BR1M: Dahulu, kini dan selamanya - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

BR1M: Dahulu, kini dan selamanya

MENJELANG bajet tahunan yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat ini, ramai berpendapat bahawa pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) akan dinaikkan lagi.

Hujah mereka senang sahaja, iaitu kos sara hidup makin meningkat, dan kerajaan juga telah berjanji untuk menaikkan bantuan ini. Maka memang patutlah ia dinaikkan, apatah lagi apabila tujuan BR1M sememangnya untuk meringankan beban rakyat.

Persoalannya, patutkah BR1M diteruskan, dan adakah cara lain untuk memperbaiki bantuan tunai ini? Persoalan sama ada BR1M patut diteruskan ataupun tidak, harus kita halusi dan kaji, kerana jumlah perbelanjaan melibatkan BR1M semakin bertambah.

Semasa BR1M pertama kali diumumkan oleh Perdana Menteri pada 2012 kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM2.6 bilion untuk 5.2 juta isi rumah. Pada 2015 pula, kerajaan telah meletakkan sebanyak RM5 bilion bagi pengurusan BR1M.

Secara keseluruhannya, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM13 bilion di antara tahun 2012 dan 2015 untuk program ini.

Ini jumlah yang amat besar sekali. Jika dibandingkan dengan sektor lain, perbelanjaan ini bersamaan dengan 21.5% daripada peruntukan untuk sektor kesihatan, ataupun hampir sembilan peratus untuk sektor pendidikan.

Ramai yang menganggap bahawa pemberian BR1M merupakan salah satu cara pihak kerajaan untuk ‘membeli undi’ terutama menjelang waktu pilihan raya. Hakikatnya, pemberian bantuan tunai seperti BR1M bukanlah satu idea baharu.

Strategi sebegini telah dipakai oleh banyak negara, malah skim bantuan seperti ini digalakkan oleh banyak agensi seperti Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia.

Negara maju seperti Singapura juga mempunyai program serupa di mana isi rumah yang memperoleh pendapatan rendah menerima wang tunai bulanan, bantuan pendidikan dan kesihatan serta baucar untuk membayar bil air ataupun elektrik.

United Kingdom pula ada menyediakan bantuan pendapatan dan kredit cukai pekerjaan. Begitu juga di Amerika Syarikat. Jika dibandingkan dengan petrol subsidi, BR1M adalah program yang lebih tepat.

Ini kerana ia ditujukan kepada golongan berpendapatan rendah, dan kos untuk kerajaan adalah jauh lebih murah. Ini berbeza dengan subsidi petrol kerana polisi ini lebih menguntungkan golongan kaya dan berada.

Dalam tahun 2013 sahaja, kos keseluruhan subsidi petrol memakan belanja RM24.8 bilion, hampir dua kali ganda jumlah pemberian BR1M sejak 2012 hingga 2015. Jika dilihat perbandingan, ternyata BR1M lebih tepat untuk membantu rakyat daripada subsidi petrol. Menghapuskan petrol subsidi dan menggantikannya dengan BR1M adalah langkah yang berpatutan.

Walau bagaimanapun, jika kerajaan masih mahu meneruskan pemberian BR1M untuk masa hadapan, terdapat beberapa perubahan yang perlu dilakukan untuk memastikan BR1M betul-betul berkesan. Dua perkara boleh dilakukan:

Pertama, meletakkan syarat ke atas penerima. Kita boleh mengambil inspirasi daripada Brazil - salah satu negara perintis awal bantuan tunai bersyarat, Bolsa Familia, di mana penerima haruslah menunaikan dua syarat utama sebelum mendapat bantuan. Syarat pertama adalah anak-anak penerima haruslah menghadiri sekolah dan kedua, mereka haruslah juga mendapatkan rawatan kesihatan sekali setahun.

Perkara kedua, memberi bantuan ini terus kepada kaum wanita, iaitu  isteri kepada ketua isi rumah. Banyak kajian menunjukkan sekiranya bantuan disalurkan kepada si ibu ataupun isteri, ia akan digunakan untuk menguruskan hal-hal rumah tangga seperti membeli makanan ataupun untuk pembelajaran anak-anak.

Kita tidak mahu duit ini digunakan untuk membeli arak ataupun rokok, ataupun berjoli di Golok sepertimana yang berlaku pada BR1M 1.0 dahulu apabila jualan rokok naik mendadak selepas pemberian BR1M pada kali pertama.

Hakikatnya, untuk memansuhkannya amatlah sukar, terutamanya jika dilihat dari segi faktor politik kerana ramai yang menerima bantuan ini. Pada tahun ini, lebih kurang 7 juta penerima menerima BR1M, atau lebih kurang 40% jumlah orang dewasa di negara ini.

Untuk memberhentikan program ini bukan perkara yang mudah. Tentangan akan dihadapi, terutamanya apabila bantuan ini sedikit sebanyak menolong golongan yang berpendapatan rendah.

Kesimpulannya, amatlah sukar untuk menghapuskan, mahupun untuk mengurangkan jumlah pemberian BR1M. Namun beberapa perubahan boleh dibuat supaya pemerkasaan dapat dilakukan agar program yang bernilai berbilion ringgit ini tidak menjadi sia-sia.

0 Komentar untuk " BR1M: Dahulu, kini dan selamanya "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ