Negara China: Lonjakan dan cabaran - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Negara China: Lonjakan dan cabaran

PERTAMA kali saya berkunjung ke negara China ialah pada tahun 1991. Disebabkan ia baru menjengah ke dunia luar untuk memeluki amalan ekonomi pasaran selepas begitu lama terkepung dalam amalan ekonomi komunisme, maka pintu China terbuka luas untuk dikunjungi.

Kami dari Parlimen Malaysia merupakan tetamu yang dihargai, dibawa ke sana sini demi menyaksikan kegemilangan sejarah, termasuk Istana Larangan, Tembok Besar, Pusat Pusara Emperor Shi-Huang Tee berdekatan kota Xian di mana ribuan askar yang dibuat daripada tanah liat tegak berdiri di bawah tanah, serta sebuah masjid luar biasa di kota itu.

Rabung masjid itu seperti pagoda, dibuat daripada kayu keras. Sungguhpun hanya satu tingkat, ia ada tiga teres menurut muka bumi yang menjadi tapaknya. Pada waktu itu, kerja mengukir ayat-ayat Quran 30 juz di semua dindingnya sedang dibuat oleh beberapa pengukir di halaman masjid. Saya percaya pengukiran dan pelekapan ayat-ayat suci itu, yang diukir daripada kayu berharga, sudah lama siap.

Di pejabat Imamnya, Haji Yusuf – rupa dan tubuh badannya seperti  orang Kazakstan atau Kyrgystan – kami diberikan taklimat tentang masjid itu, usianya dan pelbagai lagi.

Selepas kami – lapan orang semuanya – bertemu Presiden Yang Shangkun, berusia 84 tahun, kesan yang tinggal ialah beliau seorang peminat badminton. Beliau baru diberitahu bahawa pemain China yang sedang menyertai satu kejohanan di Eropah akan berlawan dengan ‘Sidek’  di perlawanan akhir.

Tidaklah diberitahu sama ada Misbun, Razif dan Jalani, atau Rashid. Bagi mereka, ‘Sidek Brothers’ adalah daripada keluarga sukan yang luar biasa. Semuanya mencecah tahap kecemerlangan dunia.

Rakyat China yang lebih 1 bilion pun tidak dapat melahirkan satu keluarga ‘Sidek’. Dalam satu percakapan ringan, presiden itu mengatakan China sedang merancang penambahan penduduk agar tidak jadi terlalu ramai. Mengetahui penambahan penduduk China ialah 16 juta setahun, salah seorang dalam kalangan kami mencelah bahawa China mendapat sebuah Malaysia setiap tahun memandangkan penduduk Malaysia ketika itu ialah 16 juta orang.

Jika monumen sejarah amat mengagumkan, kota-kotanya amat terkebelakang dari segi kemas kini kehidupan semasa. Dengan kebiasaan berkunjung ke pusat-pusat beli-belah seperti Ampang Park, Sungai Wang, Yow Chuan, Campbell Complex dan KL Paza, memasuki sebuah kedai sederhana besar di Shanghai mengingatkan saya kepada sekitar Chow Kit di Kuala Lumpur.

Malah kebanyakan kedai di Chow Kit jauh lebih baik. Kedai itu mempunyai atap berbentuk ‘V’ terbalik (semua bangunan pacak-pacakan berbentuk begitu) yang mempunyai rak-rak di mana baju-baju, skirt dan seluar disusun untuk dijual.

Saya percaya di mana-mana saja di Malaysia, dari Teluk Intan ke Kajang ke Kemaman, semua rak-rak kain baju jauh lebih baik daripada apa yang saya lihat di Shanghai itu.

Namun segalanya itu sudah berubah. Apabila saya pergi semula ke sana tidak berapa lama dulu, kota-kota Shenzen, Hangzhou dan Kunming yang jarang disebut dulu kini menyamai Kuala Lumpur dalam saiz dan bentuk bangunan moden yang tinggi-tinggi dan pusat-pusat beli-belah.

Jika sebelum Perang Dunia Kedua, Shanghai dikatakan kota terbesar di Asia, hari ini ia sedang merebut balik taraf itu dari Tokyo. Bangunan-bangunan tersergam tinggi dan besar melebihi jumlah di Kuala Lumpur dan Singapura.

Dalam tahun 2001, mendiang Lee Kuan Yew, bekas Perdana Menteri Singapura dan ketika itu Menteri Kanan Singapura, memberitahu mantan menteri-menteri Malaysia di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur, bahawa beliau percaya China tidak dapat menjadi sama dengan Amerika Syarikat dalam jangka 50 tahun, malah 100 tahun lagi. Sama ada pengamatan beliau menjadi betul atau tidak hanya masa akan menentukannya.

Namun begitu, walaupun Keluaran Kasar Negara (KDN) China sudah meletakkannya di tangga kedua dalam dunia selepas AS dan satu tangga sebelum Jepun, namun pendapatan per kapitanya adalah kurang daripada per kapita Malaysia. Ini bererti taraf hidupnya masih jauh ke belakang.

Dalam pada itu, terdapat anggapan negara China sudah angkuh dengan kekuatan ekonominya sehingga ia sanggup menuntut hak milik beberapa buah pulau kecil yang dipercayai di kelilingi dengan sumber minyak yang banyak, sekali gus mengetepikan saja tuntutan Filipina, Vietnam, Malaysia dan sebuah dua negara lain, sedangkan pulau-pulau itu terletak di atas bonjol bumi negara-negara tersebut. Ini meragu dan menakutkan.

Justeru China harus berhati-hati jika ia tidak mahu dunia meragukan niatnya. Sedalam manakah nawaitu sabda Nabi Muhammad SAW yang menggalakkan umatnya mencari ilmu hingga ke negara China? Renungilah bersama.

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat

0 Komentar untuk " Negara China: Lonjakan dan cabaran "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ