. Amat malang jika kita jatuh dalam kategori ini; keempat, dia tidak tahu, dia tidak tahu bahawa dia tidak tahu. Kelima, dia tidak tahu, buat-buat tahu, yang dia tahu, sebenarnya dia tidak tahu. Berat sungguh kategori akhir ini. Tanyalah pakar agar jadi pandai.

Kadangkala saya sedih melihat ahli politik, apabila bercakap atau bertindak dia tidak berfikir terlebih dahulu, sehingga terserlah kebobrokan. Sama juga ultra kiasu yang mahukan nama kampung Melayu ditukar kepada nama Cina, hanya kerana tidak ada Melayu tinggal di situ. Ini bukan soal Cina atau soal Melayu, ini soal sejarah Melayu.

Dalam Islam, Nabi suruh kita berfikir kerana berfikir seminit lebih baik dari sembahyang sunat berpuluh rakaat. Berfikir itu adalah proses yang paling tinggi dalam pembelajaran. Membaca, belajar, menelaah dan berbincang masih belum cukup, jika kita tidak berfikir. Berfikirlah, barulah pandai.

* Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, INSPIRE /PPA, UNISZA

0 Komentar untuk " Siapa yang lebih pandai? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ