Komuniti vaping, pemimpin perlu jujur - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Komuniti vaping, pemimpin perlu jujur

KOMUNITI pengamal vaping perlu lebih matang dan menjauhi sikap samseng dalam mendepani perbezaan pendapat tentang isu kewajaran pengharaman amalan vaping. Ini ekoran komen-komen berbaur ugutan, carutan, cercaan dan tindakan buli siber yang nampaknya semakin mendominasi ruangan forum di media sosial.

Sesungguhnya fenomena ini tidak akan melarat sehingga ke tahap ini jika semua pengamal vaping dan pemimpin masyarakat berlaku jujur dan telus, bermula dengan diri sendiri. Jujurlah kepada masyarakat dan akui bahawa hakikat utama amalan vaping ini dipromosikan dengan giat bukanlah sangat untuk membantu perokok tegar menghentikan atau mengurangkan ketagihan mereka.

Jujurlah kepada masyarakat bahawa pelbagai acara, perhimpunan, tayangan pelbagai teknik vaping sebenarnya adalah usaha untuk menarik seramai mungkin kelompok pengamal vaping yang baru, dan yang bukan golongan perokok asalnya. Jika benar komuniti vaping ini ingin menyelamatkan golongan perokok tegar, pasti sudah lama mereka bekerjasama dengan KKM  membangungkan program khusus yang sistematik dalam merawat ketagihan rokok, bukannya dengan menjadi pelopor kepada tabiat ketagihan yang baru pula.

Jika ini memang sudah dalam perancangan, tahniah diucapkan. Cumanya tindak tanduk pengamal vaping ini langsung tidak konsisten dengan matlamat yang digembar-gemburkan ini. Amalan vaping dipaparkan seolah-olah seperti satu gaya hidup yang ‘cool’ dan wajar dicuba. Para wanita yang sebelum ini tidak merokok (atau paling kurang sukar kelihatan di tempat awam) kini tidak lagi malu menyebarkan rakaman aksi vaping mereka. Para remaja sekolah pula seolah-olah langsung tidak dicegah daripada memulakan tabiat vaping.

Satu persoalan yang harus dikembalikan kepada komuniti vaping, adakah ini wajah-wajah mereka yang sedang merawat ketagihan rokok? Logiknya, adakah mereka yang serius merawat ketagihan rokok akan melakukan perkara seperti yang disebutkan? Atau mereka sebenarnya sedang asyik dengan ketagihan yang baru dicipta?

Paling menjelekkan, kanak-kanak turut dimangsakan dengan memberi mereka mencuba vaping. Itu kes terpencil, kata sebahagian mereka yang cuba membela. Harus diingat, gejala ketagihan rokok, dadah, arak dan judi juga bermula dengan kes-kes terpencil seperti ini satu masa dahulu.

Jika kita perhatikan beberapa ketika, tidaklah sukar untuk disimpulkan bahawa yang menjadi punca kepada keberangan komuniti vaping ini terhadap usaha pihak-pihak yang cuba mencegah amalan vaping ini ialah kerana duit. Ini sangat difahami memandangkan fenomena vaping ini seakan durian runtuh kepada kelompok pengusahanya yang boleh dikatakan majoriti besarnya adalah Melayu.

Dan kita amat maklum sangatlah sukar untuk sesiapa meninggalkan lubuk duit yang baru ditemui ini begitu sahaja, apatah lagi dalam suasana ekonomi sekarang. Jangan pula salah faham dan menyangka NGO seperti Isma menentang penularan amalan vaping dengan lantang dan tegas kerana cemburukan keuntungan yang sedang dikaut itu.

Cuma beringatlah, jika sebelum ini golongan kapitalis Barat dan Yahudi dibidas kerana mengaut keuntungan dengan mencipta penagihan rokok, apalah sangat beza mereka dengan golongan pengusaha vaping pada hari ini?  Adakah pengusaha vaping akan mendabik dada menyatakan paling tidak mereka 95 peratus lebih baik daripada golongan tersebut sambil mengangkat laporan (yang telah dipersoalkan kredibilitinya) yang mendakwa vaping 95 peratus kurang bahaya berbanding rokok?

Kepada bangsawan politik & kaum kerabat mereka, marilah kita melihat dengan pandangan hati yang jujur sebelum tergesa-gesa memberikan sokongan dan dorongan kepada komuniti vaping ini.  Hakikatnya, jika selama ini kalian semua benar-benar melaksanakan dengan penuh amanah peranan membangunkan anak bangsa kita, termasuk dalam perihal kemandirian ekonominya, pasti mereka tidak akan sampai ke tahap terpaksa menyara keluarga dengan hasil penagihan dan perkara yang telah difatwakan haram.

Ambillah masa dan bermuhasabahlah terhadap apa yang telah kalian lakukan terhadap bangsa ini sehingga lahir generasi yang sanggup mengugut, memaki dan bermati-matian hanya kerana mempertahankan nilai beberapa kepulan asap. Janganlah berpura-pura melindungi fenomena vaping ini dengan harapan ia dapat menebus segala amanah yang dicuaikan selama ini, atau dengan alasan murah melindungi sumber ekonomi Bumiputra dan kononnya menyokong aspirasi anak muda.

Banyak lagi sumber ekonomi dan punca rezeki yang jauh lebih berkat boleh atau sedang diusahakan oleh golongan muda ini jika selama ini kepentingan mereka dijaga dengan cermat. Kepada komuniti vaping, fahamlah bahawa masalah umat ini sudah terlalu banyak, usahlah ditambah lagi dengan mencipta gejala baru. Masa depan belia & kanak-kanak terlalu berharga untuk kita sekadar duduk mendiamkan hal ini. Usah biarkan jatidiri dan potensi umat ini dihembus hilang bersama asap yang kalian perjuangkan.

(Kepada pengamal vaping yang benar-benar dalam proses berhenti merokok, dan juga akan berhenti vaping sebaik berjaya behenti merokok, dan mengamalkannya dengan beradab, dan tidak menunjuk-nunjuk aksi vaping, dan tidak mengajak golongan bukan perokok mencuba vaping, didoakan semoga berjaya.)


Umar Hakim Mohd Tajuddin
Aktivis Isma

0 Komentar untuk " Komuniti vaping, pemimpin perlu jujur "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ