Hari Mencuci Tangan Sedunia dipandang sepi? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Hari Mencuci Tangan Sedunia dipandang sepi?

SAMBUTAN serta kempen-kempen kesihatan bukanlah sesuatu yang asing di negara ini dalam usaha memberi kesedaran kepada orang ramai akan sesuatu penyakit.

Kempen seperti Hari Hepatitis Sedunia, Hari Tibi Sedunia serta 'Hari Aids Sedunia' antara yang diketahui oleh umum.

Namun ia berbeza dengan sambutan Hari Mencuci Tangan Sedunia atau 'Global Handwashing Day' yang disambut setiap 15 Okt dengan ia kurang diberi perhatian berbanding kempen-kempen lain.

Bermula tahun 2008 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengisytiharkan tarikh itu sebagai hari 'Mencuci Tangan Sedunia' bersempena dengan tahun Saintasi Antarabangsa 2008 dan tema tahun ini adalah 'Raise a hand for hygiene'! (Angkat tangan untuk kebersihan).
 
KURANG SAMBUTAN

Yang Dipertua Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail mengakui kempen berkenaan kurang disedari oleh orang ramai malah pelaksanaannya juga tidak banyak dilakukan.

"Saya tidak pasti kenapa kempen ini kurang diberi perhatian mungkin kerana kekangan kewangan.

"Jika dahulu kempen seperti 'Hari Hepatitis Sedunia' dan 'Hari Tibi Sedunia' dilihat mendapat sambutan dan diketahui umum namun kempen mencuci tangan ini seolah-olah dipandang sepi oleh masyarakat,"katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata kempen itu seharusnya diberi lebih penekanan kerana tangan merupakan anggota badan paling mudah terdedah dengan kuman dan menyebabkan penyakit berjangkit.

"Bakteria daripada tangan boleh berpindah ke badan melalui sentuhan di kawasan sensitif seperti muka termasuk hidung yang merupakan rongga pernafasan utama," katanya.

"Kesedaran orang ramai khususnya ibu bapa berhubung amalan membasuh tangan selepas melakukan apa-apa aktiviti dilihat juga masih rendah dan kebiasaannya bila berlaku sebarang kes, baru ibu bapa akan bertindak.

"Oleh itu jika kempen itu giat dijalankan ia dapat memberi kesedaran kepada ibu bapa tentang bahaya jika tidak membasuh tangan,"katanya.

Justeru itu, katanya, pelaksanaan kempen itu tidak boleh diserahkan kepada pihak kerajaan sahaja sebaliknya Badan Bukan Kerajaan (NGO) berkaitan seharusnya memainkan peranan dengan turun padang dan melaksanakannya melalui inisiatif sendiri.

Bagaimanapun, zaman telah berubah dan apabila menyentuh mengenai cuci tangan ia tidak lagi terhad kepada penggunan air dan sabun sahaja.

Bersama pensanitasi, ia kini lebih mudah untuk membersih dan mensanitasi tangan anda.

PENSANITASI GANTI BASUH TANGAN

Ahmad Shukri berkata sekiranya masyarakat merasakan amalan membasuh tangan dengan kerap adalah sukar, maka penggunaan pensanitasi atau tisu basah antiseptik adalah alternatif terbaik untuk dipraktik dalam kehidupan seharian.

"Pensanitasi tangan memang bagus untuk membunuh kuman dan ia senang digunakan tanpa perlu membilas semula tangan dengan air, serta salah satu langkah awal untuk menjaga kebersihan," katanya.

Bahan itu mudah dibawa ke mana sahaja kerana boleh didapati dalam saiz 'padat' dengan harga yang murah dan dijual di kebanyakan kedai, kata Dr Ahmad Shukri.

Dr Ahmad Shukri berkata kesedaran penggunaan pensanitasi dalam kalangan masyarakat masih rendah.

Dalam menggalakkan orang ramai menggunakan pensanitasi, semua premis sama ada kerajaan atau swasta perlu turut menyediakannya.
 
LIFEBUOY JAYAKAN 'GLOBAL HANDWASHING' DAY 2015

Antara beberapa syarikat yang menjayakan Hari Cuci Tangan Sedunia 2015 adalah Unilever yang mengeluarkan pensanitasi tangan serta sabun mandi di bawah jenama Lifebuoy.

Menurut Pengerusi Unilever Malaysia, Singapura, Myanmar, Kemboja & Laos, Rakesh Mohan, kempen kali ini adalah tahun keempat dan diadakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan.

Syarikat itu percaya tindakan-tindakan mudah seperti mencuci atau mensanitasi tangan akan membawa perbezaan ketara dalam menjamin kesejahteraan masyarakat.

Syarikat meraikan hari itu dengan mengadakan program melalui laman sosial di mana keluarga perlu berikrar untuk mengamalkan tabiat mencuci tangan dan seterusnya memuat naik gambar dengan hashtag #LifebuoyGHD2015.

Mengulas rancangan masa hadapan, Rakesh berkata syarikat akan menerima sekolah-sekolah terpilih di kawasan luar bandar di mana pelajar akan dibekalkan dengan alat dan pengetahuan yang perlu untuk menjaga kebersihan tangan. - Bernama

0 Komentar untuk " Hari Mencuci Tangan Sedunia dipandang sepi? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ