NEGARA kita tidak sunyi daripada pelbagai isu yang berkaitan dengan korupsi dan masalah integriti. Walaupun melibatkan jumlah kerugian kewangan yang agak besar namun dalam kebanyakan kes, kita jarang mendengar individu yang (dianggap) korup ini mendapat balasan yang setimpal dengan onar yang dilakukannya.
Malah ada yang lepas bebas tanpa apa-apa hukuman pun sedangkan wang negara hilang lesap entah ke mana.
Memang tidak dinafikan, bila kita sering berurusan dengan hal ehwal yang melibatkan wang atau imbuhan dalam jumlah yang agak besar tentu ada di antara kita yang gelap mata. Begitu juga bila kita mempunyai kuasa untuk membuat keputusan, ada kalanya kita tergelincir daripada landasan ketakwaan.
Tentu ada di antara keputusan yang kita buat tadi akan memberi kelebihan atau keuntungan, kalau tidak kepada diri sendiri mungkin juga kepada ahli keluarga ataupun kaum kerabat.
Dalam sejarah Islam, selain daripada Rasulullah SAW, Khalifah Umar al-Khattab terkenal sebagai seorang yang amanah dan berintegriti - baik dalam kehidupannya sebagai seorang ketua keluarga mahupun sebagai seorang pemimpin negara.
Bagi Saidina Umar al-Khattab, setiap arahan yang dikeluarkan bukan sahaja perlu dipatuhi oleh rakyat malah arahan tadi perlu juga dipatuhi oleh ahli keluarganya. Dengan kata lain beliau meletakkan satu standard integriti yang tinggi untuk dipatuhi oleh diri dan ahli keluarganya.
Terdapat banyak bukti yang menunjukkan ketulusan dan ketelusan Saidina Umar al-Khattab dalam menjaga amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya. Ketegasan baginda dalam menjaga dan menunaikan amanah pentadbiran dan pengurusan negara memang tiada tolok bandingnya.
Pernah suatu ketika, anaknya Abdullah membeli beberapa ekor unta yang kurus pada harga yang rendah. Kemudian unta-unta ini dihantar ke padang ragut milik negara untuk digemukkan. Apabila sampai tempohnya, Abdullah berjaya menjual unta-unta ini pada harga yang tinggi.
Hal ini sampai ke pengetahuan Umar. Baginda telah mengarahkan keuntungan tadi dimasukkan ke dalam perbendaharaan negara kerana dengan alasan unta-unta tadi makan di padang ragut milik negara.
Hal yang sama pernah berlaku kepada isterinya Ummu Kalsum yang membeli pewangi yang berharga satu dirham untuk dihadiahkan kepada Maharani Byzantin. Sebagai balasan, Maharani tersebut memberi batu permata yang diisikan ke dalam bekas pewangi yang dihadiah isteri Umar kepadanya tadi.
Apabila Umar mengetahui perkara ini, beliau telah menjual batu-batu permata tadi dan hasil jualannya dimasukkan ke dalam perbendaharaan negara. Hanya satu dirham sahaja yang diberikan kepada isterinya.
Kedua-dua kisah di atas adalah sesuatu yang agak mustahil berlaku pada zaman sekarang. Sebaliknya menjadi sesuatu yang lumrah dalam suasana sekarang – jika kita seorang yang mempunyai kuasa - orang yang dekat dengan kita sudah tentu akan memperoleh lebih banyak kelebihan atau keuntungan kesan kuasa yang ada pada kita tadi. Namun ia adalah sebaliknya bagi ahli keluarga Umar al-Khattab.
Perihal ketinggian sifat amanah dan integriti Saidina Umar al-Khattab ini tidak lain tidak bukan terhasil daripada rasa tanggungjawab dan pertanggungjawaban yang bakal dihadapinya di hadapan ALLAH SWT kelak.
Mungkin apa yang dinukilkan oleh al-Sallabi di dalam bukunya “Umar ibn al-Khattab : Shaksiyyatuhu wa ‘asruhu” patut kita renungi bersama. Diceritakan bahawa Umar pernah berkata kepada dirinya sendiri : “Jikalau seekor anak kambing mati di pinggir sungai Furat (kerana kehausan akibat gagal sampai ke Sungai Furat), sudah tentu aku takut ALLAH akan menghisab Umar kerana perkara tersebut.”
* Penulis ialah Felo, Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial, IKIM

0 Komentar untuk " Perihal Umar al-Khattab dan integriti "