Bukit: Ada sedap, ada risiko - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Bukit: Ada sedap, ada risiko

TIDAK kira apa bentuknya, bukit kerap kali dikaitkan dengan perbuatan tidak senonoh. Ada yang bermain bukit untuk kesedapan sendiri. Ada yang memperkosa bukit dalam gelap, berseronok sakan tanpa menghiraukan orang lain.

Jangan salah sangka! Saya tidak menggunakan bahasa berkias, bukan juga cakap berlapik. Tidak bermaksud bukit-bukit lain, saya bercakap mengenai bukit sebenar – atau tanah tinggi – yang selalu menjadi kemegahan, dan disalah guna oleh sesetengah pihak.

Sejak dulu kita suka bermain dengan bukit. Semak-samun dan belantara di puncak dan lereng bukit ditebang berleluasa, secara haram @ gelap, untuk kepentingan komersial. Ambil contoh Cameron Highlands, khasnya Lembah Bertam dan Ringlet, yang belum lama dulu mencetuskan kontroversi nasional.

Seperti yang didedahkan, hutan hijau di sekitar pusat peranginan bukit berkenaan telah diperkosa tangan-tangan rakus manusia. Lebih 6,000 hektar hutan telah diteroka secara haram untuk pertanian.

Akibat penerokaan haram itu, tanah runtuh dan banjir lumpur sudah beberapa kali terjadi di kawasan berkenaan. Terakhir Oktober 2014, lima maut apabila banjir lumpur melanda kawasan tersebut. Setahun sebelumnya, 23 Oktober 2013, empat terkorban dalam bencana serupa.

Seminggu dua gamat seluruh negara dengan para menteri, agensi dan pihak berkuasa berkata akan bertindak tegas dan menangkap siapa sahaja yang terlibat dalam penerokaan haram itu. Konon, mereka akan dikesan hingga ke lubang cacing.

Tetapi, seperti biasa kita hanya hangat-hangat tahi ayam. Hingga kini setelah lebih dua tahun, hanya seorang dua yang ditangkap. Penerokaan haram diteruskan. Pihak berkuasa kita gagal menangkap cacing, hanya berjaya mengesan tahi cacing!

Lagi kisah bukit, minggu lalu bukit di Lebuhraya KL-Karak melimpahkan banjir lumpur di KM52.4 laluan utama ke pantai timur itu. Tiada kemalangan jiwa, tetapi lalu-lintas terhalang dan beratus kenderaan tersekat.

Ada misteri di sebalik tragedi tersebut. Pihak pengendali lebuh raya berkenaan memberitahu ada ‘aktiviti’ di tengah hutan yang mungkin menyumbang kepada bencana tersebut.

Pihak berkuasa pula menegaskan tidak ada kegiatan pembalakan di hutan bukit tersebut. Tetapi apa yang turun dari bukit dan melimpah di lebuh raya bukan sahaja lumpur, malah ada segala bahan seperti serpihan kayu, batu dan balak. Kalau tiada kegiatan gelap dari mana datangnya kayu-kayu balak itu?

Segera siasat siapa yang bermain bukit dalam gelap? Jangan biarkan hidup kita dilanda misteri...

Masih mengenai bukit, berita terkini menyebut, ada perancangan untuk melaksanakan satu projek pembangunan mega di kawasan Bukit Antarabangsa, berhampiran Kuala Lumpur.

Seperti yang dilaporkan media, cadangan projek berkenaan telah pun dikemukakan ke Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk dikaji sebelum mendapat kelulusan.

Projek raksasa berkenaan akan melibatkan pembinaan dua blok bangunan setinggi 40 tingkat untuk pejabat dan kediaman eksklusif, juga tiga tingkat pusat beli-belah, dan 19 tingkat podium meletak kereta.

Memang hebat dan gah. Apa yang menjadi kebimbangan umum, terutama penduduk sekitar ialah tapak projek tersebut hanya 300 meter dari kawasan tanah runtuh tahun 1999 yang telah menyekat satu-satunya laluan masuk ke kawasan kediaman bukit berkenaan.

Semua orang tahu Bukit Antarabangsa adalah kawasan berisiko untuk pembangunan, memandangkan keadaan tanah dan kecerunan bukit yang amat berpotensi untuk bencana tanah runtuh.

Pihak berkuasa, khasnya MPAJ, tentu mempunyai butiran tentang sekian banyak kejadian tanah runtuh di kawasan berkenaan, yang bukan sahaja memusnahkan harta benda tetapi mengorbankan banyak nyawa.

Sekadar mengenang kembali, pada Disember 1993, kondominium mewah Highland Tower yang menjadi kemegahan di bukit tersebut telah runtuh, menyebabkan 48 nyawa terkorban. Paling akhir pada Disember 2008, lima terkorban, 14 cedera, 2,000 dipindahkan dan 14 buah rumah musnah dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah di bukit tersebut.

Ada banyak lagi siri kejadian tanah runtuh yang direkodkan di kawasan tersebut antaranya pada Disember 2006, Mei 2006, November 2002, Februari 2000, dan Mei 2000.

Pihak berkuasa perlu membuat kajian terperinci, dan menimbangkan semua aspek keselamatan dan ekologi – juga mengambil kira pandangan dan bantahan awam – sebelum meluluskan projek berkenaan. Jangan hanya pentingkan komersial dan laba, fikirkan juga kepentingan insan dan alam. Cukup-cukuplah!

0 Komentar untuk " Bukit: Ada sedap, ada risiko "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ