Yakin Anggun Residences diterima - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Yakin Anggun Residences diterima

SYARIKAT pemaju hartanah, Uda Holdings Berhad (Uda Holdings) optimis dengan pembinaan kediaman mewah, Anggun Residences dengan harga kompetitif berbanding kawasan sekitar.

Pengarah Urusan Kumpulan Uda Holdings, Datuk Ahmad Abu Bakar percaya pembinaan kediaman tersebut bukan sekadar mengejar keuntungan, sebaliknya sebagai tanggungjawab sosial ekonomi.

“Peka dengan situasi ekonomi tidak menentu ketika ini, saya positif dengan pembinaan Anggun Residences dapat membantu ekonomi negara.

“Di samping projek-projek bernilai tinggi, kami turut memandang kepada agenda sosial pembangunan dalam pembinaan rumah kos rendah,” katanya ketika pelancaran Anggun Residences, kelmarin.

Pelancaran Anggun Residences merupakan satu lagi bukti kejayaan Uda Holdings sebagai pemaju hartanah dan organisasi pengurusan aset mampan terkemuka negara.

Ahmad berkata, kediaman mewah Anggun Residences dengan nilai pembangunan kasar mencecah RM400 juta dilihat sebagai usaha Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) membantu memacu ekonomi negara.

Beliau berkata, setiap unit kediaman tersebut ditawarkan dengan harga di antara RM1,300 hingga RM1,400 bagi setiap kaki persegi.

“Harga itu sangat kompetitif setelah mengambil kira nilai pembangunan di lokasi tumpuan iaitu Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

“Dengan ciri dan rekaan moden, ditambah dengan kemudahan terkini sekitar kawasan perumahan, saya percaya Anggun Residences adalah pelaburan terbaik bagi para pelabur ketika ini,” katanya.

Jelasnya, pembinaan kediaman eksklusif itu dimulakan sejak tiga bulan lalu sebelum pelancaran.

Terletak bersebelahan Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur, kediaman tersebut terdiri daripada 384 unit apartmen merangkumi studio 1 bilik, 2 bilik, 2+1 bilik dan 3+1 bilik dilengkapi dengan kemudahan awam serta tempat letak kereta.

Terdapat juga kemudahan laluan berbumbung ke stesen Monorel Medan Tuanku dan stesen Star LRT Sultan Ismail.

Kediaman mewah tersebut turut dilengkapi sistem keselamatan empat peringkat dengan sistem rumah pintar mempunyai kawalan lampu, penghawa dingin, CCTV dan banyak lagi untuk privasi penghuni.

Bagi menyahut seruan kerajaan dalam membina lebih banyak rumah kos rendah dan mampu milik, beliau berharap kerajaan membimbing syarikat GLC seperti Uda Holdings.

Bantuan daripada kerajaan sangat dialu-alukan supaya urusan lebih banyak pembelian hartanah dilakukan.

“Bagi projek akan datang, pihak kami akan membangunkan kawasan sekitar Kampung Baru, Kuala Lumpur supaya dibina lebih banyak kediaman.

“Projek ini akan dilancarkan tidak lama lagi dengan pembinaan hartanah kepada semua golongan terutamanya rumah mampu milik,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 384 unit servis apartmen dibina di atas tanah berkeluasan 0.36 hektar daripada 1.81 hektar tanah milik Uda Holdings.

0 Komentar untuk " Yakin Anggun Residences diterima "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ