Keharmonian harus dipupuk - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Keharmonian harus dipupuk

SEKIRANYA seseorang berkata kepada saya bahawa semua orang Melayu malas, saya mungkin sekali rasa tersinggung.

Saya rasa tersinggung kerana kenyataan seperti itu langsung tidak mencerminkan masyarakat Melayu secara keseluruhan.

Tetapi walaupun saya tersinggung, saya tidak akan membuat laporan polis terhadap orang yang berkata sedemikian. Samalah juga sekiranya saya dicerca di media sosial, saya juga tidak akan membuat laporan ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Saya boleh tahan dengan cercaan dan hinaan yang dilemparkan terhadap saya.

Perasaan tersinggung itu biasa. Ia merupakan reaksi biasa yang ada pada semua orang. Setiap orang akan rasa tersinggung tentang sesuatu perkara. Bezanya cuma tahap toleransi kita terhadap cercaan atau hinaan. Ia juga bergantung kepada apa yang dikatakan dan siapa yang mengatakannya.

Oleh kerana kita punya tahap toleransi yang berbeza, ia adalah tidak wajar untuk kita pertanggungjawabkan negara untuk berbuat sesuatu sekiranya kita rasa tersinggung. Ia bukan urusan negara untuk memastikan rakyat tidak tersinggung. Begitu banyak sumber negara akan digunakan sekiranya negara terpaksa mengambil tindakan setiap kali ada orang rasa tersinggung.

Menyakitkan hati orang bukanlah sesuatu jenayah, kerana sekiranya ia dijadikan jenayah, nilai ambangnya terlalu rendah. Apa pun boleh menyakitkan hati orang atau menyinggung perasaan orang, sesiapa pun boleh tersinggung. Di dalam sebuah masyarakat, walaupun mungkin terdapat nilai-nilai bersama, ia tidak bermakna bahawa apa-apa yang menyakiti hati sebahagian masyarakat patut dijenayahkan, apatah lagi sekiranya ia hanya menyakitkan hati seseorang sahaja. Menjadi biadab, walaupun tidak diingini, bukanlah jenayah.

Kebebasan bersuara sememangnya terhad. Ia bukanlah tidak punya sekatan. Perlembagaan Persekutuan sendiri membenarkan sekatan dikenakan ke atas hak untuk bebas bersuara oleh Parlimen.

Tetapi sekatan yang dikenakan tidak boleh menggunakan nilai ambang yang terlalu rendah seperti menyakitkan hati atau menyinggung perasaan. Untuk mengenakan sekatan ke atas kebebasan bersuara, had sewajarnya adalah pada tahap sekiranya hak untuk bersuara itu digunakan untuk membawa kemudaratan ke atas orang atau harta benda. Dalam keadaan ini, negara wajar mengambil tindakan ke atas orang yang menggunakan hak bersuara untuk tujuan seperti ini.

Tetapi ada yang berhujah bahawa sekiranya kita benarkan orang menyakiti dan menyinggung perasaan orang lain, keharmonian dan keamanan negara akan tergugat.

Hujah seperti ini menganggap bahawa undang-undang memastikan kita sebagai manusia tidak terjerumus kepada kacau-bilau. Bahawa tanpa undang-undang, kita akan saling memudaratkan antara satu sama lain. Ini tidak tepat. Sebahagian besar daripada kita adalah insan yang cintakan keamanan.

Hujah seperti ini juga membuat kesimpulan bahawa dengan adanya undang-undang, seseorang yang rasis atau mempunyai prejudis kaum atau agama akan bertukar. Tetapi undang-undang hanya akan menghalang dia daripada mengeluarkan kata-kata yang rasis dan prejudis di ruang awam. Ia tidak menukar sifat orang tersebut. Di ruang peribadi, orang itu akan masih rasis dan prejudis. Ketegangan kaum dan perasaan syak wasangka akan terus ada, walaupun ia tidak kelihatan, sehinggalah suatu hari ia ‘meletup’.

Hukuman jenayah tidak boleh membuatkan orang menerima atau menghormati satu sama lain. Memaksa orang untuk menukar perasaan mereka melalui undang-undang tidak akan berjaya. Menghukum pandangan yang berbeza hanya akan membuat orang rasa marah dan ini akan menjurus kepada situasi yang tidak harmoni kelak.

Keamanan, keharmonian, penyatupaduan dan patriotisme mesti lahir secara semula jadi. Ia harus dipupuk dan bukannya dipaksa. Pandangan yang bertentangan, yang berlainan dan juga pandangan yang rasis atau prejudis mesti dibenarkan, sekiranya ia tidak mendatangkan mudarat. Hanya dengan membenarkan pandangan-pandangan seperti ini diluahkan, barulah kita dapat berbincang, berdebat dan meluahkan perasaan yang berbeza. Barulah kita dapat membina sebuah negara bangsa yang matang dan progresif.


* Penulis seorang peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur

0 Komentar untuk " Keharmonian harus dipupuk "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ