Al-Quran dan tradisi tafsir - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Al-Quran dan tradisi tafsir

MEMAHAMI al-Quran lazimnya melalui tafsir. Sepanjang zaman banyak tafsir yang dilahirkan bagi memberi kefahaman sebenar apa yang terkandung dalam al-Quran. Ada ayat-ayat al-Quran yang bersifat mahkamat dan  mutasyabihat yang memerlukan pendekatan tafsir untuk memahaminya.

Al-Quran ialah sumber ilmu - mengenai aqidah, ibadah, syariah dan juga akhlak. Al-Quran juga terkandung kisah atau peristiwa untuk dijadikan ibrah (teladan). Al-Quran juga terkandung pedoman saintifik dan pengisyaratan ilmu untuk memahami faktor langit dan bumi, yang nyata dan ghaib.

Memahami al-Quran sering dimulakan dengan kajian terhadap asbabun nuzul iaitu latar sebab turunnya ayat, sama ada ayat Makkiyyah atau Madaniah. Ia memudahkan golongan mufassirin (ahli tafsir) melakukan rujukan secara kontekstual dan memperjelaskan lagi maksud ayat dalam konteks yang berbeza.

Banyak tafsir utama yang dijadikan rujukan dulu sehingga kini. Tafsir al Baidhawi, al Qurtubi, Ibn Kathir sering dijadikan rujukan utama. Tafsir Yusof Ali meluas digunakan di Eropah, tafsir Syed Qutb Fiizilalil Quran – Petunjuk Sepanjang Jalan sering dijadikan rujukan generasi muda, Di Malaysia-Indonesia Tafsir Depatmen Agama dan Tafsir Hamka al Azhar dijadikan rujukan dan di Malaysia tafsir Ar Rahman menjadi sumber.

Melakukan tafsiran dan khulasah memperjelas lagi maksud ayat dan surah dalam al-Quran itu sendiri. Tradisi keilmuan Islam amat mementingkan aspek kefahaman (tafahum) sama ada tersurat mahupun tersirat. Asas ini menyebabkan tradisi tadabbur (kaji selidik) dalam pelbagai bidang terjadi.

Tamadun Islam pada masa lalu menjadikan al-Quran sebagai sumber rujukan utama. Darinya dikuti dengan kajian dan penelitian dan penghasilan karya-karya mengenai perubatan, astronomi, ilmu hisab (matematik), kajian mengenai alam, falsafah, ilmu bedah dan lain-lain.

Tamadun Islam akhirnya berkembang ke Eropah dan Eropah memanfaatkan sumber sains Islam untuk membangunkan dirinya sehingga kini. Umat Islam pula menjadi pengguna kepada kekuatan sains dan teknologi mereka.

Umat Islam hari ini melihat al-Quran dan tafsir sebagai suatu khazanah yang tidak mendorong jiwa tadabbur terbina. Kecenderungan melahirkan huffaz adalah tinggi. Sayang sekali kecenderungan menjadikan al-Quran sebagai sumber ilmu dan sumber pembangunan sistem tidak berlaku secara meluas dan terancang.

Amat penting budaya tafsir ini dikembangkan secara terancang dalam sistem pendidikan kita. Memahami disiplin ilmu yang pelbagai perlu dihubungkan dengan al-Quran. Faktor naqliah (wahyu) dan akal harus berkembang secara integratif supaya pembinaan tasawwur (pandangan semesta) berlaku secara seimbang.

Islam contoh ialah Islam yang diterjemahkan dengan amal. Produktiviti rohaniah harus seimbang dengan produktiviti amaliah. Memahami tafsir al-Quran yang diperincikan dalam tradisi tadabbur memungkinkan penemuan-penemuan baharu kerana kandungan al-Quran menjadi sumber petunjuk kepada umat manusia (hudan linnas, hudan lilmuttaqeen) sepanjang zaman.

Tafsir al-Quran seharusnya dijadikan asas berfikir dan merenung oleh ahli ilmuwan dan penyelidik kerana banyak pengisyaratan mengenai sains, alam, kehidupan, lautan, daratan dan angkasa yang terungkap dalam al-Quran. Ia memberi ruang kepada manusia memahami sebaik-baiknya sumber rahmat dan nikmat ALLAH yang melimpah.

Daripadanya manusia bakal mensyukuri hikmah di sebalik kejadian, mengukuh aqidah dan keyakinan terhadap Pencipta dan dengan panduan syariah dan akhlak manusia Islam boleh menjadi contoh terbaik bagi umat manusia.

Justeru, kurikulum pengajian Islam di Institusi Pendidikan Islam harus memberi fokus tentang keutamaan ilmu tafsir diberikan supaya ia bakal menjana ilmu dan melatih para pelajar berfikir dengan baik dan seimbang supaya islah dan perubahan terjadi.

Tafsir al-Quran harus sifatnya dinamik dan relevan dengan perkembangan zaman. Sifat zaman yang pantas berubah harus disantuni dengan roh al-Quran supaya nilai guna sains dan teknologi terkandung nilai guna yang baik dan memberi manfaat kepada manusia.

Mendepani cabaran sains dan teknologi kini memerlukan faedah berbanding yang lebih manusiawi bukannya haiwani. Oleh itu roh al-Quran yang diungkap menerusi tradisi tafsir yang baik bakal memperincikan kreativiti manusia supaya ia berkembang dalam batas etika dan sistem nilai yang tidak bercanggah dengan syarak.


* Prof Datuk Dr Sdiek Baba, Kuliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

0 Komentar untuk " Al-Quran dan tradisi tafsir "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ