Fahami prinsip wala' dalam organisasi - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Fahami prinsip wala' dalam organisasi

KEKUATAN dan kekukuhan sesebuah institusi mahupun organisasi tidak kira yang berorientasikan keuntungan, kebajikan mahupun berteraskan ideologi politik, aspek kesatuan dan permuafakatan, setiap warga dan pendukung adalah suatu yang tidak boleh dipandang enteng.

Oleh itu ada rasionalnya aspek ketaatan kepada kepimpinan diberikan perhatian serius oleh agama sebagaimana perintah ALLAH di dalam al-Quran. Malah perbahasan mengenai ketaatan dalam organisasi atau jemaah sudah menjadi disiplin ilmu tersendiri dalam bidang Siayasah Syariiyyah.

Istilah syarak yang sering dikaitkan dengan aspek ketaatan ini ialah wala’.        Wala’ dalam bahasa Arab mempunyai banyak makna. Antaranya kasih sayang (mahabbah), hubungan erat (sodaaqah), dan kedudukan dekat (qurb), tolong menolong (nusrah), dan persefahaman (tataabu’).

Dengan kata lain, wala’ kepada organisasi adalah janji untuk taat setia dengan mematuhi segala peraturan, arahan, dan prosedur organisasi. Wala’ berbeza dengan kepatuhan biasa kerana wala’ mengandungi unsur untuk melakukan segala arahan yang diberikan, yang ditambah dengan sikap rela hati, minat, dan kasih sayang, serta bukannya kerana terpaksa melakukannya semata-mata.

Asas konsep wala’ dalam organisasi berdasarkan firman ALLAH yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada ALLAH dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ulil-amri (orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu...” (Surah An-Nisa': 59)

Dalam tafsir Ibnu Kathir, dinyatakan ulil-amri adalah golongan penguasa (al-umara’) dan golongan agama (al-ulama’).

Dalam sesebuah organisasi yang mempunyai struktur pentadbiran dan kepimpinannya yang tersendiri, pemimpin setiap bahagian sehingga kepada pemimpin organisasi adalah termasuk dalam istilah ulil-amri yang disebutkan oleh ayat tersebut, selagi mana mereka memimpin dan bertanggungjawab terhadap orang bawahan mereka. Justeru, orang yang dipimpin perlulah memberikan wala’ atau janji taat setia mereka kepada pemimpin.

Rasulullah SAW bersabda: “Dengarlah dan taatlah (kepada pemimpin), walaupun kamu dipimpin oleh seorang hamba Habsyi (yang berkulit hitam), seolah-olah kepalanya anggur kering (kismis)”. (Riwayat Bukhari)

Bagaimanapun, wala’ ini adalah bukanlah sesuatu yang mutlak. Ia terikat dengan ketaatan kepada ALLAH dan Rasul-Nya terlebih dahulu seperti mana yang dijelaskan dalam ayat 59 Surah An-Nisa’.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya ketaatan (kepada pemimpin) itu hanyalah dalam perkara makruf” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Begitu juga dengan sabda Rasulullah SAW: “Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam berbuat maksiat kepada Al-Khaliq (ALLAH Yang Maha Mencipta).” (Riwayat Imam Ahmad dan at-Tabrani)

Dalam berorganisasi juga, orang yang dipimpin perlulah memberikan wala’ hanya kepada seorang pemimpin. Ini penting bagi memastikan perjalanan sesebuah organisasi dapat berjalan dengan baik.

Bahkan dalam pentadbiran kepimpinan tertinggi sistem khalifah atau negara Islam, Islam mengharuskan untuk memerangi pemimpin lain yang ingin memecahkan kesatuan umat Islam yang bersatu di bawah sebuah kepimpinan.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang datang kepadamu, sedangkan urusan kamu semua tersusun kemas atas seorang lelaki (pemimpin), orang (yang datang) itu ingin memecahbelahkan jemaah kamu, maka bunuhlah dia”. (Riwayat Muslim)

Dalam berorganisasi juga, seseorang pemimpin hendaklah mengamalkan konsep syura iaitu berbincang dan bermesyuarat dengan mereka yang dipimpinnya bagi mencapai keputusan terbaik dalam sesuatu perkara. Cara ini juga akan menambahkan lagi rasa untuk mengukuhkan wala’ atau taat setia kepada seseorang pemimpin. Firman ALLAH: “... Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu...” (Surah Ali 'Imran: 159)

Kesimpulannya, mana-mana organisasi yang tidak mendisiplinkan pendukungnya dengan prinsip wala’ sudah tentu akan terdedah kepada pelbagai bentuk konflik yang akhirnya mencetuskan perpecahan dan perselisihan hingga mampu menghancurkan sesebuah institusi dan organisasi.

Justeru sudah tiba masanya setiap warga dalam mana-mana institusi dicanai dengan kefahaman tuntas mengenai prinsip wala’. Malah disiplin wala’ ini perlu dibudayakan berpandukan kepada dasar-dasar ilmu yang ditunjukkan oleh al-Quran dan as-Sunnah. Hanya dengan memiliki tahap disiplin yang tinggi sahajalah sesebuah institusi akan terus kukuh dalam merealisasikan apa jua misi dan visi yang digariskan.


* Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

0 Komentar untuk " Fahami prinsip wala' dalam organisasi "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ