Faktor naqliah & akliah yang Qurani - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Faktor naqliah & akliah yang Qurani

FAKTOR akliah adalah sesuatu yang penting kerana akal adalah kurniaan ALLAH yang amat bernilai. Akal adalah alat untuk berfikir. ALLAH tidak kurniakan akal kepada haiwan. Haiwan menggunakan naluri terhadap sesuatu. Kelebihan manusia menggunakan akal ialah menghasilkan pemikiran.

 Faktor nakliah adalah sesuatu yang lebih penting. Sumbernya daripada ALLAH (wahyu) dan menjadi pedoman serta petunjuk bagi manusia. Bagi mencapai keseimbangan dalam membina pemikiran faktor nakliah mampu menawarkan pencerahan terhadap sesuatu. Hal-hal yang nyata dan ghaib memerlukan gandingan faktor aqliah dan nakliah yang Qurani.

 Sifat akal yang dinamik memikir dan menjana ilmu. Skopnya masih terbatas kerana faktor ghaibiyyat menuntut petunjuk daripada ALLAH. Olahan pemikiran daripada akal yang dititipkan dengan ilmu yang sifatnya naqliah bakal membentuk pandangan semesta (tasawwur) yang lebih seimbang.

 Keseimbangan tasawwur amat penting supaya konsep manusia mengenai alam semesta, sumber rahmat dan nikmat yang banyak lazimnya dikaitkan dengan faktor Pencipta iaitu ALLAH. Tanpa adanya penciptaan dan kewujudan sumber-sumber di alam ini, tidak adanya sumber ilmu yang penting bagi dikaji oleh para ilmuwan dan saintis untuk manfaat umat manusia.

 Para saintis menggunakan kekuatan akal dan rasional untuk mengkaji dan menyelidik. Yang dikaji dan diselidik adalah hasil ciptaan ALLAH. Dalam melakukan kajian atau tadabbur Pemilik sumber ini tidak diambil perkiraan dan pertimbangan dan kajian yang dilakukan sekadar bentuk yang zahiri dan sifatnya mekanistik tanpa menginsafi akan hikmah ciptaan itu terhadap umat manusia  dan kehidupan.

 Justeru faktor aqliah yang dipedoman oleh faktor naqliah yang Qurani menyempurnakan lagi asas pemikiran dan ilmu supaya hala tuju ilmu dan binaan tamadun mengambil pendekatan yang lebih integratif.

 Integrasi ilmu akliah dan naqliah ini sesuatu yang amat penting dan utama dalam hala tuju pendidikan masa kini dan hari depan. Membentuk watak dan sahsiah yang unggul tidak saja bergantung kepada sumber akliah yang menawarkan ilmu dalam pelbagai disiplin tetapi ia memerlukan sentuhan nilai dan etika Qurani supaya ilmu itu mendukung etika dan memberi manfaat.

Ilmu adalah suluh dan ianya memberi cahaya. Cahaya yang diadun dari sumber akliah dan naqliah memberi suluhan yang lebih jelas dan meyakinkan. Darinya terungkap kebenaran dan haq. Darinya sifat ilmu memperjelaskan bukan meragukan.

 Bila ilmu yang integratif menjadi sumber binaan tamadun, tamadun itu amat mementingkan kualiti manusiawi. Tidak saja manusia memiliki ilmu tetapi contoh teladan dan sumber ikutan yang baik. Ilmu yang sepihak dan bersifat sekular tidak akan memberi jawapan terhadap keperluan hidup yang terarah dan terpedoman.

 Masa kini manusia sedang tercari-cari makna ilmu dan makna kehidupan yang sebenar. Ilmu yang sifatnya duniawi semata-mata tidak mampu menjawab persoalan hidup yang asas malah ianya boleh mengelirukan. Persoalan hidup yang asas sering ditanyakan apa tujuan hidup dan apa akhirnya kehidupan.

 Faktor ilmu yang integratif menyatakan tujuan hidup ialah untuk mengabdikan diri kepada ALLAH dan berhikmah kepada manusia. Kalau kita jujur dengan ALLAH kejujuran itu bakal memberi faedah kepada manusia.

 Akhirnya hidup bermakna kembali semula kepada Pencipta. Ia menuntut manusia melakukan kebaikan di dunia supaya kebaikan di akhirat dapat diterima. Di dunia manusia memerlukan pedoman kerana tanpa pedoman manusia sering hilang tujuan kehidupan.

 Tujuan kehidupan tidak sekadar menghabiskan usia sehingga ke penghujung, menempuh laluan yang berbagai dalam hidup tetapi kehidupan yang memberi makna sebenar ialah kehidupan yang disertakan dengan amal soleh. Amal soleh hanya boleh dicapai sekiranya ilmu dari faktor akliah disantuni oleh ilmu dan faktor nakliah supaya sifat ilmu menyumbang kehidupan di dunia dan memberi kesan bila kita kembali ke akhirah.

 Justeru faktor nakliah dan akliah dalam berilmu dan beramal menjadi pedoman terbaik bagi kita kerana kehidupan ini terkandung faktor zahiri dan batini yang menuntut keseimbangan.

 Hidup akan menjadi lebih seimbang sekiranya pendekatan tadabbur yang menghubungkan akal manusia dengan wahyu ALLAH dapat berperanan bagi mengukuhkan pemikiran manusia dengan menjadikan akal meneroka pemikiran dan  faktor naqal (wahyu) sebagai petunjuk terhadap kebenaran. Inilah makna sebenar yang dicari oleh manusia.



* Pro Datuk Dr Sidek Baba, Kuliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

0 Komentar untuk " Faktor naqliah & akliah yang Qurani "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ