Hantu sebenar di belakang stereng - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Hantu sebenar di belakang stereng

ADA yang kata Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) ‘panas’ @ berhantu. Sebab itu banyak yang maut di situ. Boleh dikatakan setiap masa terjadi kemalangan di laluan sepanjang 184km dari Jabor terus ke Kuala Terengganu itu.

Statistik Polis Diraja Malaysia mengesahkan sehingga 16 Oktober sebanyak 82 kes kematian direkodkan di sepanjang lebuh raya itu melibatkan 1,989 kes kemalangan, sejak ia dibuka secara berperingkat-peringkat Januari 2011.

Seperti yang selalu dipaparkan media, ramai pemandu menceritakan pengalaman seram terserempak dengan lembaga dan kelibat-kelibat pelik di beberapa kawasan sepanjang laluan Jabor – KT.

Malah, solat hajat beramai-ramai dilakukan baru-baru ini untuk mengurangkan kemalangan di lebuh raya berkenaan. Kerap-keraplah lakukan solat hajat, mudah-mudahan LPT2 lebih selesa dan selamat.

Sejak dibuka kepada umum bulan puasa lalu – sehingga kini belum dikenakan tol – saya sudah berkereta menggunakan laluan panas itu sebanyak tiga kali. Pemanduan sekeluarga berjalan lancar, KL ke KT memakan masa hanya empat jam.

Setakat ini belum pernah saya terserempak dengan hantu. Doa saya ialah supaya tidak ditemukan dengan benda-benda mistik itu. Saya pun takut hantu, walaupun sepanjang hidup setakat ini belum pernah sekali disapa benda-benda ghaib itu.

Selain gangguan benda-benda yang dikatakan panas itu, pada hemat saya ada faktor lain yang menyumbang kepada meningkatnya kemalangan di laluan tersebut. Pertama, di sesetengah kawasan sepanjang perjalanan, ada keadaan jalan yang tidak rata.

Seperti yang diakui oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), memang terdapat beberapa kawasan mendap dan permukaan jalan tidak rata.

Tetapi menurut pengarahnya, Prof Dr Wong Shaw Voon keadaan mendap itu tidak mengundang masalah “sekiranya pemandu dapat menguruskan pemanduan dengan kelajuan bersesuaian.”

Kedua, laluan tersebut masih dianggap lenggang, terutama pada waktu malam. Memandu dalam lenggang menyebabkan kita leka dan berkemungkinan mengantuk. Ini pun boleh menyebabkan kemalangan.

Tetapi bercakap berdasarkan fakta, saya lebih bersetuju bahawa punca utama kemalangan di LPT2 adalah kecuaian pemandu. Seperti diketahui umum mana-mana lebuh raya dan jalan raya di seluruh negara, sikap pemandu – antaranya kurang ajar, gopoh, tidak mematuhi undang-undang – adalah penyebab kemalangan.

Dalam hal LPT2 perangkaan polis membuktikan pemandu memang cuai. Beberapa hari lalu polis mengadakan operasi trafik selama dua jam di Kilometer 255.2 dekat Perasing, Kemaman.

Operasi yang bermula seawal 9 pagi itu turut disertai tujuh pegawai dan 22 anggota trafik Bukit Aman. Hasil operasi: 102 saman dikeluarkan. Bayangkan dalam masa dua jam lebih seratus saman, kebanyakannya memandu melebihi had laju. Ada pemandu dikesan memecut melebihi 165 km/jam!

“Ini menunjukkan bahawa punca kemalangan maut di lebuh raya ini bukanlah disebabkan struktur fizikal jalan, sebaliknya sikap pemandu yang melanggar peraturan,” kata Pegawai Penguat Kuasa dan Operasi Trafik Bukit Aman, Deputi Superintenden Mustafa Bakri Salleh yang menyertai operasi tersebut di sini.

Fakta daripada polis juga menyebut, 41,000 saman trafik telah dikeluarkan di LPT2 sejak ia dibuka secara berperingkat bermula tahun 2011 hingga Oktober tahun ini.

Bagi 10 bulan pertama tahun ini sahaja 24,000 saman dikeluarkan untuk laluan tersebut, berbanding 14,000 dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Sementara itu kajian yang dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) pula mendapati hanya 30 peratus pengguna lebuh raya berkenaan mematuhi had laju yang ditetapkan 110 kmj. Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, 50 peratus lagi memandu lebih daripada 140 kmj. Malah, menurut menteri itu ada direkodkan pemandu di LPT2 yang memecut mencecah 177 kmj.

Sejak dahulu hingga kini pemandu-pemandu tidak berhemah ini menguasai jalan raya kita, bukan sahaja di LPT malah di mana-mana lebuh raya. Mereka telah diberi gelaran samseng jalanan, penyangak lebuh raya, lanun, dan sebagainya.

Sebenarnya pemandu haprak ini juga adalah hantu lebuh raya. Saya tidak menafikan kewujudan hantu dan benda-benda ghaib lain yang mengganggu pengguna LPT2.

Tetapi pada hemat saya hantu sebenar di belakang stereng inilah yang lebih berbahaya. Merekalah punca utama maut di lebuh raya seluruh negara.

Seperti yang direkodkan, sepanjang tahun lalu 6,915 orang menjadi korban jalan raya dalam 233,761 kemalangan di seluruh negara. Selagi ada hantu rambut hitam yang bersandar di belakang stereng, lebuh raya kita akan terus menjadi medan maut.

0 Komentar untuk " Hantu sebenar di belakang stereng "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ