'Jangan khianati bumi serambi Mekah!' - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

'Jangan khianati bumi serambi Mekah!'

PEMBANGUNAN Negeri Kelantan yang berteraskan syariat Islam telah dilaksanakan dengan jayanya. Pendekatan aqidah Islamiah adalah kunci utama yang menaungi seluruh aspek perancangan dan pelaksanaan pembangunan di negeri serambi Mekah ini.

Melalui kefahaman aqidah Islamiah ini, ia berupaya membawa rakyat Kelantan kearah pengukuhan dasar pentadbiran yang berteraskan Islam di Kelantan.

Ini kerana pendekatan aqidah adalah pra-syarat utama dalam membangunkan diri serta masyarakat dan sudah tentulah masyarakat yang sejahtera ialah masyarakat yang berjaya pasakkan aqidah yang kukuh dalam jiwa dan pemikiran mereka.

Inilah yang telah diasaskan oleh Arwah Tok Guru semenjak beliau menjawat jawatan sebagai Menteri Besar pada 21 Oktober 1990 setelah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan Kawasan Semut Api pada PRU tahun 1990.

Dasar pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan yang diasaskan oleh Tok Guru ialah Membangun Bersama Islam dengan tiga teras utama iaitu Ubudiah, Masuliah dan Itqan (UMI) diperkukuhkan dalam jiwa masyarakat.

Tok Guru semasa mempersembahkan Ucapan sempena Majlis Sambutan 20 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam Negeri Kelantan pada 12 Zulkaedah 1431 bersamaan 20 Oktober 2010, di Dewan Konvensyen Kelantan Trade Centre (KTC), Kota Bharu secara tegas menyatakan:

“Dasar Membangun Bersama Islam kita perkenalkan apabila diberikan mandat oleh rakyat pada tahun 1990. Membangun Bersama Islam dengan maksud kita akan terus memacu pembangunan selari dengan landasan yang ditentukan oleh ALLAH SWT.

Pembangunan perlu terus dilaksanakan kerana dunia ini dijadikan oleh ALLAH SWT untuk manusia, bukan untuk malaikat atau makhluk lain.

Namun pembangunan yang kosong rohaninya hanyalah umpama pokok besar yang akarnya buruk dan reput. Daunnya sekalipun merimbun tidak akan lama menaungi, masanya tersemban jatuh sangat mudah.

Di antara ajaran penting dalam Islam ialah dunia ini bersambung dengan akhirat dan ini tidak ada di dalam ajaran ideologi yang lain selain Islam.

Oleh yang demikian, sangatlah jauh berbeza pemikiran seorang mukmin dan seorang pendukung sekular.

Orang-orang mukmin melihat jauh ke akhirat berbeza dengan orang-orang sekular melihat hanya setakat dunia sahaja”.

Sehingga kini, setelah Datuk Ahmad Yakob  mengambil alih tanggungjawab sebagai Menteri Besar, beliau menyambung perjuangan yang sama bagi mengekalkan kerajaan Islam Kelantan dan meletakkan enam dasar utama Kerajaan Negeri Kelantan yang berpaksikan Membangun Bersama Islam dengan memasyhurkannya pada fasa ini dengan Merakyatkan Membangun Bersama Islam iaitu:

1) Dasar Pentadbiran Kerajaan berteraskan Syariat;
2) Dasar Perundangan dan Kehakiman;
3) Dasar Kebudayaan dan Kesenian;
4) Dasar Pembangunan Pendidikan;
5) Dasar Pembangunan Ekonomi, dan
6) Dasar Pembangunan Sosial.

Sejak sekian lama Umno/BN bertungkus lumus untuk mengambil alih pemerintahan Pas Kelantan dengan mengutarakan pelbagai manifesto dan terlalu banyak perbelanjaan duit poket dalam pilihan raya ditabur, namun rakyat tetap mempertahankan Kerajaan Islam ini.

Kini, setelah muncul Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai sebuah parti politik baharu yang belum jelas identiti secara tidak malu menyatakan kenyataan terbuka melalui Presidennya Mohamad Sabu bahawa Amanah bersedia mengambil alih Kelantan pada PRU-14 bagi menyelamatkan kerajaan Islam Kelantan yang diasaskan oleh arwah Tok Guru.

Sebelum ini pihak Amanah telah mengeluarkan kenyataan tidak akan bertentang dengan Pas bahkan Amanah ditubuhkan untuk bantu Pas tetapi kini selera Amanah sudah berubah, tidak berprinsip!

Amanah sedarkah kewujudannya hanya memecahbelahkan ahli Pas dan setiap agenda mereka hanya merehatkan kerja Umno/BN?

Asas aqidah Islam yang telah dibangunkan di Kelantan sudah tidak relevan lagi bagi Amanah dan barangkali Membangun Bersama Amanah lebih baik daripada Membangun Bersama Islam!

Ingat, rakyat Kelantan sangat tahu dosa pahala, sangat tahu dunia akhirat, Pas Kelantan sudah sebati dengan dasar Islamnya, maka Amanah jangan musnahkan asas-asas Islam yang sudah lama bertapak ini. Kenapa Amanah tidak ke Serawak atau Sabah atau negeri-negeri lain yang masih memerlukan santunan politik Islamik?

Kenapa Kelantan menjadi target dan serangan Amanah untuk diperbaiki? Tidak lain dan tidak bukan kerana Amanah ingin lihat Kelantan ‘Samo Sajo’!

Amanah; Jangan Khianati Bumi Serambi Mekah!


MOHD ASRI DAUD

Pengarah Jabatan Pilihan Raya Ulama Pas Kelantan

Setiausaha Akbar Menteri Besar Kelantan

0 Komentar untuk " 'Jangan khianati bumi serambi Mekah!' "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ